Mozilla pada penghujung 2022 lepas telah menyatakan ingin melihat ke arena media sosial yang lebih sihat, dibawah nama Mozilla.Social.
Kini, selang beberapa bulan, Mozilla telah pun membuka pendaftaran minat untuk orang ramai, sebagai persediaan awal dalam pelancaran perkhidmatan media sosial mereka tersendiri.

Mozilla menyatakan hasrat mereka adalah dalam menjadikan internet lebih baik kepada orang ramai. Disebabkan itu juga mereka hadir dengan penawaran pelayar web yang lebih baik, dan kini selang 25 tahun selepas itu, Mozilla kini ingin bereksperimen dengan arena sosial yang lebih baik kepada pengguna.
Pada hari ini, media sosial memainkan peranan utama dalam kehidupan harian pengguna internet. Ini sekaligus menjadikan ia amat penting dalam mendapatkan kandungan baharu, berkongsi idea, berkongsi pendapat, pelajari perkara baharu, dan sebagainya.
Mozilla ingin membangunkan sebuah media sosial yang sihat, dan terbuka berasaskan kepada Mastodon. Pelbagai had akan disertakan, selain ia turut akan melalui pemantauan dalam memastikan perbincangan dalam komuniti tersebut sihat dan tidak berbentuk negatif.

Bermula hari ini, Mozilla memulakan beta tertutup untuk Mozilla.Social, dan membuka peluang kepada orang ramai mendaftar minat. Pada masa yang sama juga, Mozilla menyatakan mereka akan melabur dalam menjadikan Mastodon dan juga media sosial lebih baik lagi.
Bagi anda yang berminat, boleh mendaftar minat pada halaman khas Mozilla.Social, sebelum dapat menyertai perkhidmatan berkenaan bila ia tersedia kelak.