Cari @ Amanz

Tahun 2023 akhirnya memasuki bulan Mei. Pejam celik sudah hampir separuh tahun 2023 meninggalkan kita. Antara perkara yang kami rasakan menarik tahun ini ialah kemunculan banyak telefon kelas pertengahan yang dijual pada harga mampu milik dengan prestasi yang memuaskan. Contohnya ialah iQOO Z7X, dan OnePlus Nord CE 3 Lite. Hari ini kami mengulas pula Oppo A98 5G yang baru sahaja dilancarkan. Dari luar mungkin ia nampak seperti peranti baharu tetapi sebenarnya mempunyai spesifikasi yang sama dengan dua peranti tadi dan juga Reno8 T 5G.

Jika anda rasakan rupa juga macam kenal, ini adalah kerana A98 mempunyai rekaan yang juga sama dengan Reno8 T 5G. Persoalannya ialah jika anda diberikan pilihan A98 5G, Reno8 T 5G, Z7X dan Nord CE 3 Lite yang mana adalah pilihan terbaik?

SPESIFIKASI

Oppo A98 5G
Skrin6.72″ IPS LCD,
1080 x 2388 , 120Hz, HDR10
PemprosesSnapdragon 695 (6nm)
Cip2 X 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6 X 1.7 GHz Kryo 660 Silver
Cip GrafikAdreno 619
RAM8 GB LPDDR4X
Muatan Dalaman256 GB UFS 2.2
Mikro SD sehingga 1TB
Kamera Utama64MP, (Sudut Lebar)
2MP (Mikro)
2MP (Kedalaman)
Kamera Swafoto32 MP
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 67W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari sisi
Harga Jualan
RM 1399 (8/256GB)

SKRIN

Skrin 6.72″ FHD+ ialah dari keluarga IPS LCD tetapi menyokong kadar segar semula 120Hz. Skrin boleh diubah ke tetapan dinamik, 60Hz, 90Hz atau 120Hz sepanjang masa jika perlu. Tatalan serta animasi pada skrin lancar tanpa isu tersekat-sekat kerana kadar segar semula tingginya. Walaupun sekadar menggunakan skrin IPS LCD, kualiti paparan adalah memuaskan untuk melayari web, dan menonton video. Isu biasa hanyalah warna bukan yang paling bermaya, tidak jelas di bawah mentari yang panas (seperti cuaca sekarang) dan warna hitam nampak kelabu.

Ini ialah spesifikasi yang sama dengan Nord CE 3 Lite dan iQOO Z7X. Bezel tidak mempunyai ketebalan yang sekata dengan ia paling tebal di bahagian dagu membuatkan ia kelihatan kurang simetri. Dalam kategori peranti bawah RM1500 ini adalah perkara biasa kerana rekaan lebih simetri lebih lazim digunakan pada peranti yang dijual pad harga lebih mahal. Seperti yang kami katakan dalam ulasan iQOO Z7X tempoh hari, jika mahukan skrin lebih bagus belilah Reno8 T 5G yang menggunakan skrin OLED.

PENGIMBAS CAP JARI

Pengimbas cap jari diletakkan pada sisi kanan terbina pada butang kuasa. Terdapat sebuah alur kecil yang memastikan jari dari mencari pengimbas ini dengan mudah. Sepanjang tempoh ulasan pengimbas cap jari beroperasi dengan pantas dan jarang sekali tidak beroperasi seperti tidak sepatutnya.

REKAAN

Rekaan A98 5G amat mirip dengan Reno8 T 5G dengan panel belakang misalnya hampir sukar dibezakan. Tubuh mempunyai bahagian sisi yang berkotak menjadikannya selesa untuk dipegang. Rekaan ini pula mirip dengan OnePlus Nord CE 3 Lite yang juga kami ulas beberapa minggu yang lalu. Ia seolah-oleh Oppo mengambil sedikit bahari dari peranti A dan kemudian menggabungkannya dengan bahagian peranti B. Seperti mengambil bongkah Lego bagi menjual peranti baharu.

Panel belakang diperbuat daripada bahan polikarbonat yang tidak licin atau berkilat. Kotoran tidak mudah melekat pada panel ini. Pada model yang kami ulas ia hadir dengan warna cerun biru yang kelihatan cantik. Peranti amat selesa di dalam tangan tanpa sebarang kesukaran untuk menyalahgunakannya secara sebelah tangan.

Butang kuasa diletakkan pada sisi kanan dengan ia juga merangkap pengimbas cap jari. Sementara itu butang laras audio dan talam SIM diletakkan pada sisi kiri. Talam hanya menyokong dwi-SIM nano dan slot kad mikro SD sehingga 1TB. Bicu audio, kekisi speaker dan port pengecasan USB-C pula terletak di bahagian bawah peranti.

Di bahagian belakang terdapat bonggol kamera yang sederhana besar. Ia tidak begitu tinggi sehingga membuatkan peranti terjungkit. Panel belakang diperbuat daripada polikarbonat yang tidak berkilat maka tidak mudah kotor. Tekstur kasar berbentuk bujur di belakang juga membantu membuatkan peranti tidak terasa licin di dalam tangan jika kerangka tidak digunakan. Seperti peranti lain Oppo, sebuah kerangka lutsinar polikarbonat diberikan percuma dengan setiap pembelian.

PENGGUNAAN Dan PERISIAN

Sistem operasi ColorOS 13.1 digunakan dengan ia berasaskan Android 13. Sepanjang tempoh ulasan sekitar seminggu, kami tidak mempunyai sebarang isu yang serius dengan penggunaan peranti. Tatalan masih terasa lancar dan pelbagai aplikasi kegunaan harian boleh dipasang serta dijalankan dengan baik. Walaupun Snapdragon 695 bukan lagi cip kelas pertengahan terbaik seperti Snapdragon 7+ Gen 1 atau Snapdragon 782, ia masih lagi kami rasakan memuaskan untuk sebuah peranti kelas pertengahan mampu milik.

Ini ialah cip dengan lapan teras CPU menggunakan konfigurasi 2x teras Cortex A78 dan 6x teras Cortex A55. Ia juga menyokong rangkaian 5G yang kini sudah menjadi keperluan di Malaysia. Cip yang sama digunakan pada iQOO Z7X, Poco X5, OnePlus Nord CE 3 Lite, Oppo Reno8 T dan Realme 10. Oleh sebab kami sudah mengulas semua peranti ini tahun ini, prestasi A98 5G adalah sama sahaja dengan lima peranti yang disenaraikan tadi.

Di Malaysia hanya model dengan memori 8GB RAM dan storan 256GB ditawarkan. Terdapat curu Extended RAM menambah sehingga 8GB lagi RAM secara mata dengan pilihan 4, 6 dan 8 GB. Dengan ini sehingga 16GB RAM boleh digunakan pada A98 5G yang sangatlah mencukupi. Ciri ini boleh dimatikan jika pengguna lebih mementingkan storan berbanding memori.

Tiada isu untuk memasang majoriti aplikasi seperti Netflix, YouTube, Facebook, Instagram, Prime Video dan TikTok. Pelancaran aplikasi pula pantas kerana dari jenis UFS. Pengalaman penggunaan ColorOS 13.1 amat mirip Android asli maka tidak ada begitu banyak ciri tambahan disertakan. Dalam payung BBK Electronics, kami rasakan ColorOS adalah antaramuka yang paling senang digunakan. Padat dengan ciri tetapi masih memberikan pengalaman penggunaan yang memuaskan asalkan tidak dibandingkan dengan peranti mercu seperti Oppo Find N2 Flip.

Ciri-ciri lain yang kami rasakan menarik adalah.

  1. Kid Space -Menukar antaramuka supaya lebih mesra kanak-kanak dan menghadkan aplikasi yang boleh diakses oleh mereka.
  2. Focus Mode – Mod konsentrasi yang mengelakkan gangguan daripada peranti.
  3. Smart Sidebar – Mengakses aplikasi kegemaran dengan pantas menerusi tab sisi yang dipaparkan pada setiap skrin peranti.
  4. Split Screen/Flexible Windows -Melancarkan dua aplikasi serentak pada skrin atau mengapungkan lebih daripada satu aplikasi di skrin menggunakan multi-tingkap.
  5. Safety & Emergency -Mode kecemasan melakukan panggilan telefon bagi mendapatkan bantuan. SMS boleh dihantar kepada insan yang terpilih bersama dengan kedudukan GPS apabila bateri di tahap rendah.
  6. App Lock -Mengunci akses kepada sesetengah aplikasi seperti perbankan atau galeri bagi mengelakkan ia digunakan insan yang tidak sepatutnya.
  7. Link to Windows – Mengakses peranti terus dari sebuah PC Windows.

PENANDA ARAS

Dalam ujian penanda aras utama Antutu 3D, Geekbench 6 dan 3D Mark ia mencatatkan markah yang setanding dengan OnePlus Nord CE 3 Lite, iQOO Z7X, dan Realme 10 Coca Cola yang dilengkapi cip yang sama. Kami juga menyertakan sekali markah untuk Samsung Galaxy A34 dengan Dimensity 1080 sebagai perbandingan bagi mereka yang mencari peranti yang sedikit lebih berkuasa.

Geekbench 6

  • Oppo A98 5G – 885/2034
  • iQOO Z7X – 899/2109
  • OnePlus Nord CE 3 Lite – 876/1972
  • Samsung Galaxy A34– 1032/2254
  • Realme 10 Pro Coca-Cola – 852/1907

AnTuTu 3D

  • Oppo A98 5G – 411,010
  • iQOO Z7X – 410,677
  • OnePlus Nord CE 3 Lite – 400,999
  • Samsung Galaxy A34 – 474,409
  • Realme 10 Pro Coca-Cola – 406,243

3DMark

  • Oppo A98 5G – 1212
  • iQOO Z7X – 1196
  • OnePlus Nord CE 3 Lite – 1209
  • Samsung Galaxy A34 – 
  • Realme 10 Pro Coca-Cola – 1127

Permua popular seperti Free Fire, PUBG Mobile dan COD Mobile boleh dijalankan pada tetapan grafik sederhana sahaja kerana cip yang sudah agak berusia. Kami sarankan tiga aplikasi di atas dimainkan pada tetapan sederhana sahaja jika kadar bingkai tinggi adalah penting bagi pemilik peranti. Pelbagai aplikasi popular dapat dilancarkan tanpa sebarang isu. Bagi sebuah peranti kelas pertengahan, A98 5G mempunyai prestasi yang setanding dengan peranti lain dalam kelas yang sama dengannya.

TELEFONI Dan GPS

Rangkaian 5G boleh dinikmati bersama dengan ciri VoLTE dan VoWiFi syarikat telekomunikasi anda menyokongnya. Panggilan suara yang terang boleh dilakukan tanpa isu kerap terputus-putus. Prestasi GPS juga adalah baik kerana lokasi dapat dijejak dalam aplikasi Waze dan Google Maps dilakukan dalam masa beberapa saat sahaja. Dua SIM 5G boleh disokong secara serentak asalkan kad mikro SD tidak mengambil slot SIM kedua.

KAMERA

Sistem kamera yang digunakan adalah agak unik kerana menggabungkan sensor 64MP sudut lebar, 2MP kedalaman dan 2MP lensa mikroskop. Di hadapan pula sensor 32MP digunakan. Tiada sistem OIS disertakan yang sedikit mengecewakan. Tiadanya lensa ultra sudut lebar juga mengecewakan tetapi ini seakan standard pada peranti berharga bawah RM1500 di Malaysia sekarang.

Kemampuan fotografi Z7X adalah sekadar dalam situasi pencahayaan yang baik tetapi mengecewakan dalam situasi pencahayaan kurang memuaskan. Kita mulakan dengan kualiti imej terlebih dahulu. Semua gambar yang kami ambil kelihatan lembut dengan tidak cukup tajam. Dalam situasi biasa ini ialah isu dalam keadaan pencahayaan yang kurang baik. Tetapi pada A98 ia dapat dilihat pada semua gambar.

Penghasilan semula warna juga tidak memuaskan. Warna bunga plastik di bawah misalnya sepatutnya kucing dan bukannya putih seperti gambar yang diambil. Mod HDR juga kurang menyerlah. Semuanya sederhana sahaja. Tiada yang menakjubkan di sini.

BATERI

Hayat bateri adalah baik dengan purata SOT 9-10 jam sehari dengan ia masih mempunyai sekitar 20% bateri pada jam 10 malam selepas ditanggalkan daripada pengecas pada jam 7 pagi. Prestasi bateri adalah setanding dengan peranti lain dengan Snapdragon 695 dan bateri 5000 mAh. Maka tidak mengejutkan sama sahaja dengan iQOO Z7X dan Reno 10 Pro. Pengecasan semula bateri adalah bawah 1 jam menggunakan pengecas SuperVOOC 67W yang disertakan dalam kotak.

AUDIO

Speaker adalah stereo audio yang dihasilkan adalah memuaskan walaupun tanpa sokongan Dolby Atmos. Audio kurang seimbang kerana speaker bawah lebih lantas. Dalam penggunaan harian bunyi yang dihasilkan jelas, cukup lantang dan tidak pecah. Bicu audio 3.5mm di bahagian bawah adalah bonus yang berguna bagi mereka yang masih mempunyai aksesori audio berwayar.


PESAING

Oppo A98 5GOnePlus Nord CE 3 LiteiQOO Z7X
6.64″ IPS LCD, 120Hz
FHD+
6.72″ IPS LCD, 90Hz
FHD+
6.64″ IPS LCD, 120Hz
FHD+
Snapdragon 695 5G (6nm)
2x 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6x 1.7 GHz Kryo 660 Silver
Snapdragon 695 5G (6nm)
2x 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6x 1.7 GHz Kryo 660 Silver
Snapdragon 695 5G (6nm)
2x 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6x 1.7 GHz Kryo 660 Silver
Adreno 619Adreno 619Adreno 619
8GB LPDDR4X8GB LPDDR4X8GB LPDDR4X
128/256 GB UFS2.2
Mikro SD
256GB UFS2.2
Mikro SD
128/256 GB UFS2.2
Mikro SD
Kamera Utama
64MP f/1.7, (Sudut Lebar)
2MP f/2.4, (Sensor Kedalaman)
2MP f/3.3, (Mikro)
Kamera Utama
64MP f/1.7, (Sudut Lebar)
2MP f/2.4, (Sensor Kedalaman)
2MP f/2.4, (Makro)
Kamera Utama
50MP f/1.8, (Sudut Lebar)
2MP f/2.4 (Kedalaman)
Kamera Hadapan
32MP f/2.4
Kamera Hadapan
16MP f/2.4
Kamera Hadapan
8MP f/2.0
Tidak kalis airTidak kalis airTidak kalis air
Bicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mm
Audio StereoAudio StereoAudio Mono
5000 mAh (Berwayar 67W)5000 mAh (Berwayar 67W)6000 mAh (Berwayar 80W)
RM1399(8/256 GB)RM 1099 (8/256 GB)RM999 (8/128 GB)
RM1099 
(8/256 GB)

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

  • 1x Oppo A98 5G.
  • 1x Pengecas 67W.
  • 1x Kerangka silikon.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

KESIMPULAN

Pada harga RM1399 sebuah, A98 5G adalah lebih mahal berbanding OnePlus Nord CE 3 Lite yang mempunyai spesifikasi yang 90% sama. Tidak melampau untuk mengatakan A98 5G ialah klon kepada Nord CE 3 Lite tetapi dengan lonjakan harga yang ketara. Oleh sebab itu sedikit sukar untuk menyarankan pembeliannya kepada pembaca pada waktu ini.

A98 5G bukanlah peranti yang tidak baik, tetapi jika ada peranti dengan spesifikasi sama dan sistem operasi yang hampir sama sukar untuk menyarankan peranti yang dijual pada harga lebih mahal. Kami rasakan A98 5G ialah seperti askar Stormtrooper Empayar Galaktik yang diklon daripada Jango Fett.

Anda boleh beli jika mahu tetapi Jango lebih sempurna dan alam kes ini OnePlus Nord CE 3 Lite pilihan yang lebih baik. Jika mahu lebih penjimatan, iQOO Z7X adalah lebih murah cuma dengan dwi-kamera tetapi bateri yang jauh lebih besar serta pengecasan lebih pantas.

Pro

  • Skrin 120Hz membuatkan penggunaan nampak lancar.
  • Prestasi pemproses yang memuaskan untuk majoriti aplikasi.
  • Bateri tahan lama dengan pengecasan 67W pantas.
  • Rekaan yang menarik.
  • Speaker stereo dan bicu audio.

Kontra

  • Skrin sekadar LCD.
  • Bezel skrin tebal tidak simetri.
  • Tiada kamera sudut ultra lebar.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd