Cari @ Amanz

Set kepala realiti terimbuh (AR) Apple dijangka akan diperlihatkan kepada umum dalam masa beberapa bulan sahaja lagi. Ia akan menjadi produk kategori baharu Apple yang pertama sejak Apple Watch. Walaupun produk semakin hampir dilancarkan, The New York Times melaporkan terdapat kakitangan yang menyuarakan keraguan mengenai set kepala ini.

NYT menemubual lapan kakitangan dan bekas kakitangan yang terlibat dengan set kepala yang mungkin menggunakan nama Reality Pro. Antara kerisauan utama ialah Reality Pro dilihat sebagai produk yang tidak menyelesaikan sebarang masalah harian dan masih tidak mempunyai ciri yang akan menjadikannya produk yang perlu dibeli.

Kerisauan juga wujud kerana Reallity Pro generasi pertama diramalkan dijual pada harga $3000 yang menjadikannya jauh lebih mahal berbanding produk Apple yang lain di pasaran. Sebelum ini muncul laporan pasukan jurutera Apple merasakan Reality Pro masih belum bersedia tetapi Tim Cook berkeras melancarkannya juga dengan segera.

Sungguhpun begitu dalam laporan Bloomberg, Apple dilaporkan telah menunjukkan demo Reality Pro kepada 100 eksekutif tertinggi mereka di Steve Jobs Theatre minggu lalu. Reaksi daripada kumpulan ini ialah positif dengan mereka merasakan ia mempunyai potensi menjadi seperti Apple Watch. Pada awalnya Apple Watch dilihat sebagai sebuah kegagalan tetapi sekarang mendominasi lebih separuh pasaran jam tangan pintar global.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd