Kerajaan Mungkin Akan Memperkenalkan Rangkaian 5G Kedua Pada Tahun Hadapan
Nazrin
Seperti yang sedia maklum, rangkaian 5G yang dimanfaatkan oleh rakyat kini sedang dikelola dan diselenggara oleh Digital Nasional Berhad (DNB), sebuah syarikat GLC dibawah Kementerian Kewangan Malaysia.
Secara ringkasnya, semua syarikat telekomunikasi yang mahu menggunakan rangkaian 5G di Malaysia haruslah terlebih dahulu mendaftar dengan pihak DNB terlebih dahulu dan membayar syarikat tersebut untuk menggunakan spektrum rangkaian ini.
Rangkaian 5G tempatan diperkenalkan secara rasmi pada penghujung 2021 dengan Yes dan juga TM merupakan dua syarikat telekomunikasi pertama yang menggunakan rangkaian 5G ini. Kini, pada tahun 2023, hampir kesemua syarikat telekomunikasi tempatan sudah mula menggunakan rangkaian 5G ini dengan pihak Kementerian Komunikasi dan Digital mengatakan bahawa liputan rangkaian tersebut sudah mencapai 55 peratus kawasan berpenduduk di Malaysia.

Terkini, sebuah laporan daripada Reuters mengatakan bahawa kerajaan Malaysia sedang dalam pelan untuk membangunkan rangkaian 5G kebangsaan kedua yang tidak berada dibawah pengelolaan DNB dengan tujuan untuk meningkatkan lagi persaingan dan untuk mengelakkan monopoli satu syarikat yang dilihat akan menyebabkan kesukaran kepada pengguna sekiranya rangkaian tersebut tidak dapat beroperasi dengan baik.
Sumber-sumber Reuters mengatakan lagi bahawa kerajaan Malaysia akan memperkenalkan rangkaian 5G kedua ini seawal Januari 2024, tetapi buat masa ini pihak kerajaan masih lagi sedang dalam perbincangan untuk melihat bagaimanakah rangkaian kedua ini boleh dibangunkan. Kertas cadangan untuk pembangunan rangkaian 5G kedua ini dilaporkan juga akan diusulkan di Parlimen pada hari Rabu ini.
Walaupun begitu, pelan untuk pembangunan rangkaian kedua ini dilihat bergantung kepada samada pihak DNB boleh mencapai sasaran kerajaan Malaysia dan memastikan bahawa 80 peratus daripada kawasan berpenduduk boleh menggunakan rangkaian 5G mereka menjelang penghujung tahun ini.
[sumber]Reuters[/sumber]