Awal hari ini kami telah melaporkan bahawa TM memperlihatkan pelan sambungan internet Unifi terbaru mereka yang memaparkan kelajuan memuat-turun sepantas 2Gbps. Ia tidak mengejutkan bahawa untuk mendapatkan kelajuan ini pada peranti anda, modem, penghala sambungan internet dan juga peranti haruslah menyokong sambungan dengan kelajuan ini.

Akan tetapi, untuk pelan Unifi 2Gbps ini, kami telah memerhatikan beberapa perkara yang agak merunsingkan mengenai kelajuan ini. Melalui bahan pemasaran yang kami terima daripada seorang pengguna awanama, kita dapat memperlihatkan bagaimana sambungan internet pantas ini akan dipersembahkan kepada pelanggan.
Secara teknikalnya, ya pelanggan akan menerima sambungan sepantas 2Gbps, tetapi ini nampaknya hanyalah secara agregat. Apa yang dimaksudkan disini ialah pengguna akan menerima sambungan 1Gbps + 1Gbps, kerana menurut bahan pemasaran dan juga laman FAQ Unifi sendiri, penghala WiFi 6 yang akan dibekalkan oleh TM untuk pelan ini hadir dengan empat palam Ethernet yang beserta sokongan sambungan internet berwayar sepantas 1Gbps.
Ini bermakna bahawa dua palam Ethernet dan dua peranti dengan sokongan sambungan berwayar 1Gbps diperlukan untuk anda menguji sambungan internet 2Gbps ini sekaligus.

Malah, perkara ini juga diperkatakan sendiri oleh TM melalui laman FAQ mereka juga, yang mengatakan bahawa dua peranti dengan sokongan Ethernet ini diperlukan untuk mendapatkan kelajuan yang dibayar ini.
Ini juga bermakna bahawa pengguna tidak akan dapat memanfaatkan kelajuan penuh sambungan 2Gbps ini pada satu peranti, tetapi jumlah kelajuan yang hadir sepatutnya cukup pantas walaupun anda mempunyai berpuluh-puluh peranti yang disambungkan ke rangkaian anda pada satu-satu masa.

Perlu juga diingatkan bahawa walaupun pada kelajuan 1Gbps, penghala dan peranti anda haruslah menyokong sambungan dengan kadar penghantaran data ini, dan kelajuan ini secara lazimnya akan hanya diperlihatkan melalui sambungan berwayar, dan ini termasuklah untuk penghala yang akan diberikan oleh pihak TM.
Seperti yang kami laporkan sebelum ini, pelan Unifi 2Gbps ini hadir dengan harga promosi RM399 sebulan untuk kontrak dua tahun, manakala pelan Unifi 1Gbps pula diperlihatkan dengan harga promosi RM349 sebulan untuk kontrak dua tahun.