Cari @ Amanz

2023 merupakan satu tahun yang sangat menarik untuk semua yang terlibat dalam industri permua, tidak kira pembangun perisian, jenama peranti mahupun peminat permua. Ini adalah kerana walaupun jumlah permua di Apple App Store dan Google Play Store semakin banyak, ia juga dapat dilihat bahawa jumlah jenama peranti pintar gaming yang diperlihatkan semakin berkurangan.

ASUS, jenama gaming yang cukup di kalangan gamer, tidak kira PC ataupun permua baru-baru ini telah memperkenalkan peranti gaming terbaru mereka, ASUS ROG Phone 7 dan ASUS ROG Phone 7 Ultimate yang kami berpeluang untuk lihat dan uji.

Spesifikasi

ASUS ROG Phone 7 Ultimate
Skrin6.78″ AMOLED, 165Hz
1080 x 2448 pixels (395 ppi)
PemprosesSnapdragon 8 Gen 2 5G (4 nm)
Cip1 x 3.2 GHz Cortex-X3
2 x 2.8 GHz Cortex-A715
2 x 2.8GHz Cortex-A710
3 x 2.0 GHz Cortex-A510
Cip GrafikAdreno 740
RAM16GB LPDDR5
Muatan Dalaman512GB UFS 4.0
Kamera Utama50 MP, f/1.9, (lebar), PDAF
13 MP, f/2.2, (ultra-lebar)
5 MP, f/2.0 (makro)
Kamera Swafoto32MP f/2.5
Bateri6000 mAH
Berwayar 65W
Berbalik 10W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioAda
Kalis AirIP54
Sistem ImbasanPengimbas cap jari
Imbasan Wajah
Harga JualanUS$1220 (~RM5400)

Rekaan Dan Skrin

Jika anda ingat akan ulasan peranti ASUS ROG Phone 6D kami pada tahun lepas, rekaan peranti ROG Phone 7 Ultimate ini adalah lebih kurang sama seperti peranti tersebut. Ia tampil dengan saiz paparan 6.78 inci yang sama, cuma dengan resolusi dan ketumpatan piksel per inci yang lebih tinggi.

Sama seperti ROG Phone 6D, peranti ROG Phone 7 Ultimate ini juga tampil dengan kadar segar semula setinggi 165Hz dan hadir dengan sokongan untuk teknologi seperti HDR10+ dan mempunyai nilai kecerahan setinggi 1500 nit.

Paparan peranti ini dilindungi oleh skrin Gorilla Glass Victus, manakala bahagian belakangnya pula menggunakan Gorilla Glass 3. Di bahagian belakang peranti ini juga ia dapat diperlihatkan bahawa ASUS menggunakan semula rekaan peranti ROG Phone 6D untuk memuatkan tetingkap penyejuk AeroActive Portal yang membantu mengalirkan haba daripada komponen-komponen di dalam dengan cepat dan mudah.

Sama dengan peranti ROG Phone 6 Ultimate dan ROG Phone 6D sebelum ini, paparan OLED ROG Vision juga diperlihatkan sekali lagi, iaitu sebuah paparan 2 inci yang membolehkan pengguna untuk mengubahsuai sedikit rupa peranti dengan corak-corak yang menunjukkan keperibadian pengguna.

Gimik utama ROG Phone 7 Ultimate semestinya hadir melalui sistem butang ultrasonik AirTrigger yang boleh digunakan untuk mengakses butang-butang dalam permua secara lebih mudah. Kini, dengan ROG Phone 7, pengguna mempunyai lebih banyak pilihan tatalan butang, yang mana saya rasakan ia mungkin sedikit sukar untuk dihafal apabila digunakan buat kali pertama.

Ciri tambahan yang mungkin paling berguna yang dapat saya lihat ialah gyroscope aiming, ataupun penghalaan menggunakan gyroscope yang mana pengguna boleh menggerakkan peranti untuk menghalakan penglihatan pada paparan.

Sama seperti model-model sebelum ini juga, ASUS ROG Phone 7 Ultimate ini hadir dengan dua palam USB Type-C yang menyokong pengecasan pantas 65W. Untuk palam USB Type-C di sisi peranti, penggunaan pogo-pin juga kembali untuk menyokong aksesori AeroActive Cooler terbaru yang diperkenalkan khusus untuk peranti ini.

Perkakasan Dan Perisian

ASUS ROG Phone 7 Ultimate dilengkapi dengan sistem operasi Android 13 dan syarikat tersebut telah menjanjikan kemaskini dua versi sistem operasi dan kemaskini sekuriti selama sekurang-kurangnya empat tahun.

Sama seperti peranti-peranti ROG Phone sebelum ini juga, ROG Phone 7 tampil menggunakan antaramuka ROG UI ataupun Zen UI. Untuk kali ini juga, ASUS membolehkan pengguna untuk mencampur-aduk pek latar belakang dan juga ikon-ikon aplikasi mengikut citarasa pengguna.

Aplikasi utama peranti ini merupakan Armory Crate yang merumahkan sejumlah besar tetapan yang boleh diakses untuk mengaktifkan sejumlah besar ciri-ciri pada peranti ini, seperti ROG Vision, AeroActive Cooler, GameGenie dan sebagainya.

Satu ciri yang sangat menarik yang baru diperkenalkan pada peranti ini ialah senarai permua yang menyokong pelbagai jenis kadar segar semula paparan, dari 120Hz ke 144Hz dan 165Hz dalam senarainya yang tersendiri.

Bagi saya sebagai pengulas peranti, ini merupakan satu kemudahan yang cukup berguna sekali kerana saya tidak perlu tercari-cari permua yang mana saya boleh memperlihatkan kegunaan paparan dengan kadar segar semula pantas ini, dan penyenaraiannya yang berasaskan kadar segar semula yang disokong juga sangat membantu.

Kamera

Walaupun ASUS tidak begitu memfokuskan kepada keupayaan kamera peranti-peranti pintar mereka, secara lazimnya ia masih akan dimuatkan dengan sensor yang cukup berkuasa. Sensor utama sistem kamera ini menggunakan Sony IMX766 yang akan dibantu oleh algoritma pengimejan pada cip Snapdragon 8 Gen 2.

Dalam pada itu, ASUS juga telah menaiktarafkan kamera swafoto siri peranti ROG Phone 7 ini dengan kamera 32MP untuk membolehkan pengguna mengambil gambar swafoto yang lebih terang.

Bateri

Sama seperti model sebelum ini, ASUS ROG Phone 7 dan ROG Phone 7 Ultimate akan menggunakan gabungan dua bateri 3000mAH dan boleh dicas menggunakan salah satu daripada dua palam USB Type-C dengan sistem pengecasan 65W terbina.

Sama seperti sebelum ini, bateri 6000mAH ini dipisahkan kerana ASUS mahu memastikan bahawa komponen SoC terletak betul-betul di tengah peranti supaya ia boleh disejukkan dengan aksesori AeroActive Cooler apabila diperlukan.

ASUS turut menjanjikan penggunaan kuasa bateri yang lebih cekap dan juga jangka hayat bateri yang lebih lama kerana penggunaan bersama SoC Snapdragon 8 Gen 2, tetapi kami akan lihat sendiri jika ia benar-benar lebih cekap berbanding model sebelum ini.

Pengalaman Nyah-kotak

ASUS ROG Phone 7 Ultimate hadir dengan kotak penyimpanan yang berbeza berbanding dengan kotak peranti versi Ultimate sebelum ini. Jika kotak sebelum ini berbentuk silinder, kotak ASUS ROG Phone 7 Ultimate berbentuk segitiga besar pula.

Kotak ini diperbuat daripada bahan kitar semula, dan dikepit oleh sebuah panel kecil yang boleh digunakan untuk mengaktifkan ciri AR terbina dalam peranti ini yang mengaktifkan sebuah permainan ringkas yang memanfaatkan beberapa ciri baru yang diperlihatkan pada peranti ini.

Di dalam kotak ini, selain daripada peranti ROG Phone 7 Ultimate, pengguna juga akan diberi sebuah kerangka asas untuk peranti ini, pengecas 65W, kabel USB Type-C dan juga penyejuk AeroActive Cooler 7 dan beg penyimpanan untuk penyejuk tersebut.

Kesimpulan

Setelah beberapa tahun bersaing di arena yang sangat niche ini, ASUS nampaknya satu-satunya jenama yang kekal sebagai tunggak peranti kelas “gaming” yang tinggal di pasaran. Jenama-jenama lain seperti Black Shark, Lenovo, Razer dan sebagainya tidak berjaya untuk memecahkan monopoli ASUS di kebanyakan pasaran, dan oleh sebab ini, ia dilihat bahawa siri peranti ROG Phone 7 merupakan satu-satunya peranti pintar gaming kelas premium di pasaran pada tahun ini.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd