Realme Malaysia hari ini melancarkan peranti edisi khas mereka iaitu Realme 10 Pro Coca-Cola Edition. Ini adalah kerjasama pertama kali Realme dengan jenama minuman terkenal ini dan secara tidak langsung Coke mempunyai telefon pintar tersendiri.

Peranti ini adalah peranti sama dengan Realme 10 Pro yang dilancarkan pada Disember lalu dengan tanda harga RM1299. Tetapi edisi Coke ini sedikit berbeza menjadikan harga jualannya pun lebih mahal.
Pertama sekali peranti ini menggunakan panel belakang dengan warna hitam dan warna merah ikonik berserta dengan logo Coca-Cola. Kemasan pada warna hitam ini adalah kusam sama dengan bingkai peranti dengan pada bahagian warna merah mempunyai kesan seakan air tin Coke yang sejuk dan basah.

Realme 10 Pro Coca-Cola ini juga tidak menangkap sebarang kotoran cap jari. Realme turut menyertakan tema khas Coca-Cola seperti gambar latar dan gambar kunci skrin bertemakan jenama ini. Ikon aplikasi pada skrin utama juga menggunakan tema santai dan paling menarik adalah nada dering yang menggunakan bunyi air Coke serta lagu tema jenama ini.

Peranti ini menggunakan skrin 6.72″ IPS LCD FHD+ 120Hz dengan cip Snapdragon 695 5G yang dipadankan dengan memori 8GB RAM (memori maya sehingga 8GB RAM) dan storan dalaman 256GB. Kamera pula adalah 108+2 Megapixel dengan kamera swafoto 16 Megapixel. Bateri pula adalah 5000mAh dengan pengecasan pantas 33W.

Di Malaysia Realme 10 Pro Coca-Cola Edition dijual pada harga RM1399 (mahal RM100 dari model biasa). Setiap pembelian pembeli akan menerima kotak khas, pin SIM istimewa dan set pelekat. Realmeow edisi Coke ini tidak dijual. Malaysia adalah 1 daripada 5 negara yang menawarkan peranti ini dan jualan adalah terhad kepada beberapa ratus unit sahaja daripada 6000 unit secara global.