Cari @ Amanz

OnePlus 11 adalah sebuah peranti mercu hebat. Peranti ini telah mengembalikan kepercayaan peminat setia lama untuk kembali menggunakan peranti keluaran OnePlus. Tahun ini eksekutif mereka sudah sahkan akan tiada model Pro dilancarkan kerana model OnePlus 11 inilah peranti Pro mereka.

Walaupun begitu ini tidak menghalang OnePlus hadir dengan variasi edisi khas untuk peranti mercu mereka.

Terkini di laman Weibo OnePlus China mereka telah mengacah peranti OnePlus 11 berkait dengan planet Jupiter. Kapsyen yang mereka gunakan adalah “Jika semua orang unik adakah boleh untuk setiap telefon juga kelihatan unik?” dan juga “Jupiter unik, selain itu ia juga elegan dan adalah “raja” berkuasa di sistem solar”.

Tidak banyak informasi yang didedahkan. Tetapi menurut beberapa peniris mereka mendakwa yang OnePlus 11 akan hadir dengan variasi panel belakang yang menggunakan bahan binaan tidak pernah digunakan dalam industri telefon pintar.

Digital Chat Station menyatakan panel belakang ini apabila disentuh rasa sejuk, mempunyai tekstur yang baik dan tidak sangka yang bahan ini berjaya dibentuk untuk digunakan pada sebuah telefon.

Bahan ini dikatakan adalah batu marmar. Kca, aluminium, plastik, kulit dan panel dengan tekstur seakan kertas pasir sudah menjadi kebiasaan. Tetapi batu marmar? Kali terakhir saya lihat tekstur seakan bahan ini pada sebuah telefon pintar adalah dengan menggunakan pelekat vinil marmar Dbrand.

Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd