Sepanjang beberapa minggu yang lalu, AMD telah melancarkan dua siri cip pemprosesan SOC melalui siri AMD Ryzen Z1 untuk peranti ASUS ROG Ally dan juga siri cip pemprosesan AMD Ryzen 7040U untuk komputer riba produktiviti nipis dan ringan.
Tom’s Hardware baru-baru ini telah melaporkan bahawa mereka perasan sejumlah persamaan diantara cip pemprosesan AMD Ryzen 7 7840U dan juga cip pemprosesan AMD Ryzen Z1. Kedua-dua cip pemprosesan ini dilihat hadir dengan jumlah 8 teras dan 16 bebenang kuasa, jumlah unit perkomputeran yang sama pada 12 unit, dan juga jumlah cache yang sama.
Apabila ditanya kepada pihak AMD, mereka mengesahkan bahawa kedua-dua cip ini mempunyai spesifikasi yang hampir sama, dengan satu perbezaan ketara dilihat pada penggunaan kuasa kedua-dua cip pemprosesan ini.
AMD Ryzen Z1 mempunyai penggunaan kuasa dari 9W ke 30W, manakala cip pemprosesan AMD Ryzen 7 7840U pula mempunyai penggunaan kuasa 15W ke 30W. AMD mengatakan ini adalah kerana pihak AMD dan ASUS telah bekerjasama dengan rapat untuk membangunkan cip Ryzen Z1 untuk digunakan dalam konsol ROG Ally ini yang memerlukan penggunaan kuasa yang lebih cekap.
Dalam pada itu, enjin AMD Ryzen AI yang digunakan untuk mengautomasikan tetapan dalam komputer riba juga tidak diperlihatkan dalam cip pemprosesan Ryzen Z1.
Konsol ASUS ROG Ally akan dilancarkan tidak lama lagi, manakala komputer riba dengan cip pemprosesan AMD Ryzen 7 7840U akan diperlihatkan tidak lama lagi.