Cari @ Amanz

Samsung Galaxy A54 dan A34 dilancarkan secara mengejut minggu lalu tanpa sebarang acara khas. Di Malaysia ia akan dilancarkan pula secara rasmi pada 24 Mac hadapan. Dari segi rekaan A54 amat mirip dengan Galaxy S23 dan S23+. Sekilas pandang sukar sekali membezakan ketiga-tiga peranti ini. Pendapat pertama kami selepas menerima A54 untuk ulasan ialah adalah ia lebih layak diberikan nama sebagai S23 Lite.

Kami katakan begitu kerana selain rekaan yang serupa, A54 turut mempunyai beberapa ciri yang sama dengan peranti mercu Samsung tahun ini cuma dengan pemproses kelas pertengahan, skrin lebih besar, prestasi kamera yang diubah dan harga jualan berbeza. Ini ialah pandang pertama untuk Samsung Galaxy A54.

SPESIFIKASI

Samsung Galaxy A54
Skrin6.8″ Super AMOLED,
FHD+, 120Hz
PemprosesExynos 1380 (5nm)
Cip4 X 2.4 GHz Cortex A78
4 X 2.0 GHz Cortex A55
Cip GrafikMali-G68 MP5
RAM6/8GB LPDDR4X
Muatan Dalaman128/256GB UFS 3.1
Mikro SD 1TB
Kamera Utama50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
5MP f/2.4, (Makro)
Kamera Swafoto32 Megapixel f/2.2
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 25W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP67
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin optikal
Harga JualanRM 2432* (6/128GB)
RM 2703* (8/256GB)

*= Ditukar daripada mata wang asing

SKRIN

Skrin 6.4″ adalah dari keluarga Super AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz. Namun begitu ia bukan dari keluarga LTPO. Dari segi saiz ia lebih besar berbanding S23 (6.1″) dan S23+ (6.6″). Skrin memaparkan imej yang tajam, tatalan yang sangat lancar serta mengesan setiap sentuhan dengan baik. Seperti lazimnya, skrin SAMOLED memaparkan warna yang cukup hidup dan boleh digunakan di bawah cahaya matahari yang terang.

Menurut Samsung, keterangan skrin boleh mencecah 1000 nits. Tidak setinggi 1750 nits pada siri S23 Ultra tetapi ia masih lebih tinggi berbanding skrin biasa. Kandungan HDR boleh ditonton tetapi pada waktu ini terhad kepada YouTube dan Prime sahaja. Tiada sokongan rasmi untuk Netflix pada waktu ini. Bagi kami ini adalah mengecewakan kerana banyak peranti kelas pertengahan lain seperti daripada Xiaomi boleh menyokong HDR pada Netflix.

Bezel adalah agak tebal tetapi tidak mengganggu dengan ianya sekata pada keempat-empat sudut. Kami cukup sukakan skrin rata yang digunakan kerana ia tidak mengganggu tontonan video atau menggunakan aplikasi lain.

Terdapat sebuah pengimbas cap jari dari jenis optikal terbina di bawah skrin. Lokasinya ergonomik dan mudah untuk diakses walaupun peranti digunakan sebelah tangan. Pengimbas ini pantas mengesan cap jari dan sepanjang penggunaan selama beberapa hari tidak pernah lagi gagal berfungsi. Sokongan imbasan wajah juga boleh digunakan sekiranya pengguna ingin sistem biometri yang lain.

Bagi mereka yang mempunyai masalah rabun warna, skrin ini boleh ditala supaya mereka boleh memaparkan warna yang tidak boleh dilihat dengan mudah. Di dalam tetapan Colour Correction, terdapat mod untuk rabun warna Deutan, Protan, Tritan dan Greyscale.

REKAAN

Rekaan tubuh seperti yang kami katakan beberapa perenggan di atas amat mirip dengan S23. Perbezaan hanyalah sisi A54 masih lagi bulat dan tidak rata. Secara peribadi kami lebih sukakan rekaan S23 kerana permukaan rata membuatkan peranti terasa lebih rapi di dalam tangan.

Bingkai logam dipadankan dengan panel kaca di belakang dan hadapan. Butang kuasa dan laras audio terletak pada sisi kanan. Ianya tegap dan sedap ditekan tanpa isu terasa longgar atau seperti murahan. Di bahagian bawah terdapat satu kekisi audio, dan lubang untuk mikrofon. Sedikit aneh talam SIM kini diletakkan di bahagian atas. Talam SIM ini adalah dari jenis hibrid dengan dua slot SIM nano dan satu slot kad mikro SD. Jika kad mikro SD ingin digunakan, hanya satu SIM nano disokong.

Peranti masih lagi selesa di dalam tangan kerana dengan saiz skrin 6.4″, A54 adalah sebuah peranti yang agak kecil jika dibandingkan dengan peranti lain yang mempunyai skrin melangkaui 6.6″ sekarang. Panel belakang mempunyai panel kaca yang licin dan oleh itu memerangkap kotoran dengan cukup mudah.

Terdapat tiga bonggol untuk lensa kamera yang sekata saiznya. Rekaan Floating Camera pada siri S23 kini turut digunapakai pada siri A54 anda A35. Ini ialah proses penyeragaman yang dilakukan oleh Samsung tahun ini. Bonggol kamera walaupun tidak besar masih mengakibatkan peranti terjungkit apabila diletakkan di atas meja.

Sistem kamera utama menggabungkan sensor 50MP sudut lebar, 12MP ultra sudut lebar dan 5MP makro. Hanya lensa 50MP dilengkapi dengan sistem OIS. Sementara itu di bahagian hadapan sensor 32MP digunakan dengan ia diletakkan dalam lubang kamera pada skrin.

Dari sudut audio pula, terdapat sokongan stereo dan juga sistem audio Dolby Atmos. Sebuah lagi speaker diletakkan pada bahagian gagang telinga. Seperkara lain yang menarik pada A54 ialah ia melepasi piawaian kalis air serta debu IP67. Tidak sebaik IP68 pada S23 tetapi adalah cukup baik untuk sebuah peranti kelas pertengahan kerana boleh dicelup di dalam air selama beberapa minit.

EXYNOS 1380 – BAGUSKAH?

Cip Exynos 1380 yang digunakan adalah sebuah cip lapan teras dengan konfigurasi 4 teras kuasa tinggi dan 4 teras kuasa rendah dengan GPU Mali-G68 MP5. Ia dihasilkan menggunakan teknologi 5nm. Oleh itu ia adalah di dalam kelas yang sama dengan Snapdragon 778G+. Ini adalah cip baharu dengan hanya A54 sahaja peranti yang menggunakannya setakat ini.

Cip ini dipadankan dengan memori sehingga 8GB RAM LPDDR4X dan storan sehingga 256GB UFS 3.1. Storan boleh ditambah sehingga 6GB secara maya menggunakan ciri RAM Plus. Model yang diterima kami dilengkapi memori 6GB dan storan 128GB. Berikut adalah markah yang dicatatkan oleh Exynos 1380 menggunakan tiga penanda aras popular.

Markah yang dicatatkan kini pula dibandingkan dengan Samsung Galaxy A52S (Snapdragon 778G), Oppo Reno8T 5G (Snapdragon 695) dan Poco X5 Pro 5G (Snapdragon 778G).

Geekbench 6

  • Samsung Galaxy A54 – 755/2663
  • Samsung Galaxy A52S – 1010/2610
  • Oppo Reno8 T 5G – 686 / 2004
  • Poco X5 Pro 5G – 781 / 2892

Antutu 3D

  • Samsung Galaxy A54 – 502,442
  • Samsung Galaxy A52S – 506,621
  • Oppo Reno8 T 5G – 373,259
  • Poco X5 Pro 5G – 529,942

PENGGUNAAN DAN PERISIAN

Sistem operasi One UI 5.1 digunakan pada dengan ia berasaskan Android 13. Ini ialah versi terkini One UI yang turut digunakan pada siri S23. Dari segi ciri tiada perbezaan yang ketara dapat dilihat pada A54 dan S23. Kerana ia berasaskan Android 13, terdapat ciri mengubah warna tema antaramuka secara automatik berdasarkan imej latar belakang yang digunakan. Turut disertakan ialah kustomasi skrin kunci yang lebih menyeluruh.

Sepanjang tempoh ulasan kami aktifkan mod RAM Plus dengan tetapan 4GB menjadikan peranti mempunyai 10GB RAM sepanjang masa. Peranti beroperasi dengan cukup lancar dengan aplikasi dapat dilancarkan dengan pantas. Walaupun cip Exynos 1380 masih lagi baharu, kami tidak mengalami sebarang isu aplikasi utama tidak disokong. Maka tidak perlu risau aplikasi tidak boleh dipasang seperti yang wujud pada sesetengah peranti dengan cip MediaTek.

Tatalan terasa lancar kerana skrin 120Hz. Tiada isu animasi nampak perlahan dan tiada juga sebarang masalah pemanasan setakat ini. Boleh kami katakan setakat ini A54 beroperasi dengan lebih lancar berbanding Galaxy A73 5G yang kami ulas tahun lalu yang dilengkapi cip Snapdragon 778G.

Pengalaman penggunaan adalah mirip dengan S23 Ultra yang mempunyai spesifikasi yang lebih tinggi serta mercu. Bagi mereka yang mencari peranti yang boleh digunakan untuk masa yang lama, A54 disahkan menerima kemas kini empat versi Android dan tampalan sekuriti selama lima tahun.

Berikut ialah beberapa ciri menarik pada Samsung Galaxy S54.

  • Edge Panels – Panel sisi untuk aplikasi, kompas, Smart Select dan banyak lagi.
  • RAM Plus – Penambahan RAM secara maya sehingga 6GB.
  • Edge Lighting – Lampu pada skrin apabila menerima notifikasi.
  • AOD – Paparan aktif walaupun ketika skrin dimatikan.
  • Easy Mode – Antaramuka mesra warga emas.
  • Secure Folder – Menyimpan fail dalam bekas yang dikunci dengan kata laluan/cap jari.
  • Live Captions – Sari kata masa nyata.
  • Link To Windows – Menggunakan peranti terus pada komputer Windows.
  • Modes – Tetapan peranti bergantung pada lokasi dan masa.
  • Colour Correction – Mengubah paparan skrin untuk pengguna rabun warna.

Kamera

Berikut ialah beberapa gambar yang sempat kami ambil menggunakan kamera utama 50MP sudut lebar, 12MP ultra sudut lebar, 5MP makro dan kamera swafoto 32MP. Lensa sudut lebar 50MP dilengkapi sistem OIS. Dari segi prestasi, kamera boleh melakukan rakaman video sehingga resolusi 4K 30FPS. Terdapat ciri Makro, AR, Potret, Panorama, Pro Video, Pro dan Hyperlapse. Mod Nightography untuk mengambil gambar pada waktu malam turut boleh digunakan.

Kamera menyokong mod zum digital sehingga 10 kali sahaja. Di bawah ialah sampel gambar yang diambil pada tetapan 1X, 2X, 4X dan 10X.

BATERI

Bateri 5000 mAh yang digunakan mengecas pada kuasa maksimum 25W. Dari segi kapasiti ia sama besar dengan S23 Ultra cuma dengan kuasa pengecas yang lebih rendah (25W vs 45W). Pengecasan adalah secara berwayar menggunakan port USB-C sahaja disokong. Pengecas tidak disertakan dengan setiap pembelian.

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

  • 1x Samsung Galaxy A54.
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

KESIMPULAN

Samsung Galaxy A54 ialah sebuah peranti kelas pertengahan yang cukup menarik kerana mempunyai skrin yang mantap, pemproses kelas pertengahan yang berkuasa, kamera yang tidak mengecewakan, perisian penuh ciri dan bateri berkapasiti besar. Oleh itu kami rasakan ia sepatutnya lebih serasi jika menggunakan nama Samsung Galaxy S23 Lite.

Rekaan sudah hampir sama dengan kemampuan kalis air IP67. Ia turut masih membawakan sokongan kad mikro SD yang semakin terancam pada peranti kelas ini. Pada pendapat kami sekiranya A54 dipasarkan pada harga yang sesuai, ia boleh menjadi peranti kelas pertengahan pilihan untuk tahun 2023.

Di Eropah ia dijual pada harga bermula sekitar RM2500 sebuah. Memang sedikit mahal berbanding kebanyakan peranti pesaing tetapi A54 mempunyai banyak ciri tambahan yang menarik serta sokongan empat versi Android dan tampalan sekuriti lima tahun yang jarang ditemukan pada peranti dalam kelas ini.

Pro

  • Rekaan tubuh kompak sedap di dalam tangan.
  • Kamera utama 50MP dengan OIS.
  • Kalis air IP67.
  • Kemas kini empat versi Android dan sekuriti lima tahun.
  • Bateri 5000 mAh yang besar.

Kontra

  • Pengecasan hanya 25W.
  • Tiada pengecas dalam kotak.

Anda juga boleh menggunakan kod khas AMGA34545G bagi mendapatkan aksesori 35W PD Power Adapter Duo yang bernilai RM 99 secara percuma apabila membeli Galaxy A34 | A54 di laman rasmi Samsung. Untuk maklumat lanjut mengenai produk dan promosi menarik mengenai Samsung, sila layari laman web rasmi mereka. 

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd