Cari @ Amanz

Hari Raya Aidilfitri kembali menjelma dengan ramai pasti tidak sabar untuk pulang ke kampung bertemu sanak-saudara yang lama tidak bertemu muka. Sempena Hari Raya in, secara tradisinya di Amanz kami akan anugerahkan beberapa peranti terbaik yang telah dilancarkan tahun ini. Hari ini tiba giliran Peranti Terbaik Raya 2023 Kelas Premium Pertengahan pula.

Ini ialah kategori yang sukar untuk kami cari tiga yang terbaik kerana terlalu banyak peranti dalam kelas ini yang mantap-mantap belaka dengan harga yang juga mampu milik. Selepas berbincang sesama sidang editorial, berikut ialah tiga Peranti Terbaik Raya Pertengahan Premium


Kriteria Pemilihan

  • Harga bawah RM3000 sebelum promosi.
  • Skrin dengan kadar segar semula tinggi.
  • Prestasi amat memuaskan dengan cip kelas pertengahan.
  • Nilai terbaik untuk harga ditawarkan.
  • Menggunakan sekurang-kurangnya Android 12
  • Telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia tahun 2023.

Tempat Ketiga – Vivo V27

Vivo V27 diklasifikasikan sebagai telefon pintar kelas pertengahan. Tetapi hakikatnya pemproses DImensity 7200 yang digunakan dilengkapi teras Cortex A715 yang biasanya wujud pada cip kelas mercu. Ia juga dihasilkan menggunakan teknologi 4nm bagi menjimatkan penggunaan tenaga.

Rekaan peranti cukup menarik dengan skrin 6.78″ AMOLED 120Hz yang menyokong HDR10+. Tri-kamera utama mempunyai lensa sudut lebar, ultra sudut lebar dan makro lengkap dengan OIS. Ini akan memastikan kemampuan fotografi yang cukup baik. Ia di tempat ketiga kerana hanya dilengkapi speaker mono, tiada bicu audio dan bateri 4600 mAh yang sekadar menyokong pengecasn 66W. Tetapi jika anda mencari peranti kelas pertengahan mercu paling berkuasa, Vivo V27 ialah jawapannya.

Spesifikasi: 6.78” AMOLED FHD+ 120Hz, MediaTek Dimensity 7200 (4nm) (2X Cortex-A75 2.8 GHz + 6X Cortex-A51o ? GHz), 8/12GB RAM, storan 256GB, 50+8+2 MP (Utama), 50MP (Swafoto), 4600 mAh (66W), Android 13.

Harga: RM1799 (8/256GB), RM1999 (12/256GB),


Tempat Kedua – iQOO Z7

Di tempat kedua ialah iQOO Z7 yang cukup berkuasa kerana dilengkapi cip Snapdragon 782G yang masih baharu. Kami sukakan Z7 kerana harga jualannya yang amat munasabah apabila dibandingkan dengan spesifikasinya. Skrin 6.64″ IPS LCD tetapi menyokong kadar segar semula 120Hz, dilengkapi speaker stereo, sokongan bicu audio dan turut mempunyai bateri 5000 mAh dengan pengecasan 120W.

Ia tidak mendapat tempat pertama kerana masih menggunakan skrin LCD, tidak mempunyai sebarang piawaian kalis air, tiada slot kad mikroSD dan kamera tidak mempunyai lensa ultra lebar yang kami rasakan kini perlu.

Spesifikasi: 6.64” IPS LCD FHD+ 120Hz, Snapdragon 782G (6nm) (1X Cortex-A78 2.7 GHz + 3X Cortex-A78 2.4 GHz + 4X Cortex-A55 1.8 GHz), 8/12GB RAM, storan 128/256 GB, 64+2MP (Utama) OIS, 16MP (Swafoto), 5000 mAh (120W), Android 13.

Harga: RM1299 (8/128GB), RM1499 (12/256GB)


Juara – Redmi Note 12 Pro+

Redmi Note 12 Pro+ mungkin pilihan yang agak kontroversi sebagai pemenang kategori ini tetapi hakikatnya ia adalah pakej yang paling lengkap dan berbaloi. Skrin 6.67″ dari keluarga AMOLED menyokong 120Hz dan Dolby Vision yang jarah diberikan pada peranti Android. Cip Dimensity 1080 walaupun sudah agak berusia masih lagi berkuasa.

Kelebihan paling ketara Note 12 Pro+ ialah kamera 200MP yang amat besar serta hadir dengan OIS. Ia juga kalis air IP53 yang tidak ada pada dua peranti di atas. Akhir sekali bateri 5000 mAh yang digunakan tahan lama dengan sokongan pengecasan 120W yang amat pantas. Semuanya pada harga RM1599 sahaja.

Spesifikasi: 6.67” AMOLED FHD+ 120Hz, Dolby Vision, MediaTek Dimensity 1080 (6nm) (2X Cortex-A78 2.6 GHz + 6X Cortex-A55 2.0 GHz), 8GB RAM, storan 256GB, 200+8+2 MP (Utama) OIS, 16MP (Swafoto), 5000 mAh (120W), Android 12.

Harga: RM1599 (8/256GB)


Baiklah ini ialah senarai peranti-peranti terbaik dalam kategori Premium Pertengahan untuk Hari Raya 2023. Untuk Peranti Terbaik Raya 2023 Amanz Kelas Mercu pula sila nantikannya esok.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd