Cari @ Amanz

Dengan pelancaran Poco F5 dan Poco F5 Pro malam ini saya teruskan mencabar diri untuk kekal menguji peranti kelas pertengahan. Oleh yang demikian saya sendiri meminta untuk menguji Poco F5 dan memberikan Poco F5 kepada ketua kandungan.

Sebab utama saya ingin menguji peranti ini adalah ia menggunakan cip Snapdragon 7+ Gen 2 pertama di Malaysia. Saya tidak pernah menguji cip dalam siri ini dan selepas dengar khabar cip kelas pertengahan ini mempunyai persamaan dengan kelas mercu saya tidak mahu lepaskan peluang.

Poco F5 adalah sebuah peranti yang nampak asas, tetapi memberi pengalaman penggunaan yang memuaskan. Saya yang sudah biasa dengan peranti mercu terkejut dengan kemampuan peranti ini. Cuma adakah Poco F5 ini untuk anda? Variasi mana yang berbaloi 8GB RAm atau 12GB RAM? Dalam artikel ini saya kongsi pengalaman dan pendapat saya mengenai peranti ini.

SPESIFIKASI

Poco F5
Skrin6.67″ Flow AMOLED DotDisplay FHD+,
1080 x 2400 , 120Hz, Dolby vision
PemprosesSnapdragon 7+ Gen 2 (4nm)
Cip1x 2.91 GHz Cortex-A710
3x 2.49 GHz Cortex-A710
4x 1.8 GHz Cortex-A510
Cip GrafikAdreno 725
RAM8/12 GB LPDDR5
Memori Maya 7GB
Muatan Dalaman256 GB UFS 3.1
Kamera Utama64MP f/1.79 Sudut Lebar
8MP f/2.2 Sudut Ultra-Lebar
2MP f/2.4 Makro
Kamera Swafoto16MP f/2.45
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 67W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirIP53
Sistem ImbasanPengimbas jari sisi
Harga JualanRM 1699 (8/256 GB)
RM 1799 (12/256 GB)

SKRIN

Saiz skrin Poco F5 adalah 6.67″ daripada panel AMOLED beresolusi FHD+ dan menyokong kadar segar semula 120Hz. Skrin peranti in turut boleh memaparkan warna Dolby Vision untuk warna yang lebih cantik, tajam dan sedap mata memandang. Bezel skrin juga nampak nipis dan hampir sekata memberikan pengalaman penggunaan hampir nirbingkai.

Skrin juga cukup berkualiti dengan tiada masalah melihatnya di bawah cahaya matahari terik. Setiap tatalan adalah lancar dan pantas walaupun bukan panel LTPO. Setakat dua minggu penggunaan saya langsung tidak menemui masalah pada skrin peranti Poco ini. Saya gemar menggunakan peranti ini untuk menonton Netflix kerana menyokong kandungan Dolby Vision.

Berbeza dengan peranti Poco sebelum ini F5 seakan menggunakan skrin peranti mercu. Sukar untuk saya nampak perbezaan dengan Xiaomi 13. Skrin juga adalah jenis rata sepenuhnya memudahkan peranti dikendalikan dan tidak mengganggu pandangan ketika menonton sesuatu atau bermain permua.

REKAAN

Sejak tahun lepas saya sedari pengeluar peranti cuba sedaya upaya untuk elak menukar rekaan peranti masing-masing dan kerap menggunakan rekaan sama berulang. Untuk kes Poco F5, saya sebenarnya boleh maafkan kerana sudah lama mereka menukar logo Redmi kepada Poco. Peranti ini adalah berasaskan Redmi Note 12 Turbo tanpa sokongan pengecasan “turbo”. Jadi rekaan peranti akan nampak serupa dengan kebanyakan peranti Redmi Note 12 yang lain.

Panel belakang sedikit melengkung dan mempunyai corak seakan gentian karbon hitam. Tetapi kemasan adalah licin dan ia mudah menangkap cap jari yang menjadikan peranti kelihatan sentiasa kotor. Bonggol kamera adalah yang biasa kita lihat iaitu dua kamera atas dan bawah dan satu kamera tambahan di sebelahnya.

Saya tidak gemar menggunakan sebarang kerangka pelindung kerana peranti ini sedap di dalam tangan dan amat mudah untuk dikendalikan. Di atas peranti hanya ada kekisi speaker, port bicu audio 3.5mm, sensor inframerah dan lubang mikrofon. Di bawah ada satu lagi kekisi speaker, port USB-C, satu lagi lubang mikrofon dan satu slot kad SIM.

Sisi kiri peranti tiada apa-apa tetapi di kiri ada butang kuasa merangkap pengimbas cap jari yang cukup pantas serta butang aras suara yang sedap ditekan tetapi kerap keliru dengan butang kuasa. Walaupun rekaan peranti ini nampak biasa menggunakannya membuahkan rasa setia. Lebih menakjubkan walaupun ia sebuah peranti kelas pertengahan, ia masih hadir dengan kemampuan kalis percikan air IP53.

PENGGUNAAN DAN PERISIAN – MIUI 14 for Poco

Dulu peranti Poco menggunakan MIUI yang sama dengan peranti Xiaomi. Kemudian mereka tukar kepada MIUI for Poco dan kini kembali semula kepada MIUI tetapi hanya untuk nama. Dalamnya semua masih sama dengan peranti Poco yang kita semua kenali.

Penuh dengan iklan dan aplikasi gendut yang tidak berguna. Walaupun iklan boleh dimatikan, ia agak leceh untuk saya mencari tetapan dan mematikannya. Kemudian ada beberapa aplikasi gendut tidak boleh dibuang dan juga dimatikan. Ini memaksa saya hadkan penggunaan Internet dan terus matikan notifikasi untuk aplikasi tersebut.

Letak tepi dua isu tadi, MIUI 14 pada Poco F5 ini memberi pengalaman penggunaan yang sangat memuaskan. Saya hampir terlupa yang ini adalah peranti kelas pertengahan kerana menggunakannya rasa seakan sebuah peranti mercu. Cip Snapdrafon 7+ Gen 2 dengan binaan 4nm yang dipadankan dengan RAM LPDDR5 12GB serta storan dalaman 256GB UFS 3.1 adalah sangat baik.

Saya tidak mengalami masalah lengah masa, masalah notifikasi yang biasa berlaku atau setakat ini langsung tidak berlaku masalah sistem tergendala. Tetapi saya sedari ada beberapa ciri dan fungsi telah dibuang untuk membezakan antara Poco dan Xiaomi.

Kebanyakan ciri dan fungsi dalam MIUI 14 peranti Poco F5 ini adalah sama sahaja dengan MIUI pada peranti Xiaomi dan Redmi. Jadi menggunakan peranti ini tidak akan berasa aneh. Cuma versi yang saya gunakan ini masih menggunakan tampalan sekuriti dua bulan lalu dan ada kemungkinan versi yang sedia dijual nanti sedikit berlainan.

Hanya dua ciri yang saya sedari tiada pada peranti MIUI lain iaitu;

  1. Pemasa dalam aplikasi jam kini ada muzik latar bunyi alam semula jadi.
  2. Aplikasi Album kini ada kategori khusus “High Definition”

PENANDA ARAS

Snapdragon 7+ Gen 2 yang dipadankan dengan memori 12GB RAM dengan 7GB RAM maya diaktifkan serta storan dalaman 256GB akan memberi prestasi yang memuaskan. Dalam penanda aras yang tertiris cip ini boleh mencapai sehingga satu juta markah di AnTuTu 3D. Jadi saya ingin semak adakah benar.

Tetapi saya perlu ambil kira ujian peranti yang tertiris besar kemungkinan di makmal. Sementara peranti saya menggunakan versi stabil, dijadikan sebagai peranti harian, Internet aktif, notifikasi masuk dan banyak aplikasi sedia terpasang.

Berikut adalah markah ujian;

Geekbench 6

  • Poco F5 – 1371/4160
  • Vivo V27 – n/a
  • iQOO Z7 – 1125/3001

AnTuTu 3D

  • Poco F5 – 892358
  • Vivo V27 – n/a
  • iQOO Z7 – 588,831

3DMark

  • Poco F5 – n/a
  • Vivo V27 – n/a
  • iQOO Z7 – 808

Dari segi prestasi bermain permua biasanya pada peranti kelas pertengahan saya hanya menguji Asphalt 9 dan baru-baru ini saya lenjan Marvel Snap sehingga bateri habis. Berdasarkan pengalaman saya dengan banyak peranti dalam kelas sama bermain dua permua ini Poco F5 adalah yang terbaik setakat ini. Tiada masalah memanas selepas main sehingga 3 jam, tiada masalah lengah masa dan boleh lalai kerana terlampau pantas dan lancar.

TELEFONI DAN GPS

Peranti ini sedia menyokong 5G tetapi saya menggunakan kad SIM Maxis jadi saya tidak menguji kemampuannya. Walaupun begitu sokongan VoWiFi dan VoLTE tiada masalah memberikan penggunaan panggilan telefon yang berkualiti. Data mudah alih juga stabil dan pantas. Untuk GPS pada beberapa hari pertama penggunaan ia sedikit bermasalah dengan lambat mengunci lokasi. Selepas itu seakan peranti mercu kualitinya.

KAMERA

Selepas saya gembira dan teruja dengan prestasi hebat peranti ini saya terus meletakkan harapan tinggi pada kemampuan kamera peranti ini. Tetapi sayang sekali saya salah. Kamera peranti ini di mata saya amat mengecewakan. Konfigurasi kamera 64MP dengan OIS + 8MP sudut ultra lebar + 2MP makro adalah hebat.

Kamera peranti ini tidak memelihara butiran dengan baik. Mungkin kerana mata saya sudah dilatih selama lima tahun bekerja di Amanz untuk mencari cacat-cela pada satu imej jadi saya terus rasa tidak berpuas hati. Selepas satu minggu penggunaan saya sedari yang Poco F5 mengalami masalah MIUI sama pada peranti Xiaomi iaitu AI pada kamera tidak konsisten dan tidak cukup cerdik menentukan tetapan terbaik.

Kamera 64MP peranti ini memang nampak cantik dan jelas. Cuma warna yang tidak konsisten dan butiran yang tidak jelas kerana penuh hingar. Kemudian walaupun sudah ada OIS peranti ini tidak begitu stabil ketika menggunakan kamera dan ambil gambar sambil bergerak menyebabkan fokus lari. Sensor sudut ultra-lebar adalah satu bonus kerana sudah banyak peranti kelas pertengahan saya uji tiada sensor ini. Sensor makro adalah “bonus” yang pada saya tidak berguna pun.

Teraair kali ini menawarkan bingkai gambar untuk memberi kesan seakan kamera filem. Malah ada beberapa penuras baharu turut ditawarkan jika itu adalah citarasa anda.

BATERI

Saya rasa dengan mana-mana peranti dengan cip 4nm bateri memang boleh tahan lama. Kerana pada Poco F5 ini bateri 5000mAh boleh bertahan sehingga 8 jam SOT untuk penggunaan ringan. Penggunaan berat pula boleh memberikan SOT sekitar 5-6 jam. Tidak lupa juga yang peranti ini menyokong pengecasan pantas 67W yang boleh mengecas dari 0% ke 100% kurang satu jam tanpa ada masalah pemanasan kerana sistem penyejukan dan kawalan pada perisian yang digunakan.

AUDIO

Audio Dolby Atmos melalui speaker stereo Poco F5 memang satu bonus. Tidak semua pengeluar peranti boleh menawarkan peranti berharga bawah RM2000 dengan teknologi Dolby. Audio peranti cukup seimbang, lantang dan mempunyai bass yang agak terlampau. Ini menyebabkan vokal sedikit tenggelam.

Peranti juga ada port bicu audio 3.5mm dan MIUI pada peranti ini sedia menyokong LHDC bermakna jika sambungkan TWS seperti OnePlus Buds Pro 2 atau Nothing Ear (2) akan memberikan pengalaman audio yang enak dan berkualiti tinggi tanpa memerlukan aksesori audio tambahan.


PESAING

Poco F5Vivo V27iQOO Z7
6.72″ Flow AMOLED, 120Hz
FHD+, Dolby Vision
6.78″ AMOLED, 120Hz
FHD+, HDR10+
6.64″ LCD, 120Hz
FHD+, HDR10
Snapdragon 7+ Gen 2 (4nm)
1x 2.91 GHz Cortex-A710
3x 2.49 GHz Cortex-A710
4x 1.8 GHz Cortex-A510
Dimensity 7200 (4nm)
2x 2.8 GHz Cortex-A715
6x Cortex-A510
Snapdragon 782G (6nm)
1x 2.7 GHz Cortex-A78
3x 2.4 GHz Cortex-A78
4x 1.8 GHz Cortex-A55
Adreno 725Mali-G610 MC4Adreno 642L
8/12 GB LPDDR5
Memori maya 7GB
8/12 GB LPDDR58/12 GB LPDRR4X
Memori maya 8GB
256GB UFS 3.1128/256 GB UFS 3.1128/256 GB UFS 2.2
Kamera Utama
64MP f/1.79, OIS, (Sudut Lebar)
2MP f/2.2, (Sudut Ultra-Lebar)
8MP f/2.4, (Makro)
AI, 8K
Kamera Utama
50MP f/1.88, OIS, (Sudut Lebar)
8MP f/2.2, (Sudut Ultra-Lebar)
2MP f/2.4, (Makro)
Aura Light, Supermoon
Kamera Utama
48MP, f/1.8 Sudut Lebar)
8MP f/2.2 (Sudut Ultra-Lebar)
5MP f/2.4 (Makro)
1FHD080p 30p
Kamera Hadapan
16MP f/2.45
Kamera Hadapan
16MP f/2.45
Kamera Hadapan
16MP f/2.2
IP53Tidak kalis airTidak kalis air
Bicu audio 3.5mmTiadaTiada
Audio StereoAudio MonoAudio Stereo
5000 mAh (Berwayar 67W)4600 mAh (Berwayar 66W)5000 mAh (Berwayar 120W)
RM 1699 (8/256GB)
RM 1799 (12/256GB)
RM1799 (8/256 GB)RM1299 (8/128 GB)
RM1499 (12/256 GB)

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

  • 1x Poco F5.
  • 1x Kerangka silikon.
  • 1x Pengecas 67W.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

KESIMPULAN

Jika saya cuba lupakan isu iklan, aplikasi gendut dan kamera yang tidak begitu hebat ini saya boleh katakan ini adalah peranti Poco yang hampir sempurna. Skrin yang cantik dan hebat, prestasi yang menakjubkan, perisian terkini dan rekaan yang asas tetapi masih cuba untuk menjadi premium. Tidak lupa juga ciri peranti mercu seperti Dolby Vision yang disertakan pada peranti ini dan ia masih mempunyai port bicu audio pada tahun 2023.

Poco F5 adalah peranti kelas pertengahan premium yang cuba memberikan pengalaman peranti mercu yang baik. Dengan harga jualan bermula pada RM1699 untuk model 8/256 GB dan model yang saya ulas pula adalah RM1799 dengan memori 12/256 ia adalah padanan harga yang terbaik. Jika anda beli awal selepas pelancaran anda boleh dapatkan model 12GB ini pada harga RM1499. Jika anda tanya saya peranti mana satu baik untuk dibeli saya akan jawab Baik beli Poco!

Pro

  • Rekaan yang biasa tetapi cuba nampak premium.
  • Prestasi yang dahsyat seakan peranti mercu.
  • Bateri tahan lama dan menyokong pengecasan pantas 67W.
  • Paparan yang lancar, pantas dan cantik.
  • Ada bicu audio 3.5mm dan sokongan LHDC.

Kontra

  • Kamera 64MP agak mengecewakan di mata saya.
  • Speaker stereo menghasilkan vokal yang tenggelam.
  • Kamera makro yang tidak berguna.
  • Perisian masih ada iklan dan aplikasi gendut yang menjengkelkan.
© 2023 Amanz Media Sdn Bhd