Tahun lalu Apple mula menjual iPhone tanpa talam SIM di Amerika Syarikat. Hanya eSIM sahaja boleh digunakan pada peranti-peranti ini. Kini laporan daripada Perancis menunjukkan siri iPhone akan turut ditawarkan di negara tersebut tanpa talam SIM fizikal.
Ini adalah petanda paling awal Apple mula mengembangkan penawaran iPhone tanpa talam SIM fizikal ke lebih banyak pasaran. Besar kemungkinan ciri ini akan tiba ke beberapa negara Eropah terlebih dahulu. Ia memudahkan proses memindah sokongan selular ke peranti baharu tetapi akan mengecewakan mereka yang masih ingin menggunakan SIM fizikal kerana mempunyai lebih daripada satu telefon.
Masih terdapat harapan ini tidak akan berlaku kerana di China misalnya iPhone masih menyokong dwi-SIM nano fizikal kerana keperluan pasaran. Sekiranya iPhone di Malaysia hanya menyokong eSIM, adakah ini akan menyebabkan jualan berkurangan ataupun sebaliknya?