Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat memberikan amaran kepada Malaysia berlakunya risiko keselamatan negara sekiranya menggunakan kelengkapan 5G keluaran Huawei. Huawei antara syarikat yang membida untuk kelengkapan 5G mereka digunakan selepas kerajaan Malaysia ingin mengkaji semula kontrak RM 11 bilion yang diberikan kepada Ericsson untuk kelengkapan DNB.

Amaran dihantar kepada kerajaan Malaysia pada bulan April dengan kelengkapan 5G Huawei didakwa bukan sahaja mendatangkan risiko sekuriti kebangsaan tetapi juga ke atas pelaburan dari negara luar di Malaysia. Sebelum ini kedengaran ura-ura rangkaian 5G kedua Malaysia akan diumumkan bagi mengelakkan monopoli oleh DNB. Tetapi pengumuman dilaporkan telah dibatalkan pada saat akhir tanpa sebarang sebab diberikan.
Kelengkapan 5G diuji secara meluas di Malaysia pada tahun 2019 dan kelengkapan 4G mereka juga menjadi antara tulang belakang utama telekomunikasi selular negara. Selepas dimasukkan ke dalam senarai entiti oleh Amerika Syarikat, kelengkapan mereka diharamkan di Amerika Syarikat, UK, Australia, Jepun dan New Zealand kerana didakwa boleh digunakan bagi tujuan intipan oleh kerajaan China. Dakwaan ini dinafikan oleh Huawei dengan saman difailkan tetapi kes masih belum didengari sehingga sekarang.