IQOO Z7x 5G telah dilancarkan di China pada 21 Mac lalu sebagai sebuah peranti kelas pertengahan 5G baharu. Berkongsi lebih lanjut, ia telah ditemui tersenarai di laman SIRIM Malaysia pada 22 Mac 2023 dengan nombor model I2216 (iQOO Z7x 5G). Ia didaftarkan oleh VTalent Business Sdn Bhd dan secara lazimnya mana-mana peranti yang sudah memasuki pangkalan data ini memberi gambaran bahawa pelancaran di Malaysia adalah semakin hampir.

Ia juga bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana iQOO Malaysia sendiri sedia mengacah kehadirannya sebelum ini. Cuma yang menjadi persoalan, adakah hanya peranti ini atau iQOO Z7 juga ditawarkan bersama? Begitu juga dengan perkakasan dalamannya, adakah ia akan dikekalkan seumpama variasi di China atau sebaliknya? Sama-sama kita nantikan perkongsian selanjutnya oleh pihak iQOO Malaysia sendiri.