Cari @ Amanz

Pada penghujung April yang lalu, Acer Predator Helios Neo 16 diumumkan sebagai sebuah komputer gaming dengan prestasi yang ganas. Penanti bagi mereka yang ingin membelinya di Malaysia berakhir dengan ia dilancarkan untuk pasaran tempatan pada harga bermula RM4899 sebuah.

Komputer riba ini hadir dengan pilihan paparan skrin IPS 16 inci dengan resolusi WQXGA (2560×1600) dengan kadar segar semula 165Hz ataupun WUXGA (1920×1200) dengan kadar segar semula yang sama. Paparan ini juga hadir dengan sokongan untuk teknologi NVIDIA G-SYNC.

Dari segi CPU, Predator Helios 16 Neo ini hadir dengan pilihan CPU Intel Core HX generasi ke-13, jumlah memori DDR5 sehingga 32GB dan storan SSD PCIe 4.0 sehingga 2TB. Dari segi penawaran GPU pula, pengguna akan boleh memilih untuk mendapatkan model dengan pilihan kad grafik sehingga NVIDIA GeForce RTX 4060 yang cukup berkuasa untuk menggerakkan permainan-permainan moden dengan paparan yang tersedia.

Predator Helios 16 Neo ini juga tampil dengan sistem penyejukan yang menggunakan kipas penyejukan Aeroblade 3D terbaru untuk mengalirkan haba daripada komponen-komponen di dalam ke bahagian luar secara cekap.

Sama seperti komputer riba Predator Triton 17X, ia juga hadir dengan sokongan untuk teknologi seperti Thunderbolt 4 dan WiFi 6E.

Acer mengatakan bahawa Predator Helios 16 Neo ini akan tiba Malaysia pada harga RM4899 untuk model degan Intel Core-i5 dan RTX 4050. Sementara itu untuk model Intel Core-i7 dan RTX 4060 pula ia dijual pada harga RM6399.

Sepanjang tempoh pra-tempahan 2-8 Mei 2023, pembeli akan memerima hadiah percuma bernilai RM900 dalam bentuk beg galas Predator Urban Gaming Backpack V2, tetikus Predator Cestus 33, topi Predator dan jaminan Acer SuperCare 2 yang menawarkan perlindungan selama 3 tahun untuk kerosakan serta kecurian.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd