Sebuah lagi peranti dengan cip Snapdragon 7+ Gen 2 bakal diumumkan dalam masa terdekat ini. Peranti yang dimaksudkan ialah Realme GT Neo5 SE yang kelak menjadi sebuah lagi peranti pertengahan dengan 5G terbina. Pelancarannya telah dijadualkan berlangsung pada 3 April akan datang dan Realme menjanjikan sesuatu cukup menarik melaluinya.
Poster rasmi memperlihatkan peranti ini masih mengekalkan sistem tri-kamera seumpama sebuah Realme GT Neo5, namun diolah semula dalam sebuah tubuh dengan kemasan serba baharu yang menggunakan konsep Cyberpunk berserta pilihan warna cerun yang menarik. Peranti juga telah dilaporkan telah ditemui tersenarai di penanda aras AnTuTu dengan skor keseluruhan 1,009,127 mata.
Melaluinya ia dikatakan menghampiri skor keseluruhan yang dicatatkan oleh cip Dimensity 9000. Selain daripada itu, peranti juga mungkin tersedia dengan pilihan memori sehingga 16GB RAM dan storan dalaman mencapai 1TB terbina. Skrin pula beresolusi 2K yang juga menyokong kadar segar semula 120Hz.