Carian
Prototaip Google Pixel 7a Dijual Di Laman eBay Pada Harga Mencapai Lebih RM7000
March 17, 2023 Fahim Zahar

Setiap tahun sebelum peranti Google Pixel baharu dilancarkan pasti akan ada banyak maklumat yang tertiris. Berbeza dengan peranti jenama lain, Google Pixel biasanya tertiris sehingga prototaip jatuh ke tangan orang dan ada kes set yang sedia dijual turut berjaya dibeli oleh orang ramai beberapa bulan sebelum pelancaran.

Google Pixel 7a adalah peranti kelas pertengahan terkini yang menerima nasib sama. Sebelum ini telah kami laporkan yang ada individu telah memperoleh peranti ini dan kongsi rekaan penuh dan beberapa butiran spesifikasi. Cuma Google kali ini lebih hebat, setiap unit prototaip berjaya dihentikan untuk beroperasi dengan terus memadam sistem operasi yang peranti prototaip tersebut jalankan.

Terbaru, prototaip Pixel 7a telah dicuba dijual di laman eBay. Ini tidak sama dengan unit dalam laporan sebelum ini kerana panel belakang tidak menggunakan logo G Google. Ini adalah prototaip bagi unit yang masih diuji. Individu ini cuba menjualnya pada harga $1650 iaitu sekitar RM7402.

Dalam senarai eBay tiada sesiapa yang melakukan bidaan dan penjual turut telah memadam peranti ini dari dalam senarai eBay. Berdasarkan maklumat yang penjual ini kongsi, peranti ini turut tidak beroperasi dan mengesahkan memori dan storan adalah 8GB RAM dan 128GB.

Komen