Cari @ Amanz

Langganan Twitter Blue dilancarkan kepada semua pengguna Twitter minggu ini. Menerusi langganan bermula RM35 sebulan di Malaysia ini, terdapat pelbagai ciri menarik boleh diakses seperti menyunting ciapan, video lebih panjang dan had ciapan sehingga 4000 aksara. Tetapi seperti ada stigma sekiranya seseorang dilihat menjadi pelanggan Twitter Blue lebih-lebih lagi di kalangan insan yang mendapat calit biru Twitter Verified kerana didakwa tidak layak.

Oleh itu Twitter dilihat sedang membangunkan ciri menyorokkan calit biru pada pelanggan Twitter Blue. Ciri ini ditemukan oleh Alessandro Paluzzi seorang pembangun aplikasi dan juga beberapa kali menemukan ciri baharu yang belum dilancarkan oleh Twitter sebelum ini. Untuk mengakses ciri ini, pelanggan perlu mengesahkan identiti menggunakan kad pengenalan rasmi.

Pada waktu ini Elon Musk tidak pernah mengatakan ciri ini akan diberikan. Yang pasti jika diberikan kelak, berapa ramai akan memilih ciri ini bagi menjaga hati rakan-rakan yang kehilangan calit biru legasi selepas ia dibuang bermula 1 April akan datang.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd