Carian
Pandang Pertama – Samsung Galaxy A34 5G Kesinambungan Dengan Rekaan Premium
March 20, 2023 Amy Maizuraa

Samsung akhirnya mengemaskini barisan Galaxy A dengan beberapa produk baharu. Ini termasuklah pengenalan untuk Samsung Galaxy A34 5G yang menjadi model kesinambungan untuk Galaxy A33 5G sebelum ini. Dengan reka bentuk serba baharu, paparan lebih terang, perkakasan dalaman dinaik-taraf dan pengalaman perisian terkini, Samsung nampaknya cuba memuatkan pelbagai hal yang menarik pada siri Galaxy A mereka pada tahun ini.

Kehadiran peranti ini ke pasaran Malaysia juga sedia di acah secara rasmi pada 24 Mac 2023, tetapi kami di Amanz berpeluang mengakses peranti lebih awal bagi melihat dengan lebih dekat mengenai penawarannya, baik dari segi rekaan mahupun spesifikasi utama. Teruskan membaca artikel pandang pertama ini yang mana saya akan berkongsi mengenai apa yang menarik, perubahan dan juga kekurangan untuk kali ini. Seterusnya prestasi menyeluruh pula akan saya kongsi dalam artikel ulasan yang akan datang.


SPESIFIKASI

Samsung Galaxy A34
Skrin6.6-inci Super AMOLED,
FHD+ (1080 x 2340 piksel), 120Hz
PemprosesMediaTek Dimensity 1080
Cip2 x 2.6 GHz Cortex-A78
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G68 MC4
RAM6 LPDDR4X
Muatan Dalaman128 UFS 3.1
Mikro SD 1TB
Kamera Utama48MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
5MP f/2.4, (Makro)
Kamera Swafoto16 Megapixel f/2.2
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 25W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP67
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin optikal
Harga JualanRM 1844* (6/128GB)
RM 2175* (8/256GB)

*= Ditukar daripada mata wang asing

REKAAN DAN SKRIN

Tiada sesi nyahkotak yang disediakan untuk kali ini kerana kami hanya diberi peranti secara langsung tanpa kotak bungkusan. Kami teruskan artikel dengan reka bentuk yang mana perkara ini adalah sangat subjektif dan bergantung pada minat masing-masing. Jika diteliti pada rekaan Galaxy A34 5G, ia amat mirip dengan sebuah Galaxy S23 Ultra khususnya di bahagian belakang.

Pada generasi sebelum bonggol kamera Contour Cut digunakan tetapi kini Galaxy A34 5G mengetengahkan rekaan Floating Camera. Rekaan seperti ini amat menarik perhatian kerana tiada lagi bonggol kamera besar digunakan. Sebaliknya Galaxy A34 5G mempunyai sistem tri-kamera disusun menegak dan terkeluar daripada tubuh namun tidaklah sehingga menyukarkannya diletakkan di atas permukaan meja secara rata.

Seterusnya binaan tubuh polikarbonat berkotak dan skrin rata digunakan pada peranti. Ini dipadankan pula dengan bingkai logam pada bahagian sisi membulat yang membuatkan peranti terasa selesa dan kemas di dalam tangan. Selanjutnya kemasan pusam yang mendominasi bahagian belakang peranti juga menjadikan pengalaman penggunaan jauh lebih praktikal. Ia bukan sahaja membuatkan peranti tidak terlalu licin sewaktu dipegang, malahan mampu mengelakkan isu panel belakang peranti dipenuhi dengan kotoran cap jari dan peluh.

Namun begitu secara peribadi, saya lebih menyukai rekaan dan kemasan pada Galaxy A52 dan A52s sebelum ini yang dirasakan lebih premium. Namun itu tidak bermakna generasi baharu ini langsung tidak menarik. Masih menarik dan selesa dipegang tetapi sedikit tebal serta berat berbanding sebelum ini.

Skrin sebesar 6.6-inci digunakan adalah lebih besar berbanding 6.4-inci pada pendahulunya iaitu Galaxy A33 5G.  Penambahbaikan paling ketara lain yang turut boleh ditemui pada skrin peranti ialah sokongan kadar segar semula dipertingkatkan menjadi 120Hz. Kemudian Samsung turut meningkatkan tahap kecerahan skrin sehingga 1000nits untuk prestasi skrin cukup baik digunakan di bawah cahaya matahari terik. Ini kombinasi yang menarik apabila turut dipadankan dengan penggunaan panel dari keluarga Super AMOLED berteknologi FHD+.

Bagaimanapun persoalan mula timbul apabila Samsung didapati menggunakan skrin lebih besar pada peranti ini berbanding Galaxy A54 yang bersaiz 6.4-inci. Kebiasaannya kita melihat mana-mana peranti dengan nombor model lebih besar sudah semestinya mempunyai saiz skrin yang besar, bukan? Tetapi berlainan pula dengan konsep yang digunakan oleh Samsung untuk kali ini.

Justeru kita sebagai pengguna sepatutnya mampu serta bijak memilih peranti yang terbaik selari dengan keperluan. Sekiranya anda memilih untuk memiliki peranti dengan skrin lebih besar, maka Galaxy A33 5G ada kelebihan tersebut. Namun jika yang sebaliknya pula, Galaxy A54 5G pastinya sesuatu yang amat sesuai buat pengguna dengan minat terhadap sebuah peranti bersaiz standard.

Seperkara lagi yang membezakan kedua-duanya ialah skrin berlubang digunakan pada Galaxy A54 5G yang menempatkan kamera swafoto tunggal 32MP. Sementara itu Galaxy A34 5G pula agak retro dengan skrin bertakuk kecil dengan kamera swafoto 13MP. Kewujudan saiz bezel yang agak tebal turut boleh disedari untuk kali ini yang bukan sahaja di bahagian dagu, tetapi juga pada ketiga-tiga sisi peranti.

Susun atur butang standard juga dilihat sama dengan generasi sebelum ini. Di mana, butang kuasa dan laras audio diletakkan pada sisi kanan. Kedua-dua butang ini mempunyai binaan yang teguh dan sedap digunakan. Sementara itu, sisi kiri pula tidak menyertakan sebarang butang mahupun lubang.

Bergerak ke bahagian atas, terdapatnya satu lubang mikrofon dan slot SIM yang menyokong dwi-SIM nano dan kad mikroSD sehingga 1TB. Port pengecasan USB-C dan satu kekisi untuk pembesar suara diletakkan pada bahagian bawah tanpa sokongan bicu audio 3.5mm.

Bukan satu hal yang mengejutkan malahan fungsi tersebut telah dibuang oleh Samsung daripada peranti Galaxy A sejak tahun lalu. Namun Samsung memberi nilai tambah lain menerusi penarafan kalis air dan debu IP67 terbina, sepasang pembesar suara stereo yang lengkap dengan sistem audio Dolby Atmos dan bateri besar 5,000mAh yang menyokong sistem 25W.


PERKAKASAN DAN PERISIAN

Peranti ini menyokong rangkaian 5G terbina yang dijana dengan cip pemproses lapan teras MediaTek Dimensity 1080. Ia merupakan cip berteknologi 6nm dengan konfigurasi dua teras Cortex-78, enam teras Cortex-A55 dan GPU GPU Arm Mali-G68. Di atas kertas, ia juga merupakan penambahbaikan untuk cip Dimensity 920 sebelum ini. Memori pula sebesar 6GB RAM dan storan dalaman 128GB terbina pada unit yang diterima oleh kami.

Ini kombinasi yang sederhana tetapi peranti turut disertakan ciri RAM Plus sehingga 6GB secara maksimum yang boleh diakses menerusi tetapan. Pada peranti diterima, jumlah RAM yang boleh digunakan adalah sehingga 12GB sekiranya perlu. Selain itu, sokongan mikroSD sehingga 1TB turut disediakan bagi pengguna yang memerlukan storan lebih besar.

  • Geekbench 6 – 1032/2254
  • Antutu 3D – 474,409

Perisian antaramuka OneUI 5.1 berasaskan Android 13 digunakan pada peranti. Ia merupakan versi terkini dan papan antaramukanya dilihat amat mesra pengguna dengan susunan yang kemas, ringkas dan mudah difahami. Sebahagian besar ciri terbina juga dioptimumkan dengan cukup baik, seterusnya pengguna juga lancar apabila dipadankan dengan skrin 120Hz.

Pelbagai ciri mesra pengguna lain turut boleh ditemui padanya seperti ciri mengubah warna tema antaramuka secara automatik berdasarkan imej latar belakang yang digunakan. Kemudian skrin kekunci juga diberikan kostumasi lebih menarik, di samping turut wujudnya ciri mengasingkan subjek dari latar belakang dalam aplikasi Gallery, menambah tera air secara automatik dan banyak lagi. Hal ini bertambah menarik apabila Samsung juga menjanjikan kemas kini sehingga 4 tahun generasi sistem operasi dan 5 tahun kemas kini sekuriti pada ini.


KAMERA

Peranti ini dilengkapi tri-kamera dengan sensor 48MP (sudut lebar) dengan OIS + 8MP (ultra-sudut lebar) + 5MP (makro). Ini dipadankan pula dengan kamera swafoto tunggal sebesar 13MP. Ura-ura sebelum ini yang mengatakan Samsung bakal membuang sensor kedalaman pada siri Galaxy A baharu. Nampaknya benar-benar berlaku apabila sensor tersebut tidak disertakan pada Galaxy A34 5G mahupun Galaxy A54 5G. Peranti juga membenarkan pengguna merakam video sehingga UHD 4K (3840 x 2160)/30fps dengan ciri penstabilan terbina, di samping kebolehan zum digital mencapai 10X.

Turut disertakan adalah mod-mod kamera terbina yang terdiri dengan Fun, Portrait, Photo, Video dan More. Kamera juga menyokong AI dan HDR terbina bagi membolehkan gambar diambil dengan imbangan cahaya yang baik. Pilihan tangkapan gambar dan video pula boleh diambil pada nisbah 1:1, 3:4, 9:16 dan penuh. Tetapi tangkapan dengan mod 48MP pula hanya tersedia dengan nisbah 4:3.


Apa Ada Di Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

  • 1x Samsung Galaxy A54.
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM

KESIMPULAN

Masih terlalu awal untuk menentukan tahap prestasi sebenar peranti ini. Apa yang dapat kami simpulkan setakat ini, hampir kesemua ciri menarik siri Galaxy A kembali untuk generasi baharu ini termasuklah sokongan penarafan kalis air tetapi diolah semula ke dalam reka bentuk yang berlainan. Ianya cukup menarik tetapi kekurangan utama yang masih wujud ialah ketiadaan bicu audio dan kepala pengecas yang diberikan. Tidak mengejutkan, walhal sudah berlaku sejak generasi sebelum ini. Tiada harga jualan rasmi didedahkan setakat artikel ini ditulis, namun Samsung mengesahkan kehadiran di Malaysia pada minggu ini.

Pro

  • Rekaan tubuh kompak sedap di dalam tangan.
  • Kamera utama 48MP dengan OIS.
  • Kalis air IP67.
  • Kemas kini empat versi Android dan sekuriti lima tahun.
  • Bateri 5000 mAh yang besar.

Kontra

  • Pengecasan hanya 25W.
  • Tiada pengecas dalam kotak.
  • Rekaan skrin bertakuk agak ketinggalan zaman.
Komen