Twitter Blue ditawarkan kepada pengguna di Malaysia beberapa minggu lalu pada harga bermula RM35 sebulan atau RM369 setahun. Ini adalah harga yang ditawarkan untuk versi web dan akan meningkat sehingga 40% sekiranya dilakukan menerusi stor aplikasi telefon pintar.

Persoalan pertama di dalam batu jemala setiap pembaca pastinya akah ia berbaloi? Jawapan ringkas yang boleh aku berikan pada waktu ini ialah “berbaloi” bagi kebanyakan pengguna. Kenapa aku katakan begini? Di bawah ialah sebab musababnya.
Yang Dijanjikan

Twitter Blue menawarkan.
- Ciapan yang dihantar diberikan kedudukan lebih tinggi dalam bebenang perbincangan.
- Menghantar ciapan sepanjang 4000 aksara yang membolehkan sebuah cerpen diterbitkan oleh penulis dalam bentuk ciapan sahaja.
- Menyunting ciapan yang dihantar sebanyak 5 kali dalam masa 30 minit selepas ia dihantar.
- Ciri “Undo” yang menarik semula ciapan sebelum dihantar.
- Memuat naik video sehingga 60 minit pada resolusi FHD.
- Reader – Memudahkan pembacaan bebenang yang panjang dalam satu antaramuka ringkas.
- Gambar profil NFT.
- Kustomasi ikon aplikasi pada peranti pintar.
- Kustomasi navigasi pada aplikasi.
- Senarai artikel terhangat tanpa sebarang iklan.
- Sokongan 2FA menggunakan SMS.
- Separuh iklan daripada biasa.
YANG BERBALOI
Ciri Sunting Ciapan

Realitinya ada janji yang ditepati ada janji tinggal janji. Kita mulakan dengan perkara positif terlebih dahulu. Ciri yang paling kerap aku gunakan menyunting ciapan yang dihantar kerana ramai yang membaca mungkin menyedari aku tak reti mengeja dengan betul. Selalu idea menciap datang mencurah seperti pucuk dilancarkan tetapi jari tidak mempunyai ketangkasan menaip dengan betul.
Selepas menggunakan Blue, jika kesilapan ejaan disedari aku boleh sunting atau ubah kandungan yang dihantar dengan segera. Ini akan menghilangkan kesipuan melampau kerana bagaimana seorang ketua editor laman web Bahasa Melayu tidak mantap mengeja seperti Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jika ada satu perubahan yang aku inginkan ialah semua ciapan sepatutnya boleh disunting. Pada waktu ini jika ciapan yang dihantar ialah untuk membalas ciapan pengguna lain ia tidak boleh disunting. Ciapan dalam bebenang juga tidak boleh disunting. Kenapa? Hanya Elon anak Errol boleh menjawab enigma ini.
Undo – Terlajak Perahu Boleh Diundur

Undo pula adalah ciri yang kami ingatkan membazir tetapi sebenarnya berhasil. Apabila butang “Send” ditekan ciapan yang ditulis tidak dihantar terus. Sebaliknya ia diletakkan dalam ruang menunggu selama 15 saat sebelum dihantar. Dalam tempoh ini aku boleh tekan “Send now” untuk hantar terus atau “Undo” untuk menariknya semula.
Ciri ini seharusnya diberikan kepada semua bukan sahaja kepada pengguna Blue. Pasti ramai yang pernah menghantar ciapan penuh kata-kata kesat kerana marah dengan sesuatu isu. Kalau dah terhantar dan lupa padan esok lusa mungkin akan menerima amaran daripada HR kerana melanggar etika media sosial syarikat.
Dalam kes aku tersalah hantar masuk mahkamah kena denda RM10,000. Ciri menunggu sebelum menghantar ini bagus untuk insan yang pemarah macam aku kerana boleh membuatkan kita mengatur pernafasan sekejap sebelum menyedari ciapan yang ditulis tak sepatutnya dihantar.
4000 Aksara – Lagi Panjang Lagi Bagus

Aku antara manusia yang agak skeptis dengan had 4000 aksara yang diumumkan Twitter sebelum ini. Tetapi selepas dua minggu aku akhirnya boleh nampak kenapa ia sebenarnya ciri yang berguna. Kerap kali juga aku cuba menerangkan sesuatu topik seperti telefon apa paling sesuai dan aku perlukan 400 aksara untuk memberikan penerangan yang lengkap. Malas sungguh nak hantar ciapan kedua kerana had aksara 280 sekarang.
Sebelum blue aku biasa juga beri penerangan panjang lebar sehingga 2-3 ciapan dalam bebenang. Tetapi warga Twitter ramai yang jenis baca satu ciapan dan tak mahu baca sampai habis. Selepas itu mengamuk macam Prebet Adam. Untuk mengelakkan insiden macam ini had aksara 4000 aksara amat berguna.
Kustomasi

Ada ciri kustomasi antaramuka dan ikon diberikan. Secara peribadi aku rasakan ciri ini paling tidak digunakan kerana aplikasi Twitter sedia ada sudah mencukupi. Tidak pernah terfikir untuk mengubah warna ikon atau elemen antaramuka sedia ada. Jika anda mahukan ikon Twitter berubah menjadi ungu, ini ialah ciri yang anda nantikan selama ini.
SMS Sebagai Sistem Pengesahan Dwi-Faktor

Ciri pengesahan dwi-faktor (2FA) ini dahulunya percuma untuk semua sebelum dijadikan ciri eksklusif Blue. Ia antara sebab kenapa aku melanggan Blue sebenarnya. Dalam masa satu minggu adalah lazim untuk aku bertukar telefon sekurang-kurangnya sekali atas sebab menghasilkan artikel ulasan. Adalah sangat leceh menggunakan aplikasi Google Authenticator atau kod sandaran Twitter. SMS mungkin bukan yang paling selamat tetapi bagi insan yang perlu kerap menukar telefon, SMS ialah sistem 2FA yang paling mudah.
Calit Biru – Ciri Yang Paling Bagus
Di media sosial perhatian ialah yang diinginkan oleh insan yang ingin menjadi popular. Selama ini calit biru Verified hanya diberikan kepada insan tertentu sahaja yang dirasakan layak oleh Twitter. Aku sendiri sudah cuba menjalani proses pengesahan identiti ini sebanyak lima kali sejak 12 tahun yang lalu dan lima kali ditolak kerana dikatakan masih tidak layak. Walaupun aku sudah banyak kali muncul di Astro Awani, BFM, South China Morning Post dan Malaysiakini Twitter merasakan ini belum mencukupi.

Ini tidak mengapa kerana calit biru bukan perkara paling penting di dunia. Tetapi tidak boleh dinafikan ia boleh memberikan gambaran bahawa ciapan dengan calit biru mempunyai autoriti dan anda seorang yang ahli dalam bidang yang diceburi. Sejak Blue dilancarkan, semua ini berubah dan calitan biru mempunyai konotasi negatif. Taraf pelanggan Blue dengan calit biru adalah sama seperti seorang insan yang membeli pangkat Datuk daripada kesultanan Melaka yang kita tahu tak wujud.
Namun begitu aku sedari calit biru membantu untuk aku mendapat jawapan dari insan-insan dengan calit biru legasi yang selama ini langsung tak peduli apabila ditegur. Dalam hal ini calit biru Blue berfungsi seperti anda membeli Super Chat di YouTube. Menggunakan anekdot peribadi, ciapan menegur insan terkemuka aku kini dijawab pada kadar kejayaan 80% berbanding hanya sekitar 30% sahaja sebelum melanggan Blue. Jelas calit biru yang dibeli ini meningkatkan visibility anda dengan orang-orang penting di Twitter. Jika ini yang anda mahukan aku rasakan Blue cukup berbaloi.
Mahu Jadi Popular Dengan Cepat? – Langgan Blue Sekarang

Selepas tiga minggu, aku berjaya meningkatkan Tweet Impression sehingga 30.5% setakat ini. Ini adalah peningkatan prestasi yang mendadak kerana secara purata (selepas 12 tahun di Twitter) aku hanya mendapat peningkatan satu angkasa sahaja setiap bulan. Blue memang mempunyai impak untuk menyebarkan lagi ciapan dihantar. Kenapa? Mungkin bila nampak calit biru orang lagi percaya apa yang ditulis itu boleh dipercayai. Kita juga dimaklumkan kelak, hanya pelanggan Blue akan muncul sebagai saranan dalam tab For You.
Ada yang melihat ini sebagai tidak adil dan mengelat. Aku melihatnya sebagai salah satu cara teknik growth hack yang menjimatkan masa bagi mereka yang tidak mahu menambah jumlah pengikut secara organik. Sama seperti syarikat A boleh membeli iklan di Google Search supaya laman web mereka muncul paling atas dan bukan pesaing mereka syarikat B.

Memang tidak adil tetapi biar Izinkan aku memberi tahu anda sesuatu yang sudah anda ketahui. Dunia tidak semuanya sinar matahari dan pelangi. Itu adalah tempat yang sangat kejam dan jahat dan aku tidak peduli seberapa keras anda, ia akan membuat anda berlutut dan membuat anda tetap di sana secara selama-lamanya jika Anda membiarkannya. Anda, aku, atau sesiapa pun akan terpukul sekeras hidup. Tapi ini bukan tentang seberapa keras pukulanmu. Ini tentang seberapa keras anda dipukul tetapi masih terus bergerak maju. Berapa banyak yang dapat anda terima dan terus bergerak maju. Begitulah cara kemenangan dicapai.
Yang Tak Berbaloi
Iklan Masih Terlalu Banyak

Elon Musk berkata iklan akan diseparuhkan tetapi ciri ini masih belum diaktifkan tanpa ada garis masa ia akan muncul. Mungkin seperti Gandalf, ciri ini akan tidak akan tiba lewat ataupun awal tetapi tepat pada masanya. Aku mahukan ciri ini dengan segera kerana jumlah iklan yang dipaparkan di susur masa Twitter sekarang adalah amat melampau. Jauh lebih banyak berbanding zaman sebelum ia diambil alih Elon.
Iklan sekarang juga caca marba dengan ia seperti tiada hala tuju. Pada susur masa aku iklan hartanah yang aku tak akan mampu beli muncul bertali arus diselangi iklan individu yang cuba mempromosikan diri menggunakan kuotasi popular orang lain. Jarang sekali ada iklan yang serasi dengan jiwa atau sejarah carian di Google aku. Mana iklan komponen PC, telefon, sistem audio dan figura aksi siri animasi? Kalau iklan diseparuhkan sekalipun selepas melanggan Blue, iklan sampah yang tidak relevan ini masih lagi wujud.
Kongsi Keuntungan Iklan?
Pada waktu yang sama Musk pernah berkata keuntungan daripada pengiklanan akan dikongsi dengan pelanggan Blue yang ciapannya tular. Dengan pendapatan pengiklanan Twitter yang terjejas teruk, kebarangkalian janji ini tinggal janji adalah sangat tinggi. Jika diaktifkan sekalipun berapa banyak sangat yang akan dapat dijana? Daripada pengalaman peribadi menguruskan laman sendiri, adalah lebih mudah menjana pendapatan dengan berurusan dengan jenama berbanding bergantung kepada pengiklanan menerusi jumlah klik.
Profil NFT

HAHAHHAAHHAHA. Maaf ketawa tetapi NFT ini ciri yang paling tidak berguna kerana era token tidak boleh ubah sudah berkubur. Menanti sahaja ciri ini dibuang seperti mana Meta menghentikan sokongan NFT mereka baru-baru ini.
Jadi Sebenarnya Betul Berbaloi Atau Tidak?
Langganan Twitter Blue amat berbaloi bagi mereka yang memang ingin mempunyai kerjaya sebagai pempengaruh media sosial. Calit biru kecil pada tepi nama mendatangkan impak yang besar terhadap persepsi pengguna lain terhadap pemegang akaun. Anda pasti pernah lihat meme di bawah. Tetapi hakikatnya MAJORITI pengguna Twitter tidak akan pergi ke profil untuk memeriksa anda seorang pelanggan Blue. Blue dengan kurang daripada 400,000 pelanggan setakat ini menyasarkan golongan tertentu sahaja yang sanggup membayar untuk sedikit kelebihan pada platform.

Jika anda mahukan perhatian dan ingin membina empayar media sosial peribadi di Twitter, ini ialah jalan pintas yang boleh diambil dengan hanya membayar RM35 sebulan. Bagi mereka yang tiada aspirasi menjadi seorang Tweetfamous, aku boleh katakan bahawa untuk anda lebih baik gunakan RM35 ini untuk melanggan kepada Netflix atau membeli juadah berbuka puasa yang lebih mewah daripada biasa hari ini.