Carian
Elon Musk Dilaporkan Sedang Membangunkan Projek AI Tersendiri Di Twitter
April 12, 2023 Aman

Elon Musk kini dilaporkan telah membeli sekitar lebih 10,000 GPU dan turut mendapatkan beberapa pekerja dari syarikat DeepMind untuk membangunkan projek penjanaan berasaskan kecerdasan buatan tersendiri, di Twitter.

Seperti ramai sedia maklum, pada hari ini pelbagai syarikat memfokuskan kepada arena penjanaan teks dan gambar dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI). Elon Musk yang sebelum ini meminta usaha pembangunan kecerdasan buatan dihentikan sementara, nampaknya mengambil langkah berbeza dan sedang membangunkan projek tersendiri.

Ia dikatakan masih tidak diketahui lagi bagaimanakah implementasi kaedah penjanaan ini akan berlaku di Twitter. Ada yang melakukan spekulasi yang mana ia mungkin diintegrasikan dalam menambah-baik ciri carian di Twitter, disamping turut digunakan untuk tujuan kandungan pengiklanan.

Untuk tujuan ini sahaja, Elon Musk dilaporkan berbelanja puluhan juta ringgit untuk membeli GPU-GPU berkenaan serta mendapatkan bakat dalam bidang kecerdasan buatan – walaupun Twitter masih belum stabil sepenuhnya dari segi kewangan.

Apa pun- seperti biasa, sama-sama kita nantikan apakah perancangan Elon Musk dibawah projek kecerdasan buatan ini.

Komen