Sepanjang bekerja di Amanz kami telah mengulas telefon, televisyen, sistem audio, fon kepala, penapis udara, ketuhar gelombang mikro, konsol, dan banyak lagi peranti berteknologi tinggi. Tetapi hari ini kami mencuba peranti yang tidak pernah diulas sebelum ini iaitu sebuah “mesin masa”.

Baiklah Redmi 12C bukanlah sebuah “mesin masa” sebenar seperti kereta DeLorean daripada filem Back to The Future atau Mesin Cahaya Masa Doraemon. Tetapi kerana Redmi 12C mempunyai terlalu banyak ciri retro ia membuatkan kami terasa seperti kembali ke lima tahun yang lalu sekaligus membuatkan ia berfungsi seperti sebuah mesin masa.
SPESIFIKASI
Redmi 12C | |
---|---|
Skrin | 6.71″ IPS LCD, 720 x 1650 , 60Hz |
Pemproses | Mediatek Helio G85 (12nm) |
Cip | 2 X 2.0 GHz Cortex-A75 6 X 1.8 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Mali-G52 MC2 |
RAM | 4/6 GB LPDDR4X |
Muatan Dalaman | 128 GB eMMC 5.1 Mikro SD 1TB |
Kamera Utama | 50MP f/1.8, (Sudut Lebar) 0.08MP (Kedalaman) |
Kamera Swafoto | 5 Megapixel f/2.2 |
Bateri | 5000 mAh Pengecasan berwayar 10W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 4G |
NFC | Tiada |
Bicu Audio | Ya |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari belakang |
Harga Jualan | RM 599 (4/128GB) RM 699 (6/128GB) |
SKRIN
Adakah anda masih menyukai rekaan skrin bertakuk yang pernah popular empat tahun yang lalu? Berita baik kerana skrin 6.71″ Redmi 12C mempunyai sebuah takuk di bahagian atas untuk sebuah kamera swafoto. Tak berhenti di situ skrin adalah dari jenis IPS LCD sekadar resolusi HD+ dengan kadar segar semula klasik 60Hz. Bezel pada keempat-empat sisi skrin juga amat besar mengikut piawaian tahun 2023.

Sekali imbas Redmi 12C mirip sebuah peranti dari tahun 2019 seperti Redmi C2 yang pernah kami ulas sebelum ini. Berita baik mengenai skrin ini ialah ianya rata dengan keterangan mencecah 500 nits. Ia mengesan sentuhan dengan baik sepanjang tempoh ulasan sekitar seminggu.
Berita kurang enaknya pula ialah pada resolusi HD+ dan skrin 6.71″, imej yang terpapar pada skrin tidak tajam dan nampak seperti tidak difokus dengan baik. Ikon nampak kabur dan dalam situasi tertentu teks sukar dibaca. Kerana masih lagi menggunakan panel IPS LCD, penghasilan semula warna juga tidak menyerlah dan ia tidak dapat dibaca dengan jelas di bawah cahaya matahari yang terang benderang.

Kerana kami sudah dimanjakan dengan teknologi 120Hz, skrin 60Hz yang digunakan membuatkan animasi skrin nampak perlahan dan tidak lancar. Sekiranya anda tidak pernah menggunakan peranti dengan skrin kadar segar semula yang tinggi, kekurangan yang ada pada 12C mungkin tidak disedari.
PENGIMBAS CAP JARI
Kami mungkin golongan minoriti yang merindui pengimbas cap jari di belakang peranti kerana kedudukannya yang lebih senang diakses berbanding sisi atau di bawa skrin. Lokasinya yang terletak berhampiran lensa kamera mungkin akan menyebabkan lensa kamera kotor jika kedudukan jari tidak tepat. Terdapat sebuah alur berbentuk bulat yang memudahkan jari membezakan pengimbas cap jari dengan lensa kamera.

Pengimbas cap jari berfungsi dengan amat pantas. Satu kekuatan sistem pengimbas cap jari fizikal ialah secara lazim ianya lebih pantas berbanding pengimbas cap jari jenis optikal. Yang boleh kami katakan ialah pengimbas cap jari 12C adalah lebih konsisten dan pantas berbanding Oppo Find N2 Flip yang diulas baru-baru ini.
REKAAN
Korek memori anda dan bayangkan sebuah peranti kelas pertengahan dari tahun 2018. Apa yang anda nampak? Jika tak nampak dalam kepala buka mata dan lihat Redmi 12C kerana rekaannya sama dengan peranti dari lima tahun yang lalu. Bingkai logam rata yang kukuh dipadankan dengan panel polikarbonat keras yang tahan lasak. Terdapat dagu dan dahi yang masih agak ketara di bahagian hadapan.

Panel belakang peranti mempunyai tekstur yang kasar membuatkan ia tidak terasa licin. Ia juga membuatkan panel ini tidak memerangkap kotoran dengan mudah. Kami cukup suka dengan panel ini kerana terasa tahan lasak dan tanpa menggunakan kerangka yang diberikan, kami yakin ia tidak akan menjadi kotor dalam tempoh yang pendek.
Butang kuasa dan laras suara terletak pada sisi kanan dengan ianya teguh. Kedudukannya ergonomik dan tiada sebarang isu dapat kami kesan. Sebuah bicu audio 3.5mm diletakkan di bahagian atas. Kekisi speaker, port pengecas mikro USB dan talam SIM pula diletakkan di bahagian bawah. Ini bukan kesilapan ejaan, memang 12C masih menggunakan port pengecasan mikro USB yang kini semakin pupus seperti badak sumbu putih Afrika.

Talam SIM menyokong dua SIM bersaiz nano dan sebuah kad mikro SD sehingga 1TB. Ketiga-tiga talam menggunakan slot berasingan menjadikan 12C sebilangan kecil peranti yang menyokong dwi-SIM dan sebuah kad mikro SD secara serentak. Kami katakan di awal ulasan ini 12C ialah sebuah mesin masa. Dalam hal ini menyamakan 12C dengan sebuah mesin masa adalah perkara positif memandangkan ia ciri yang bagus tetapi mula dibuang pada peranti moden.

Terdapat sebuah bonggol kamera yang agak landai. Jadi peranti boleh diletakkan rata di atas meja kerana saiz bonggol yang tidak melampau ini. Kesemua komponen yang kami sebutkan di atas dimasukkan ke dalam tubuh yang sederhana besar dan selesa di dalam tangan. Satu ciri yang tidak disertakan ialah sebarang piawaian kalis air dan debu.
PENGGUNAAN Dan PERISIAN – MIUI 13
Sistem operasi yang digunakan adalah MIUI 13 yang berasakan Android 12. Satu generasi ke belakang tetapi sekurang-kurangnya lebih terkini berbanding rekaan tubuh yang lima generasi ke belakang. Penggunaan sistem operasi satu generasi ke belakang adalah dikesali kerana merugikan pengguna. Mereka sudahpun satu tahu ke belakang dari segi fungsi pada peranti dan peranti dalam kelas ini jarang sekali menerima kemas kini sistem operasi.

Model yang kami ulas cip MediaTek Helio G85, memori 6GB dan storan 128GB. Bukanlah spesifikasi yang membanggakan. Helio G85 ialah cip yang setanding dengan Snapdragon 710 yang sudah agak berusia. Kami masih ingat lagi mengulas peranti dengan cip Snapdragon 710. Ia bukan yang terpantas tetapi sekurang-kurangnya peranti masih agak lancar untuk digunakan.
Tetapi Redmi 12C ialah peranti yang tidak begitu lancar operasinya. Proses membuka aplikasi boleh memakan masa beberapa saat. Menukar aplikasi daripada talam multi-tugas juga tidak cukup pantas. Prestasi masih tidak memuaskan walaupun selepas memori ditambah sebanyak 9GB menggunakan ciri Memory Extension. Sistem operasi Android 12 terlalu berat untuk Helio G85.

Tiada isu untuk memasang pelbagai aplikasi. Netflix, YouTube, Facebook, Instagram, Prime Video dan TikTok semuanya boleh dilancarkan cuma sedikit perlahan kerana peranti masih menggunakan memori eMMC 5.1. Sangat jauh beza prestasi memori generasi lama dengan UFS 4.0 yang kini digunakan pada S23 Ultra. Pada peranti Samsung ini, pemasangan aplikasi boleh dilakukan dalam masa sekelip mata.
MIUI 13 membawakan beberapa isu berbangkit seperti terdapat banyak aplikasi gendut terpasang dan notifikasi yang muncul secara tidak konsisten. Iklan juga akan dipaparkan setiap kali aplikasi Xiaomi digunakan mengganggu penggunaan. Ramai masih tidak menyedari ia boleh dimatikan kerana tetapannya agak tersorok.

Kesemua isu ini kami alami ketika mengulas Poco X5 Pro 5G sebelum ini. Oleh sebab itulah kami rasakan penggunaan MIUI 13 pada 12C adalah satu kesilapan. Pada Xiaomi 13 Pro dengan MIUI 14 kesemua isu ini tidak lagi wujud. Mengapa masih terus tawarkan sistem operasi yang mempunyai pelbagai isu kepada pengguna?
Dalam aplikasi kamera pula ini membolehkan peranti dipegang seperti sebuah kamera camcorder retro. Mengambil swavideo dan swafoto juga lebih mudah kerana letakkan sahaja peranti di atas permukaan rata, ubah sudut pandangan kamera dan mulakan rakaman dengan memberikan arahan telapak tangan sahaja.
Berikut adalah beberapa ciri-ciri menarik yang disertakan pada MIUI 13.
- Hide Notch – Menyorokkan takuk skrin untuk mengelakkan ia menghalang visual dalam aplikasi.
- Themes – Menukar tema antaramuka dengan pelbagai rekaan yang boleh dimuat turun menerusi gedung tersendiri.
- Memory Extension – Menambah memori secara maya sehingga 3GB.
- Lite Mode – Mod antaramuka lebih mudah untuk warga emas.
PENANDA ARAS
Cip Mediatek Helio G85 ialah cip yang dilancarkan pada tahun 2020. Tetapi prestasinya lebih setanding Snapdragon 710 dari tahun 2018. Tetapi apabila dipadankan dengan memori hanya sebesar 4GB, prestasi Redmi 12C adalah mengecewakan. Masa yang lama diambil untuk melancarkan dan menukar aplikasi. Melancarkan permua juga perlahan kerana tidak dibantu oleh storan eMMC 5.1. Menggunakan Redmi 12C memerlukan kesabaran yang tinggi kerana semuanya perlahan.

Hanya permua lama dan tidak memerlukan grafik tinggi boleh dimainkan. Temple Run 2 yang sudah berusia 10 tahun boleh dimainkan itupun tidak berapa lancar. Pop up berlaku dengan kerap dan apabila terdapat banyak aksi pada skrin kadar bingkai terjejas.
Kami beranikan diri memasang COD Mobile dan mengejutkan ia masih boleh dimainkan tetapi pada tetapan paling rendah. Apabila kesemuanya pada tetapan rendah, permua yang cantik ini nampak seperti sebuah permainan era PlayStation 2. Seperti pada Temple Run 2, kadar bingkai akan terjejas apabila terdapat banyak aksi pada skrin. Redmi 12C bukan peranti yang kami sarankan untuk memainkan majoriti permua. Markah penanda aras adalah seperti di bawah.
- Geekbench 6 – 403/1212
- Antutu 3D – 212,386
- Wildlife Extreme – 188

TELEFONI Dan GPS
Hanya rangkaian 4G LTE boleh digunakan pada Redmi 12C. Pengguna turut boleh melakukan panggilan telefon menerusi sokongan VoLTE dan VoWiFi yang amat berguna dalam situasi rangkaian selular tidak begitu baik. Panggilan suara yang dilakukan adalah jelas dengan tiada isu lengah masa atau terputus-putus. Prestasi GPS pula adalah perlahan. Tetapi kami tidak tahu sama ada ia sebenarnya disebabkan oleh sistem GPS yang perlahan atau peranti yang tidak beroperasi dengan pantas.
KAMERA
Kamera utama 50MP sudut lebar dipadankan dengan pengesan kedalaman dengan resolusi QVGA 0.08MP. Tiada lensa lain disertakan dengan di hadapan pula kamera swafoto hanya sebesar 5MP. Gambar yang diambil menggunakan kamera utama hanya boleh diterima dalam situasi pencahayaan yang sempurna sahaja. Jika terlalu terik, mod HDR seakan tidak berfungsi dengan keperincian pada imej tidak dapat ditangkap. Tanpa OIS, hampir semua imej yang diambil tidak cukup tajam. Terdapat mod potret tetapi kesan bokeh yang dihasilkan sederhana sahaja.




Warna dalam gambar juga tidak menyerlah dan nampak tidak bermaya jika dibandingkan dengan kemampuan kamera kelas pertengahan moden. Apabila dalam kawasan tertutup pula, imej yang diambil secara majoritinya semakin tidak tajam. Seperti kami katakan di awal tadi, gambar yang elok hanya boleh dirakam dalam situasi pencahayaan yang baik.
Bagaimana pula dengan swafoto? Dengan kamera 5MP kami rasakan anda boleh mengagak apakah kualiti gambar yang boleh ditangkap pada resolusi ini. Prestasi kamera Redmi 12C adalah kurang memuaskan tetapi setanding dengan harganya.



BATERI
Hayat bateri adalah amat baik dengan ia mencapai SOT 9-10 jam secara konsisten pada penggunaan yang sederhana. Ia juga boleh bertahan seharian juga pada penggunaan sederhana. Tidak mengejutkan sebenarnya kerana bateri sebesar 5000 mAh digunakan. Sungguhpun begitu waktu mengecas semula adalah sekitar dua jam. Sudah lama kami tidak menanti selama ini untuk mengecas bateri peranti kerana pengecas 10W sahaja disokong. Pengecasan juga masih menggunakan port Mikro USB.
AUDIO
Speaker sekadar mono di bahagian bawah. Ianya lantar dan tidak pecah walaupun pada kelantangan maksimum. Kualiti audio sekadar sederhana sahaja kerana tiada sistem Dolby Atmos. Bagi yang mempunyai TWS berkualiti, sistem LDAC boleh digunakan. Prestasi audio menggunakan aksesori audio luaran adalah lebih baik berbanding speaker fizikal. Masih terdapat sebuah bicu audio 3.5mm di bahagian atas bagi mereka yang masih ingin menggunakan sambungan berwayar.
PESAING
Redmi 12C | Samsung Galaxy A14 | Infinix Hot 20 |
6.71″ IPS LCD, 60Hz HD+ | 6.6″ PLS LCD, 60Hz FHD+ | 6.82″ IPS LCD, 60Hz HD+ |
Helio G85 (12nm) 2 X 2.0 GHz Cortex A75 6 X 1.8 GHz Cortex A55 | Exynos 850 (8nm) 8 X 2.0 GHz Cortex A55 | Helio G85 (12nm) 2 X 2.0 GHz Cortex A75 6 X 1.8 GHz Cortex A55 |
Mali-G52 MC2 | Mali-G52 MP1 | Mali-G52 MC2 |
4/6GB LPDDR4X | 6GB LPDRR4X | 6GB LPDRR4X |
128 GB eMMC 5.1 Mikro SD 1TB | 128 GB Mikro SD 1TB | 128 GB Mikro SD 1TB |
Kamera Utama 50MP f/1.8, (Sudut Lebar) 0.08MP f/2.2 (Makro) FHD 30p | Kamera Utama 50MP, f/1.8 (utama), OIS 5MP f/2.2 (Sudut ultra-lebar) 2MP f/2.4 (Makro) 1FHD080p 30p | Kamera Utama 50MP f/1.8, (Sudut Lebar) 0.08MP f/2.2 (Makro) FHD 30p |
Kamera Hadapan 5MP f/2.2 | Kamera Hadapan 13MP f/2.0 | Kamera Hadapan 8MP f/2.0 |
Tidak kalis air | Tidak kalis air | Tidak kalis air |
Bicu audio 3.5mm | Bicu audio 3.5mm | Bicu audio 3.5mm |
Audio Mono | Audio Mono | Audio Stereo |
5000 mAh (Berwayar 10W) | 5000 mAh (Berwayar 15W) | 5000 mAh (Berwayar 18W) |
RM 599 (4/128GB) RM 699 (6/128GB) | RM799 (6/128 GB) | RM 599 (6/128GB) |
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.
- 1x Redmi 12C
- 1x Pengecas 10W
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-A.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.
KESIMPULAN
Segalanya mengenai Redmi 12C boleh kami katakan kurang memberangsangkan. Tidak cukup kuasa, tidak cukup pantas, skrin tidak menyerlah, kamera tidak mengagumkan dan pengecas pula perlahan. Bateri sahaja boleh dipuji kerana agak tahan lama dan pengimbas cap jarinya juga pantas.
Redmi 12C ialah sebuah mesin masa yang mengembalikan pengalaman menggunakan peranti dari lima ke enam tahun yang lalu lengkap dengan port pengecasan mikro USB yang amat usang. Pada harga jualan RM599 (4/128GB) dan RM699 (6/128GB), Redmi 12C masih berbaloi untuk dibeli

Kami rasakan ia adalah peranti yang tidak direka untuk kegunaan orang dewasa. Sebaliknya ia sangat serasi jika dibelikan sebagai telefon pintar pertama untuk kegunaan anak-anak. Kos rendah dan jika rosak sekalipun ibu bapa atau penjaga tidak akan terasa rugi. Tidak cukup kuasa dalam situasi sebegini adalah bagus kerana anak tidak akan membuang masa bermain permua. Cip Helio G85 adalah cukup-cukup berkuasa untuk aplikasi asas WhatsApp, Google Meet dan YouTube. Redmi 12C mungkin tidak sesuai untuk orang dewasa tetapi cukup sempurna untuk anak-anak.
Pro
- Rekaan tahan lasak dengan panel belakang polikarbonat.
- Bateri tahan lama kerana berkapasiti besar.
- Speaker lantang.
- Pengimbas cap jari fizikal di belakang adalah pantas.
Kontra
- Pengecas 10W amat perlahan.
- Skrin tidak begitu lancar.
- Pemproses tidak berkuasa.
- Kemampuan kamera mengecewakan.
