Cari @ Amanz

Facer adalah antara aplikasi muka jam terkenal di kalangan pengguna jam tangan pintar Wear OS. Aplikasi ini menyokong banyak jam termasuk dengan Samsung Galaxy Watch4 dan Galaxy Watch5. Selepas Mobvoi hadir dengan aplikasi muka jam tersendiri TimeShow, Facer yang tidak ingin kalah terus mengemaskini penawaran mereka.

Apa yang Facer ingin tawarkan adalah muka jam 3D masa nyata. Terdapat 15 muka jam berbeza dan masing-masing menyertakan watak 3D yang Facer dakwa mempunyai kiraan poligon tinggi, kualiti render nampak sebenar dan tekstur resolusi tinggi.

Bukan itu sahaja Facer turut menyatakan yang muka jam ini mempunyai kesan visual menarik, animasi interaktif 3D, kesan pencahayaan dinamik dan kesan khas partikel. Facer turut mendakwa muka jam mereka ini tidak akan menggunakan banyak bateri dan lebih kurang sama dengan muka jam lain.

Cuma muka jam 3D masa nyata ini hanya menyokong jam-jam Wear OS yang dijana cip Snapdragon Wear 4100 ke atas dan Samsung Galaxy Watch4/Watch5 sahaja. Khusus untuk jam Samsung muka jam ini akan bergerak pada kadar 60fps. Akan datang akan ada beratus muka jam 3D masa nyata lain disertakan di Facer. Di Facer anda boleh beli muka jam atau langgan secara bulanan atau tahunan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd