Carian
Samsung Mencatatkan Pengurangan Keuntungan 95% Pada Q1 2023
April 27, 2023 Effi Saharudin

Samsung Electronics mencatatkan 640 bilion Won (~RM 2.13 bilion) dalam keuntungan operasi pada Q1 2023 yang merupakan pengurangan mendadak 95% berbanding 14.12 trilion Won (~RM46.96 bilion) yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu. Ini menjadikannya keuntungan suku paling rendah yang dicatatkan Samsung Electronics dalam tempoh 14 tahun. Dalam tempoh yang sama, pendapatan yang dicatatkan ialah 63.7 trilion Won yang merupakan penyusutan 18% berbanding suku yang sama tahun 2022.

Pengurangan ini disebabkan oleh perniagaan cip yang mencatatkan kerugian 4.58 trilion Won. Kurangnya permintaan untuk cip disebabkan normalisasi pasca pandemik serta lambakan produk menjadi punca kerugian perniagaan yang selama ini menjana pendapatan yang besar buat Samsung. Berita baik bagi mereka ialah perniagaan telefon mudah alih mencatatkan keuntungan 3.94 trillion won (~RM 13.1 bilion)yang lebih tinggi berbanding suku sama tahun 2022.

Sungguhpun pasaran cip dunia kini tidak stabil menyebabkan harga menjunam sehingga 70%, Samsung telah melakukan perbelanjaan model sebanyak 10.7 trilion Won ke dalam perniagaan cip mereka pada suku lalu bagi meningkatkan lagi kapasiti yang dijangka akan pulih selepas H1 2023.

Seperti yang kami laporkan sebelum ini, Korea Selatan telah meluluskan akta cip mereka sendiri untuk menjadikan mereka pusat pengeluaran cip dunia. Permintaan untuk semikonduktor akan terus meningkat dalam masa terdekat dan Korea Selatan ini menjadi pusat pengeluarannya di dunia supaya tidak ketinggalan di belakang Taiwan dan Amerika Syarikat.

Komen