Cari @ Amanz

Sejak berdiri sendiri tanpa dibayangi syarikat induk, Honor kini semakin aktif mengukuhkan pemasaran produknya di pelbagai pasaran serata dunia dengan menawarkan pilihan peranti berspesifikasi menarik. Misalnya seperti Honor Magic5 Pro yang telah diperkenalkan secara rasminya di pentas Mobile World Congress 2023 baru-baru ini. Ia telah diberi telah diberi nafas baharu supaya mampu berfungsi dengan lebih cekap dan berkualiti.

Rekaan pada tahun ini mungkin tidak banyak berubah dengan generasi sebelum ini. Tetapi peranti dinaiktaraf dengan perkakasan dalaman dan perisian yang terkini. Akan tetapi masih terdapat kekurangan tertentu yang boleh ditemui pada peranti. Teruskan membaca artikel ulasan ini yang mana kami akan berkongsi mengenai apa yang menarik, perubahan dan juga kekurangan pada peranti.


SPESIFIKASI

Honor Magic5 Pro
Skrin6.81″ OLED 2, lTPO
WQHD+, 120Hz, HDR10+
PemprosesSnapdragon 8 Gen 2 (4nm)
Cip1 X 3.19 GHz Cortex X3
4 X 2.8 GHz Cortex A715
3 X 1.8 GHz Cortex A510
Cip GrafikAdreno 740
RAM12GB LPDDR5X
Muatan Dalaman512GB UFS 4.0
Kamera Utama50MP f/1.6, OIS (Sudut Lebar)
50MP f/2.0 (Ultra Sudut Lebar)
50MP f/3.0 OIS (Telefoto 3.5X)
Kamera Swafoto12 Megapixel f/2.4
3D ToF
Bateri5100 mAh
Pengecasan berwayar 66W
Pengecasan nirwayar 50W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Imbasan Wajah
Harga JualanRM4299 (12/512GB)

REKAAN

Rekaan pada tahun ini tidak banyak berubah dengan reka bentuk yang ringkas. Ia mempunyai bingkai kukuh dibulatkan yang mengelilingi peranti. Bahagian atas dan bawah adalah rata menjadikan peranti boleh didirikan di atas meja. Seterusnya ia dicantum pula dengan panel belakang kaca yang mempunyai kemasan agak kasar maka tidak memerangkap kotoran dengan mudah. Kemasan ini juga nampak elegan, kemas dan professional namun hanya terhad pada variasi berwarna Meadow Green sahaja.

Sementara itu Magic5 Pro berwarna Black pula masih mengekalkan panel belakang yang berkilat, namun masih dikelaskan sebagai warna yang cantik dan exotic. Warna ini juga kelihatan semula jadi, mereka yang memilihnya sering dikaitkan dengan sikap yang santai. Namun kebanyakan pengguna berpendapat, keselesaan adalah lebih penting berbanding nilai kosmetik. Honor juga menyertakan satu kerangka silikon lut sinar dengan setiap pembelian bermakna panel belakang yang cantik ini tidak tersorok daripada pandangan mata.

Dengan ukuran 76.7 x 162.9 x 8.77mm dan berat 219g pula, peranti adalah seimbang di dalam tangan walaupun mempunyai bonggol kamera bersaiz amat besar. Ia juga tidak melampau seperti model terdahulu dan diletakkan di bahagian tengah membuatkannya nampak simetri. Tri-kamera yang digunakan juga nampak seimbang dan tidak lagi canggung. Ini kemudiannya dipadankan dengan satu lampu LED Flash dan pengesan 3D ToF yang juga diletakkan bersama di dalam bonggol berkenaan.

Butang kuasa dan laras audio boleh ditemui di bahagian sisi kanan. Binaan yang teguh memudahkannya untuk ditekan. Sementara itu bahagian kiri pula kosong tanpa sebarang butang dan lubang. Peranti juga tidak mempunyai bicu audio 3.5mm tetapi Honor memberi kelebihan lain dengan menyertakan sistem pembesar suara audio yang ditala sistem audio DTS:X Ultra. Salah satunya boleh dijumpai pada kekisi audio di bahagian bawah yang diikuti dengan port USB-C, lubang mikrofon utama dan talam SIM bersaiz nano tanpa kad mikroSD diberikan.

Pun begitu Honor sekali lagi memberi kelebihan lain dengan menyediakan kebolehan eSIM pada peranti ini. Jika eSIM digunakan, hanya satu SIM fizikal boleh diaktifkan serentak. Seterusnya satu lagi pembesar suara diletakkan di bahagian atas peranti bersama pemancar infra merah. Kesemua yang dinyatakan diatas diletakkan di dalam tubuh peranti yang melepasi piawaian kalis debu dan air IP68. Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu secara tidak langsung memberi nilai tambah pada peranti. Malahan ia telah menjadi ciri yang wajib ada pada peranti mercu dan ketiadaaanya tidak lagi boleh dimaafkan.


SKRIN

Seterusnya skrin 6.81-inci yang digunakan adalah sama dengan pendahulunya. Saiz yang sama juga amat memudahkan proses penyesuaian diri menggunakan Magic5 Pro ini. Dalam masa sama, tiada perubahan mendadak yang turut dilakukan oleh Honor pada panel hadapan peranti dengan sejenis melengkung pada kedua-dua sisi yang juga menyokong kadar segar semula 120Hz dinamik.

Maka secara umumnya peranti berfungsi dengan lancar tanpa isu animasi nampak perlahan. Dibantu lagi dengan tetapan 120Hz, proses membuat penukaran berbilang aplikasi tidak menyebabkan isu sela masa. Ia juga responsif terhadap sentuhan. Terdapat juga pilihan skrin Dynamic, Medium (90Hz) dan Standard (60Hz) sepanjang masa sesuai buat mereka yang mementingkan ketahanan bateri. Skrin pula sepenuhnya daripada LTPO OLED yang menyokong resolusi maksimum WQHD+ (2848×1312 piksel). Saiz bezel keempat-empat peranti yang sama besar juga membuatkan skrin lebih seimbang dan sedap dipandang mata.

Selain itu, seperkara lagi yang sepatutnya menjadi perhatian ialah skrin Magic5 Pro mampu mencapai keterangan sehingga 1800 nits pada HDR penuh. Ini menjadikan kandungan dengan warna yang lebih terang dan baik boleh dinikmati pada peranti. Pengalaman penggunaan di bawah cahaya matahari yang terik juga memuaskan kerana kandungan di skrin boleh dibaca dengan mudah. Tiada isu memaparkan kandungan HDR dari perkhidmatan penstriman YouTube dan Netflix pada unit ulasan kami. Namun berbeza pula dengan unit Magic5 Pro rakan sekerja kami yang mendapati aplikasi Netflix tidak boleh digunakan padanya.

Kemudian kedudukan dwi-kamera swafoto berbentuk pil diletakkan pada bucu kiri atas adalah sama seperti Magic4 Pro. Secara lalai kesemua aplikasi akan menggunakan keseluruhan permukaan skrin tetapi bukan sewaktu menonton video. Ini mengakibatkan kandungan agak terganggu khususnya apabila peranti digunakan untuk bermain permua misalnya.

Pengimbas cap jari juga terbina di skrin dengan masa tindak balas yang baik. Tiada isu lengah masa malahan amat pantas menyahkunci peranti dengan pantas apabila jari diletakkan padanya. Bagi mereka yang memerlukan sistem biometri lain, imbasan wajah diberikan dengan prestasi yang juga pantas.


PENANDA ARAS

Snapdragon 8 Gen 2 digunakan sebagai tunjang utama peranti dan merupakan cip paling berkuasa oleh Qualcomm digunakan pada peranti Android setakat ini. Ia menggunakan binaan 4nm TSMC dengan kehadiran cip lapan teras melalui pembahagian tiga kluster berlainan untuk penggunaan tertentu. Ini dipadankan pula dengan memori 12GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman 512GB UFS 4.0 tanpa sokongan kad mikroSD.

Ini merupakan penambahbaikan berbanding Magic4 Pro sebelum ini yang menawarkan gabungan memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB. Namun, seandainya mahukan lebih pilihan Magic5 Pro juga menyokong ciri RAM turbo dengan penambahan 7GB RAM secara maya. Dengan ini peranti menawarkan sehingga 19GB RAM bagi membolehkan lebih banyak aplikasi dilancarkan serentak dan peranti mampu menggalas apa sahaja tugas harian. Apa yang boleh kami katakan pada tahun ini peranti mercu Android akan bersaing dengan sengit kerana perisian semakin baik dengan perkakasan juga semakin berkuasa.

Di sini, kami membandingkan peranti cip ini dengan Snapdragon 8 Gen 2 pada iQOO 11, Xiaomi 13 Pro dan Samsung Galaxy S23 Ultra. Kemudian diikuti pula dengan Vivo X90 yang dijana cip Dimensity 9200 dan cip Apple A16 Bionic pada iPhone 14 Pro Max. Kutipan mata keseluruhan markah penanda aras adalah seperti di bawah:

Geekbench 6

  • Honor Magic5 Pro – 1925/4852
  • Xiaomi 13 Pro – 1868/5272
  • Samsung Galaxy S23 Ultra – 1922/5017
  • Vivo X90 – 1668/4000
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 2524/6317

Antutu 3D

  • Honor Magic5 Pro – 1,090,731
  • Xiaomi 13 Pro – 1,252,296
  • Samsung Galaxy S23 Ultra – 1,171,384
  • Vivo X90 – 1,147,029
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941

Wild Life Extreme

  • Honor Magic5 Pro – 2502
  • Xiaomi 13 Pro – Tiada
  • Samsung Galaxy S23 Ultra – 3247
  • Vivo X90 – 3176
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 3373

Tiada perkara negatif boleh kami katakan mengenai prestasi. Baik digunakan untuk aktiviti harian mahupun permua, peranti mampu berfungsi dengan lancar. Ianya memberi pengalaman penggunaan yang pantas dan resposif tanpa masalah sela masa kronik. Gabungan pemproses berkuasa dan saiz RAM yang kini lebih besar memastikan peranti tidak mempunyai masalah melancarkan lebih 12 aplikasi tanpa perlu melakukan proses segar semula. Pengalaman menguji beberapa permua berat dengan tetapan grafik tertinggi juga menunjukkan peranti mampu berfungsi dengan baik. Seterusnya tahap pemanasan yang dialami juga sekadar suam-suam sahaja.

Tetapan khusus permainan MLBB menyediakan grafik mencapai High + kadar bingkai High. Ini dipadankan pula dengan kebolehan HD dan HP yang boleh diaktifkan. Seterusnya permainan COD Mobile pula secara lalainya menyediakan grafik High + kadar bingkai High, seterusnya tetapan tertinggi pula boleh mencapai grafik Very High+kadar bingkai Max. Sebagai tambahan, permainan turut boleh dimainkan pada kadar bingkai Ultra namun hanya terhad pada grafik Low sahaja. Kemudian permainan Alsphat 9 pada grafik High dengan sesi bermain melebihi 30 minit pula hanya memberi rasa suam di telapak tangan.


PERISIAN

Antaramuka terkini MagicOS 7.1 digunakan dan ia berasaskan Android 13 yang juga berfungsi sepenuhnya dengan mana-mana aplikasi atau perkhidmatan yang memerlukan log masuk akaun Google. Ini termasuklah Google Playstore, YouTube, Maps dan Gmail yang boleh diakses tanpa masalah kerana adanya GMS. Menariknya lagi apabila Honor turut menjanjikan kemas kini selama tiga tahun sistem operasi dan lima tahun pula untuk sekuriti pada peranti baharu ini.

Tempoh kemas kini adalah sama dengan sejumlah peranti Android di pasaran lain tetapi kelebihan lima tahun pada sistem keselamatan menjadinya setanding dengan apa yang ditawarkan Samsung. Pun begitu, kelebihan masih pada peranti Samsung yang diberikan kemas kini sistem selama empat tahun.

Secara menyeluruh, antaramuka baharu ini tiada perubahan yang besar dengan iterasi sebelum ini. Elemen antaramuka hampir kelihatan seperti Android asli dengan beberapa sokongan ekosistem Honor yang membolehkannya digunakan bersama komputer riba dan tablet lebih mudah menerusi ciri Honor Connect. Peranti juga menawarkan pilihan Always on Display dengan tetapan pelbagai gaya, di samping kebolehan laci aplikasi yang juga boleh digunakan sekiranya perlu.

Terdapat juga kebolehan fail yang boleh dibesarkan seumpama ColorOS 13 turut disokong sekaligus bantu mempercepatkan proses membuka aplikasi. Ia boleh dilakukan secara terus daripada papan pemuka utama tanpa keperluan untuk membuka fail. Turut boleh ditemui pengesanan aplikasi anti-penipuan dan perisian hasad masa nyata seumpama yang ditawarkan pada peranti Huawei.

Peningkatan sistem Turbo X Engine pula dikatakan menawarkan prestasi lebih lancar, hayat bateri berpanjangan dan peningkataan isyarat. Sebagai tambahan, sokongan memori maya sehingga 7GB yang membolehkan Magic5 Pro mempunyai memori sehingga 19GB RAM turut disertakan.


KAMERA

Sistem tri-kamera masih dikekalkan pada generasi baharu dengan konfigurasi sensor yang berbeza. Ianya terdiri dengan gabungan sensor 50MP + 50MP + 50MP dengan sokongan OIS. Tiada sensor 1-inci pada sensor sudut lebar tetapi sekadar sensor 1/1.12-inci 50MP. Seterusnya sensor kedua 50MP adalah untuk sudut ultra lebar, diikuti pula sensor ketiga 50MP (Sony IMX858) untuk periskop telefoto dengan zum optikal sehingga 3.5X dan digital 100X.

Kamera periskop telefoto ini juga dikuasakan dengan optik ultra-fusion baharu yang menggabungkan data imej daripada pelbagai kanta bagi meningkatkan kualiti antara tahap zum optik. Turut diberi fokus ialah ciri Millisecond Falcon Capture bertujuan meningkatkan masa kelajuan auto fokus dan butang pengatup (shutter) bagi menangkap objek yang bergerak pantas dengan kabur minima.

Disaat ramai pengeluar berkejar-kejaran menghasilkan peranti dengan sensor 1″, Honor mengambil pendekatan yang berbeza dalam menentukan kelebihan pada produknya. Menurut kenyataan ketua Honor, George Zhao Zhiwei dalam satu temu ramah ringkas tempoh hari mengatakan mereka berusaha mencapai keseimbangan di antara spesifikasi dan pengalaman penggunaan. Jika Honor menggunakan sensor 1″, maka peranti akan menjadi tebal. Tambahan pula sensor semasa yang digunakan pada Magic5 Pro sudah memberi pengalaman yang hebat tanpa perlu berkompromi dengan ketebalan pada peranti.

Pada bahagian hadapan sensor 16MP digunakan yang mana lebih besar berbanding 12MP pada Magic4 Pro. Seterusnya sensor 3D ToF pula bagi tujuan autofokus, menghasilkan kesan khas bokeh dan sistem wajah 3D. Seperti peranti Honor yang lain, tiada pilihan untuk rakaman gambar dengan nisbah 16:9. Sebaliknya hanya diberi pilihan sama ada 1:1, 4:3 dan penuh. Tiada juga sokongan 8K sebaliknya format rakaman video disokong hanya 4K/60FPS dengan penstabilan terbina. Kelebihan lain turut boleh ditemui apabila peranti menyokong mod skrin bernisbah 21:9 bagi mewujudkan rakaman seumpama filem.

Kepelbagai mod fotografi khas turut boleh ditemui pada peranti. Salah satu daripadanya ialah AI Motion Sensing Capture yang membolehkan gambar pegun diambil meskipun berlaku gerakan yang drastik. Misalnya seperti berlari laju dan melompat tinggi. Ia menjadi lebih menarik apabila tiada sebarang keperluan untuk menekan butang pengatup (shutter), sebaliknya gambar akan diambil secara automatik. Seterusnya rakaman video Magic-Log 10-bit Log 4K 60FPS dan Movie 3D LUT. Ini fungsi yang sama seperti sebelum ini di mana membolehkan setiap butiran pada rakaman dikekalkan dengan baik.

Kemudian ia boleh dicorak semula dengan tona warna lebih menarik sesuai dengan kehendak pengguna. Bukan itu sahaja, terdapat juga mod rakaman HDR 4K terbina dan menangkap imej RAW terbina menerusi tetapan aplikasi kamera. Bagaimanapun rakaman format 4K pada peranti ini hanya boleh dibuat dengan durasi 15 minit sahaja.


KUALITI GAMBAR

Penghasilan semula gambar menggunakan kamera utama memberi hasil memuaskan. Baik disemak menerusi skrin telefon pintar mahupun komputer riba, ia konsisten terang dengan perincian yang memuaskan. Gambar diambil nampak tajam dengan fokus yang baik. Seterusnya sistem kecerdasan buatan AI terbina juga memudahkan peranti menawarkan tetapan terbaik mengikut situasi semasa. Namun begitu, tona warna menjadi lebih tepu berbanding dunia sebenar. Kami secara peribadi tiada masalah dengan kualiti gambar sebegini malahan lebih memudahkan terus dimuat naik ke media sosial.

Bagaimanapun kami mula menyedari perbezaan warna mula berlaku apabila menyentuh mengenai perubahan sensor lebar ke ultra-lebar. Penghasilan semula warna nampak kebiru-biruan berbanding sensor lebar. Kualiti gambar bagaimanapun masih mampu memberikan kualiti seumpama kamera utama dengan butiran memuaskan apabila diambil dalam pencahayaan cukup. Jika sebaliknya, ia menjadi kurang memuaskan dengan warna tidak bermaya dan masalah hingar yang jelas.

Seterusnya AI Motion Sensing Capture pula berfungsi dengan baik dalam sesetengah keadaan. Dalam masa sama peranti turut menawarkan fungsi makro terbina yang boleh diaktifkan secara automatik dengan cara menghalakan kamera mendekati objek. Sebagai pilihan terdapat butang khusus disediakan menerusi ruang More pada pemidang kamera yang juga menyokong kebolehan zum sehingga 2X. Kualitinya memuaskan tetapi dengan pasca-proses yang agak keterlaluan.

Berikut kami lampirkan hasil gambar yang diambil menggunakan mod zum pada tetapan 0.5X, 3.5X, 10X, 50X dan 100X. Seperti sebelum ini, peranti baharu ini juga mempunyai kemampuan zum yang baik tetapi masih di belakang Samsung Galaxy S23 Ultra. Hasil terbaik boleh diambil pada tetapan zum 3.5X. Kemudian menjadi sekadar memuaskan apabila mencapai zum 10X, seterusnya gambar mula menjadi terlalu lembut dengan warna kurang bermaya apabila zum melebihi 30X dilakukan. Keadaan bertambah kurang memuaskan pada tetapan zum 100X dengan imej amat kabur.


KETAHANAN BATERI

Bateri 5,100mAh adalah lebih besar berbanding 4,600mAh yang digunakan pada Magic4 Pro. Ia peningkatan yang menarik kerana peranti mempunyai skrin besar dan pemprosesan berkuasa. Dalam pengguna yang berat dengan rangkaian selular dan kadar segar semula tinggi sepanjang masa digunakan, peranti menawarkan masa SOT mencapai 6 jam dengan hayat mencapai 9 jam. Tiada masalah untuk peranti bertahan lebih sehari dengan penggunaan yang sederhana dan ringan. Namun ketahanan sebenar masih bergantung pada penggunaan masing-masing.

Bateri mungkin besar tetapi hal yang terpaksa dikorbankan ialah sistem pengecasan kini sekadar 66W. Sungguhpun begitu, ia masih boleh dicas semula dalam masa yang singkat kurang daripada satu jam. Peranti juga menyediakan kebolehan sistem pengecasan nirwayar tetapi kami tidak pula mencubanya.


PERANTI PESAING

Honor Magic5 ProXiaomi 13 ProSamsung Galaxy S23 Ultra
6.81″ OLED, LTPO
WQHD+, 120Hz, HDR10+
6.73″OLED LTPO
WQHD+, 120Hz, Dolby Atmos
6.8″ Dynamic AMOLED 2X
WQHD+, 120Hz, HDR10+
Snapdragon 8 Gen 2 (4nm)
1 X 3.19 GHz Cortex X3
4 X 2.8 GHz Cortex A715
3 X 1.8 GHz Cortex A510
Snapdragon 8 Gen 2 (4nm)
1 X 3.19 GHz Cortex X3
4 X 2.8 GHz Cortex A715
3 X 1.8 GHz Cortex A510
Snapdragon 8 Gen 2
For
Galaxy (4nm)
1 X 3.36 GHz Cortex X3
4 X 2.8 GHz Cortex A715
3 X 1.8 GHz Cortex A510
Adreno 740Adreno 740Adreno 740
12GB LPDDR5X12GB LPDDR5X12GB LPDDR5X
512GB UFS 4.0256GB / 512GB UFS 4.0
256GB /512GB/1TB UFS 4.0
Kamera Utama
50MP f/1.6, OIS (Sudut Lebar)
50MP f/2.0 (Ultra Sudut Lebar)
50MP f/3.0 OIS (Telefoto 3.5X)
Kamera Utama
50MP f/1.9, 1″, OIS (Sudut Lebar)
50MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
50MP f/2.0 (Telefoto 3.2X optikal)
Kamera Utama
200MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
10MP f/2.4, OIS (Telefoto 3X)
10MP f/4.9, OIS (Telefoto 10X)
Kamera Hadapan
16 Megapixel f/2.4
3D ToF
Kamera Hadapan
32 Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
12 Megapixel f/2.2
IP68IP68IP68
Tiada bicu audioTiada Bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5100 mAh
Berwayar 66W
Nirwayar 50W
4810 mAh
Berwayar 120W
Nirwayar 50W
Berbalik 10W
5000 mAh
Berwayar 45W
Nirwayar 15W
Berbalik 4.5W
Harga RM4299RM 4599 (12/256GB)
RM 5999 (12/512GB)
RM 5699 (12/256GB)
RM 6699 (12/512GB)
RM 7199 (12/1TB)

APA DI DALAM KOTAK?

  • 1x Honor Magic5 Pro.
  • 1x Kerangka silikon.
  • 1x Pengecas 66W.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

KESIMPULAN

Melihat penawarannya, Magic5 Pro boleh menjadi salah satu pilihan baik buat pengguna yang mahukan sebuah peranti mercu berkuasa. Ia bukan sahaja mampu menggalas sejumlah besar tugasan harian yang mencabar, malahan seronok digunakan sewaktu bermain. Penggunaan nama Magic juga bersesuaian dengan pendekatan Honor yang agak berbeza berbanding yang lain.

Ketiadaan sensor 1-inci pada sistem kamera tidak bermakna hilangnya nilai menarik pada peranti. Sebaliknya Honor mengambil pendekatan yang berbeza dalam menentukan kelebihan pada produk. Gabungan kamera canggih dan perisian terkini menjadikan pengalaman fotografi semakin menarik. Perkara yang sama boleh dikatakan untuk pengalaman video, walaupun kita masih disajikan dengan video berkualiti daripada peranti mercu lain.


PRO

⦁ Skrin besar OLED dengan LTPO dan 120Hz
⦁ Cip berkuasa dengan RAM serta memori yang pantas.
⦁ Bateri besar dengan pengecasan pantas.
⦁ Masih mempunyai pemancar infra merah.
⦁ Mempunyai pengimbas wajah 3D.

KONTRA

⦁ Tidak dilengkapi sensor 1″ yang diinginkan kebanyakan pengguna.
⦁ Sokongan kemas kini versi Android tidak sebaik pengeluar lain.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd