Tahun ini hanya ada tiga peranti gaming yang tiba di pasaran Malaysia, iaitu Black Shark 5, Red Magic 7S Pro dan juga siri Asus ROG Phone 6/6D. Yang saya dapat uji sendiri adalah Red Magic dan ia mempunyai rekaan yang mantap tetapi dikecewakan oleh perisian yang tidak begitu memuaskan

Apabila Asus ROG Phone 6D tiba di makmal Amanz, saya berpeluang menggunakan peranti yang dijana cip Dimensity 9000+ ini dan ianya hebat serta mempunyai prestasi di luar jangkaan saya.
Spesifikasi Dan Rekaan
Asus ROG Phone 6D | |
---|---|
Skrin | 6.78″ AMOLED FHD+ (1080×2400) 165Hz, HDR10+ |
Pemproses | MediaTek Dimensity 9000+ (4nm) |
Cip | 1x 3.35 GHz Cortex-X2 3x 3.20 GHz Cortex-A710 4x 1.80 GHz Cortex-A510 |
Cip Grafik | Mali-G710 MC10 |
RAM | 12GB LPDDR5X |
Muatan Dalaman | 256GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 50MP, f/1.9 (Utama) 13MP, f/2.2 (Sudut ultra-lebar) 5MP (Makro) |
Kamera Swafoto | 12MP |
Bateri | 6000 mAh Pengecasan berwayar 65W (PD) |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano 5G |
NFC | Ada |
Audio | Stereo Menghala ke hadapan Dirac HD Sound, Hi-Res 3.5mm |
Kalis Air | IPX4 |
Sistem Imbasan | Imbasan jari bawah skrin |
Harga Jualan | RM 3,499 (12/256 GB) |
Asus ROG Phone 6D adalah peranti pertama di Malaysia dijana cip MediaTek Dimensity 9000+. Ia juga dipadankan dengan memori 12GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman 256GB UFS3.1. Peranti ini turut menggunakan skrin yang sama dengan Asus ROG Phone 6 iaitu 6.78-inci AMOLED FHD+ 165Hz dengan kadar sentuhan mencapai 720Hz serta turut menyokong paparan HDR10+ dengan sokongan perlindungan mata untuk pengguna.

Skrin peranti ini juga adalah antara yang terbaik di pasaran kerana mampu memaparkan pelbagai kandungan tanpa sebarang masalah. Misalnya apabila saya menstrim video di Netflix atau YouTube, kandungan HDR10+ mempunyai warna yang tajam, butiran yang jelas dan memberikan pengalaman menonton yang terbaik.
Tidak lupa juga pada kadar segar semula 165Hz yang sangat pantas, tiada masalah lengah masa atau sela masa pada setiap sentuhan dan sepanjang penggunaan. Jika anda merasakan skrin 120Hz telefon anda sudah cukup pantas serta lancar, skrin ROG Phone 6D ini adalah lebih mantap.

Skrin walau bagaimanapun masih mempunyai bahagian dahi dan dagu yang agak ketara. ASUS enggan menggunakan teknologi kamera bawah skrin, lubang kamera atau takuk. Keputusan mereka ini sebenarnya tepat kerana kamera diletakkan pada bahagian dahi tidak mengganggu visual yang dipaparkan pada skrin ketika menonton video dan lebih penting lagi ketika sesi permua.
Rekaan peranti sama sahaja dengan ROG Phone yang sebelum ini. Perbezaan hanyalah pada corak di belakang dan warna yang digunakan. Sisi kanan terletaknya butang kuasa dan butang aras suara bersama dengan butang sentuhan AirTrigger untuk menjadi butang bahu ketika bermain permua dengan sokongan sistem getaran X-Haptic yang memberi timbal balasa menekan yang realistik.

Tiada apa-apa di atas tetapi di bawah terdapat port penegcasan USB-C pertama bicu audio 3.5mm yang kini semakin pupus pada telefon pintar moden. Asus turut menyertakan satu lagi port USB-C di sisi kiri untuk tujuan pengecasan atau juga untuk pemasangan aksesori seperti AeroActive Cooler 6 atau juga alat kawalan Kunai Gamepad 3. Menerusi port pengecasan sekunder ini tiada isu kabel menghalang jari ketika peranti dipegang secara mendatar.

Asus ROG Phone 6D menjalankan sistem operasi ROG UI yang memfokuskan kepada permua atau Zen UI yang dekat dengan Android asli dibina berasaskan Android 12. Bateri peranti adalah 6000mAh dengan sokongan pengecasan Power Delivery 65W.
Panel belakang peranti yang diperbuat daripada logam turut mempunyai logo ROG dengan sokongan RGB yang boleh dikawal oleh pengguna sama ada untuk nampak ranggi ketika bermain permua atau sebagai lampu LED untuk notifikasi.
Telefon gaming ini agak berat dan tebal kerana terdapat pelbagai sistem penyejukan tambahan serta saiz bateri yang amat besar. Namun begitu bagi sebuah telefon gaming ini bukanlah perkara negatif kerana ROG Phone 6D adalah amat selesa dan sedap di dalam tangan. Lebih penting lagi ialah ia turut melepasi piawaian kalis air IPX4.
Penggunaan Dan Perisian
Seperti yang saya katakan tadi, peranti ini menawarkan dua pilihan pelancar iaitu ROG UI ataupun Zen UI. Sepanjang penggunaan saya lebih gemar menggunakan Zen UI kerana miripAndroid 12 asli yang ringkas, sedap mata memandang dan tidak memeningkan. ROG UI sebenarnya lebih kurang sama sahaja, cuma ikon dan warna yang digunakan pada saya nampak kusut serta tidak kemas. Sedikit mengecewakan peranti masih menggunakan Android 12 kerana Android 13 telahpun dilancarkan secara rasmi lebih tiga bulan yang lalu.

Walaupun begitu, tidak kira pelancar mana digunakan kedua-duanya masih menawarkan ciri dyang sama. Paling penting adalah sokongan Armoury-Crate yang membenarkan pengguna mengawal tetapan RGB, tetapan permua, tetapan AeroActive Cooler 6/Kunai Gamepad 3 dan paling penting kemampuan melewahjam dengan mod X-Mode untuk meletakkan peranti pada mod prestasi paling tinggi.

Apa yang mengecewakan dengan peranti ini adalah sokongan perisian yang hanya dua tahun sahaja dengan dua versi Android dan dua tahun kemas kini tampalan sekuriti. Peranti berharga lebih RM3000 sepatutnya menawarkan sokongan kemas kini sekurang-kurangnya tiga tahun. Ini secara tidak langsung memaksa pengguna menukar peranti selepas dua tahun penggunaan jika tidak ingin menjadi mangsa kerentanan sekuriti.
Sukar untuk memaafkan Asus dalam hal in memandangkan Samsung mampu menawarkan kemas kini empat versi Android dan tampalan sekuriti sehingga lima tahun pada peranti siri Galaxy A mereka yang jauh lebih murah.

Bermain permua pada peranti ini adalah yang terbaik di pasaran sekarang. Benar, Black Shark 5 dan 5 Pro dilengkapi butang bahu fizikal memberikan pengalaman yang lebih tampak seakan pengawal permainan konsol. Tetapi selepas lebih dua minggu penggunaan, AirTrigger sebenarnya adalah satu fungsi yang baik dengan bantuan sistem getaran X-Haptic.
Tahap sensitiviti butang bahu boleh dilaras pada Armoury-Crate seperti untuk tekan dengan lembut atau tekan dengan kuat. Bukan setakat itu sahaja AirTrigger juga boleh mengesan tatalan dan diprogramkan untuk melakukan makro dalam permua. Dari segi fungsi, AirTrigger membolehkan lebih banyak perkara tambahan diaktifkan misalnya untuk mengaktifkan pengesanan giroskop dalam permua penerbangan misalnya.

Ia juga membenarkan pengguna menetapkan sendiri fungsi setiap butang, seperti dalam PUBG Mobile atau COD Mobile – butang kiri untuk menyasarkan senjata dan butang kanan untuk menembak. Malah pengguna turut boleh menetapkan salah satu butang untuk aktif mod X-Mode yang melewahjamkan CPU atau untuk menyeru pembantu maya.

Penanda Aras
Di Amanz, kami tidak lagi dikecewakan dengan cip pemprosesan MediaTek kerana sejak mengeluarkan keluarga cip Dimensity mereka kini setanding dengan Snapdragon. Tiada lagi isu pemanasan atau masalah prestasi yang terpalit pada siri Helios beberapa tahun yang lalu.
Pada ROG Phone 6D cip Dimensity 9000+ adalah cip peranti mercu yang boleh menewaskan cip Snapdragon 8+ Gen 1. Skor penanda aras yang diperoleh juga cukup tinggi dan berada di luar jangkaan.

Ujian melalui aplikasi AnTuTu 3D memaparkan skor sebanyak 1,018,653, sementara pada Geekbench 5 adalah 1,182/3,782. Untuk 3DMark ia memaparkan skor 2,603. Setiap ujian ini telah dilakukan berkali-kali, baik dengan AeroActive Cooler atau tidak dan kami memilih skor paling optimum. Berikut adalah perbandingan dengan peranti gaming Red Magic 7S Pro (Snapdragon 8+ Gen 1), Asus ROG Phone 6 Pro (Snapdragon 8+ Gen 1) dan Black Shark 5 Pro (Snapdragon 8 Gen 1)
AnTuTu 3D
- Asus ROG Phone 6D – 1,018,653
- Asus ROG Phone 6 Pro – 1,099,5132
- Red Magic 7S Pro – 1,108,890
- Black Shark 5 Pro- 1,018,939
Geekbench 5
- Asus ROG Phone 6D – 1182/3782
- Asus ROG Phone 6 Pro – 1312/4191
- Red Magic 7S Pro – 1345/4201
- Black Shark 5 Pro – 1202/3693
3DMark
- ROG Phone 6D – 2603
- Asus ROG Phone 6 Pro – 2786
- Red Magic 7S Pro – 2719
- Black Shark 5 Pro: – 2614
Sepanjang penggunaan peranti ini juga, saya tidak mengalami masalah pemanasan yang serius. Ketika bermain permua dengan grafik tinggi juga peranti masih boleh dipegang seperti biasa dan sistem tidak tergendala atau mengalami masalah lengah masa. Malah ia hanya menjadi panas apabila selepas bermain permua terus menstrim video dan aktif di media sosial. Ia juga menjadi panas jika sistem RGB sentiasa diaktifkan.
Telefoni Dan GPS
Asus ROG Phone 6D turut adalah peranti dengan sambungan rangkaian terbaik pernah saya gunakan tahun ini. WiFi di rumah yang biasanya perlahan dan putus-putus pada peranti Android lain tidak menjadi masalah pada peranti saya. Sambungan data mudah alih juga sentiasa stabil dan saya boleh gunakan peranti ini sebagai peranti hotspot untuk sambungan Internet yang lebih baik pada peranti lain saya.

Saya juga berpeluang menggunakan 5G dengan Maxis ketika di Seremban, kerana peranti ini adalah antara peranti yang tersenarai di laman DNB. Untuk panggilan suara, peranti ini dilengkapi dengan tri-mikrofon ASUS Noise Reduction Technology yang memastikan suara saya sentiasa jelas dan lantang. Penggunaan GPS juga adalah memuaskan dengan lokasi dapat dikunci dengan pantas serta aplikasi peta boleh memberi arahan selok-belok tanpa sesat.
Kamera
Biasanya peranti yang memfokuskan permua tidak mempunyai kualiti kamera yang bagus. Tetapi Asus ROG Phone 6D ini mampu memberikan hasil imej yang memuaskan, baik di siang hari atau pada waktu malam. Ini adalah kerana sensor utama 50MP Sony IMX766 yang banyak kali digunakan pada banyak peranti mercu. Lensa sudut 13MP dipadankan pula dengan lensa makro 5MP melengkapi sistem tri-kamera utama sementara di hadapan pula sensor 12MP digunakan.
Jadi gambar-gambar dengan mod auto, sudut ultra-lebar, mod malam semuanya memberikan hasil yang memuaskan. Yang tidak memuaskan ialah kamera makro 5MP yang sekadar gimik. Lebih baik sertakan dua kamera sahaja kerana kualiti gambar makro yang diambil tidak sebaik dua kamera yang lain. Berikut adalah beberapa sampel gambar ketika saya di Singapura dan Pulau Pinang.








Bateri
Bateri 6000 mAh pada peranti ini adalah cukup besar. Ketahanan bateri sebenarnya bergantung kepada cara penggunaan masing-masing. Apabila saya aktif bermain permua, tidak berhenti menggunakan kamera dan hotspot untuk sambungan kepada tiga peranti lain saya, kerap menstrim video dan aktif menggunakan aplikasi media sosial – saya mencapai SOT sekitar 4.5 jam. Tetapi dengan penggunaan yang seimbang dan aktifkan mod penjimatan bateri, peranti ini tiada masalah untuk mencapai SOT sehingga 8 jam.

Asus ROG Phone 6D turut menyokong pengecasan pantas 65W melalui teknologi Power Delivery HyperCharge yang boleh mengecas peranti 0% ke 100% dalam masa 42 minit sahaja. Pengecasannya tidak sepantas Black Shark 5 Pro dengan 120W tetapi masih lagi memadai.
Lebih penting sekali kesemua siri ROG Phone 6 menyokong ciri pengecasan pass through yang membekalkan terus kuasa elektrik kepada peranti dengan memintas bateri. Ini akan memanjangkan hayat bateri walaupun peranti disambungkan kepada pengecas sepanjang masa.
Audio
Dalam banyak-banyak peranti mercu, Asus ROG Phone adalah antara peranti dengan sistem speaker terbaik di pasaran. ROG Phone 6D masih menggunakan sistem speaker simetri yang ditala oleh Dirac HD Sound yang menghala ke hadapan. Ia mempunyai audio yang lantang, bass yang dalam, serta memberi pengalaman pendengaran seimbang yang mengasyikkan.
Aras suara 100% juga cukup kuat dan jarang sekali saya gunakan set fon telinga bersama peranti ini. Jika ingin digunakan juga tiada masalah kerana terdapat bicu audio 3.5mm untuk sambungan fon kepala berwayar. Ini adalah penting untuk mengelakkan isu sela masa apabila menggunakan fon telinga bluetooth.
Pesaing
Asus ROG Phone 6D | Red Magic 7S Pro | Black Shark 5 Pro |
6.78″ AMOLED, 1080 x 2448 FHD+, 165Hz, HDR10+ | 6.8″ AMOLED, 1080 x 2400FHD+, 120Hz | 6.67″ AMOLED, 1080 x 2412 FHD+, 120Hz, HDR10+ |
MediaTek Dimensity 9000+ (4nm) 1x 3.35 GHz Cortex-X2 3x 3.20 GHz Cortex-A710 4x 1.80 GHz Cortex-A510 | Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm) 1x 3.19 GHz Cortex-X2 3x 2.75 GHz Cortex-A710 4×1.80 GHz Cortex | Snapdragon 8 Gen 1 (4nm) 1x 3.00 GHz Cortex-X2 3x 2.50 GHz Cortex-A710 4x 1.80 GHz Cortex-A510 |
Mali-G710 MC10 | Adreno 730 | Adreno 730 |
12GB RAM LPDDR5X 256GB UFS 3.1 | 12/16/18 GB RAM LPDDR5 256/512 GB UFS 3.1 | 12/16 GB RAM LPDDR5 256 GB UFS 3.1 |
50MP, f/1.9 (utama) 13MP, (sudut ultra-lebar) 5MP, (makro) | 64MP, f/1.79, (utama) 8MP, f/2.2 (sudut ultra-lebar) 2MP, f/2.4 (makro) | 108MP, f/1.8 (utama) 13MP, f/2.4 (sudut ultra-lebar) 5MP, f/2.4 (makro) |
12MP | 16MP UDC Pro | 16MP |
Ada bicu audio 3.5mm | Ada bicu audio 3.5mm | Tiada bicu audio 3.5mm |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
6,000 mAh Pengecasan pantas 65W | 5,000 mAh Pengecasan pantas 65W | 4,650mAh Pengecasan pantas 120W |
RM 3499 (12/256 GB) | RM 3999 (12/256 GB) RM 4999 (18/512 GB) | RM 3,599 (12/256 GB) RM 3,899 (16/256 GB) |
Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.
- 1x Asus ROG Phone 6D.
- 1x Kad ROG AR.
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
- 1x Pengecas PD HyperCharge 65W.
- 1x Kerangka plastik Aero Case.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.
Kesimpulan
Pada Black Shark 5 Pro saya sukakan butang bahu fizikal. Di Red Magic 7S Pro pula rekaan belakang yang cantik menarik hati. Asus ROG Phone 6D ini pula saya sukakan secara keseluruhan. Ia mempunyai skrin besar yang pantas, cip Dimensity 9000+ yang mantap, kamera yang memuaskan, audio yang seimbang, bateri yang tahan lama dan sistem operasi yang amat mesra pengguna. Kesemuanya dalam pakej berharga RM3,499 yang lebih murah berbanding penawaran dari pesaing ASUS.

Cuma masalah saya dengan peranti ini ialah rekaannya dikitar semula dari ROG Phone 6 biasa dan sokongan kemas kini perisian selama dua tahun sahaja. Tetapi jika dua perkara ini tidak penting untuk anda, saya tiada masalah untuk sarankan peranti ini kepada sesiapa sahaja. Inilah penanda aras peranti gaming yang patut pesaing ikuti.
Pro
- Prestasi cip MediaTek Dimensity yang luar biasa.
- Skrin yang cantik, pantas dan memuaskan.
- Kemampuan audio yang seimbang.
- Ketahanan bateri yang memuaskan dan pengecasan yang cukup pantas.
- Harga jualan yang mampu milik.
Kontra
- Rekaan yang dikitar semula.
- Sokongan kemas kini hanya dua tahun.
- Butang bahu AirTrigger bukan untuk semua orang.
- Hanya IPX4 dan bukan IP68.
