Tahun lepas ada saya laporkan yang Disney pernah merancang untuk menggabungkan Disney+ dan Disney+ Hotstar sebagai satu aplikasi. Namun perkara ini tidak diteruskan kerana ingin memfokuskan Disney+ sebagai platform kandungan asli Disney dan Hotstar tempat ada kandungan asli tempatan.

Baru-baru ini dengan semangat ingin pengguna lebih selesa menggunakan perkhidmatan mereka, Disney+ Hotstar telah dikemaskini dengan antaramuka baharu yang lebih mesra pengguna. Antaramuka ini cuba menjadi Disney+ tetapi dengan elemen Hotstar yang semua telah selesa.
Cuma aplikasi baharu ini hanya boleh diakses oleh pengguna beta di Android dan pengguna bertuah Apple TV.

Baru-baru ini peranti Android saya telah mula menerima kemaskini antaramuka untuk Disney+ Hotstar. Kemaskini ini dikatakan berdasarkan Hotstar X yang menggunakan antaramuka lebih selesa, prestasi berganda pantas dan lancar, menyokong profil, boleh mengurus peranti lain yang sudah log masuk menggunakan akaun sama, serta lebih mudah mengurus langganan dan tetapan aplikasi termasuk kawalan ibu bapa dan untuk muat turun.

Kemaskini pada Apple TV turut diberikan dengan pengalaman penggunaan lebih dekat dengan Disney+. Cuma buat masa ini sokongan profil masih terhad kepada seorang pengguna dan satu profil untuk kanak-kanak. Kemudian hanya pada televisyen ada sokongan penstriman 4K Dolby Atmos dan Dolby Vision tanpa ada petanda sokongan IMAX akan diberikan seperti Disney+.

Pengguna lain buat masa ini masih perlu tunggu lagi. Kemaskini ini masih lagi diedarkan secara berperingkat. Dalam semakan saya tadi, Android TV dan iOS masih belum menerimanya. Sama-sama kita nantikan.