Poco F5 Pro dilancarkan secara rasmi hari ini dan sebenarnya kami sudah menggunakannya sejak seminggu lalu. Saban kali apabila peranti Poco dilancarkan di Malaysia, ramai yang bertanya adakah legasi mereka sebagai peranti mercu mampu milik masih diteruskan seperti mana Poco F1 mengubah landskap telefon pintar lima tahun yang lalu.
Jawapan pendeknya ialah masih baik beli Poco. Tetapi jawapan lebih panjang ialah ia bergantung kepada tahap kesabaran anda dengan pepijat turun temurun dan apakah kualiti yang sanggup dikorbankan untuk memiliki peranti yang mampu milik ini.
SPESIFIKASI
Poco F5 Pro | |
---|---|
Skrin | 6.67″ AMOLED WQHD+, 120Hz, Dolby Vision |
Pemproses | Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm) |
Cip | 1 X 3.0 GHz Cortex X2 3 X 2.5 GHz Cortex A710 4 X 1.8 GHz Cortex A510 |
Cip Grafik | Adreno 730 |
RAM | 12GB LPDDR5 |
Muatan Dalaman | 256GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 64MP f/1.79 OIS (Sudut Lebar) 8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 2MP f/2.4 (Makro) 8K 24p |
Kamera Swafoto | 16 Megapixel f/2.45 |
Bateri | 5160 mAh Pengecasan berwayar 67W Pengecasan nirwayar 30W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IP53 |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari bawah skrin |
Harga Jualan | RM 2099 (8/256GB) RM 2199 (12/256GB) RM 2399 (12/512GB) |
SKRIN
Skrin 6.67″ adalah dari jenis AMOLED dengan resolusi WQHD+ dan sokongan 120Hz. Ia bukan dari jenis LTPO maka kadar segar semula tidak boleh turun sehingga 1Hz seperti pada peranti mercu sebenar. Ia juga dari jenis rata maka tidak ada isu kandungan melimpah ke bahagian sisi. Kaca Gorilla Glass 5 digunakan bagi memastikan skrin tidak berderai jika terjatuh. F5 Pro juga ialah peranti pertama Poco dengan resolusi WQHD+ yang memberikan kepadatan pixel 526PPI.
Yang menjadikan skrin ini menarik ialah terdapat sokongan kandungan Dolby Vision. Jika anda melanggan Netflix, Disney+ Hotstar dan Apple TV+, anda dapat menikmati kandungan Dolby Vision perkhidmatan penstriman ini pada F5 Pro.

Keterangan dan sudut pandangan skrin adalah memuaskan. Di bawah cahaya matahari yang terang teks pada skrin masih dapat dilihat dengan jelas. Tatalan skrin juga nampak lancar lebih-lebih lagi dalam mod 120Hz. Penghasilan warna juga memuaskan tanpa isu banding iaitu apabila warna cerun menunjukkan garisan yang tidak sekata. Setiap sentuhan juga dapat dikesan oleh skrin dengan cukup baik.

PENGIMBAS CAP JARI
Pengimbas cap jari terbina di bawah skrin pada kedudukan yang kami rasakan sedikit rendah serta saiz kawasan imbasan yang agak kecil. Alangkah baiknya jika ia diletakkan satu inci lebih tinggi kerana memudahkan jari diimbas apabila peranti dipegang sebelah tangan. Imbasan adalah pantas peranti dinyahkunci dalam masa sekelip mata. Terdapat sistem imbasan wajah tetapi ia tidak berfungsi dengan baik di dalam keadaan gelap. Pengimbas cap jari ini juga mempunyai fungsi sekunder sebagai pengimbas nadi apabila diperlukan.

REKAAN
Panel belakang diperbuat daripada kaca dengan bahagian sisinya melengkung. Kami tidak diberikan maklumat sama ada Gorilla Glass 5 digunakan juga pada panel ini.

Permukaan panel belakang ini agak licin tetapi tidak memerangkap kotoran dengan mudah pada model yang kami ulas. Saiz peranti tidak terasa terlalu besar dan masih selesa digunakan sebelah tangan. Keseluruhan tubuh dikelilingi oleh bingkai logam yang membuatkan tubuhnya kukuh. Tidak terasa seperti ia mudah melentur apabila ditekan.
Butang laras audio dan kuasa diletakkan pada sisi kanan dengan ia diperbuat daripada logam. Kedudukannya cukup ergonomik serta tidak menyakitkan jari apabila ditekan. Di bahagian atas terdapat satu daripada dua kekisi speaker dan juga pemancar infra merah. Sebuah talam dwi SIM nano, port pengecas USB-C dan kekisi speaker sekunder pula terletak di bahagian bawah.

Bonggol kamera untuk tiga lensa di belakang besar tetapi tidak begitu tinggi. Ia masih lebih rendah jika dibandingkan dengan yang ditemukan pada Magic5 Pro, Xiaomi 13 Pro atau iPhone 14 Pro Max. Rekaan bonggol ini agak aneh kerana mempunyai sisi logam berwarna perak. Tiga lensa kamera disusun menegak.
Kerana wujudnya bonggol kamera, peranti tidak boleh diletakkan rata di atas meja. Maka kami sarankan kerangka silikon yang diberikan percuma digunakan bagi mengelakkan panel logam pada bonggol tercalar dan menjadikan peranti lebih mudah diletakkan rata di atas meja.

Walaupun dilengkapi bateri dengan kapasiti 5160 mAh, tubuh F5 Pro tidaklah begitu tebal. Lebih nipis jika dibandingkan dengan iPhone 14 Pro Max yang mempunyai bateri yang jauh lebih kecil. Ia juga tidak terasa berat dalam tangan. Kesemua komponen-komponen dan elemen rekaan yang kami taip di atas dimasukkan ke dalam tubuh yang melepasi piawaian kalis percikan air IP53.

PENGGUNAAN DAN PERISIAN – MIUI 14 For Poco
Sistem operasi MIUI 14 for Poco dengan Android 13 sama seperti pada Xiaomi 13 Pro yang diulas beberapa minggu lalu cuma dengan sentuhan Poco. Tiada perubahan yang mendadak berbanding MIUI 13 dari segi rupa tetapi terdapat penambahbaikan pada ciri.

Antaramuka MIUI 14 Poco adalah minimalis serta nampak kemas. Semakin kelihatan sama dengan Android 13 asli. Segalanya lancar dengan aplikasi boleh dilancarkan dengan pantas. Beberapa ciri tambahan yang disertakan juga memudahkan penggunaan seperti mod sebelah tangan, pengimbas nadi dalam skrin, Second Space dan Floating Window.

Ciri tambahan paling menarik bagi kami ialah Memory Extension yang menambah memori sehingga 7GB secara maya. Pemilik boleh menambah memori sebanyak 3GB, 5GB, a7GB atau dimatikan sahaja jika merasakan 12GB tidak mencukupi untuk kegunaan harian. Sebuah lagi ciri klasik yang masih dikekalkan ialah pemancar infra merah. Kami masih menggunakannya di rumah kerana boleh mengawal TV, kipas, lampu dan pendingin hawa tanpa perlukan aplikasi.

Sepanjang tempoh seminggu digunakan tiada isu yang benar-benar serius dapat kami kesan. Cuma ada beberapa pepijat aneh yang berlaku. Misalnya peranti tidak memberikan notifikasi yang diterima sehinggalah skrin dinyahkunci. Jika anda tersalah meletak peranti, ia tidak dapat dikesan menggunakan Find My Device. Peranti seakan mematikan WiFi apabila dibiarkan terlalu lama. Ada beberapa lagi isu lain tetapi kami letakkannya di bahagian Telefoni dan GPS kerana lebih relevan di bawah.
PENANDA ARAS – Snapdragon 8+ Gen 1
Cip Snapdragon 8+ Gen 1 pada waktu ini bukan lagi sebuah cip kelas mercu kerana dipintas oleh Snapdragon 8 Gen 2. Sungguhpun sudah lebih 8 bulan dilancarkan ia masih lagi boleh dikategorikan sebagai cip yang berkuasa. Ini dipadankan pula dengan memori sehingga 12GB LPDDR5 dan storan 512GB UFS 3.1.
Kami melakukan ujian penanda aras biasa iaitu Geekbench 6, dan Antutu 3D. Peranti keluaran Xiaomi masih menghalang pemasangan 3D Mark. Oleh itu hanya dua ujian sahaja boleh dilakukan pada waktu ini. Keputusan ujian adalah seperti di bawah. Kami bandingkannya dengan cip Snapdragon 8 Gen 2 (Xiaomi 13 Pro, S23 Ultra, OnePlus 11), Dimensity 9200 (Vivo X90) dan Apple A16 (iPhone 14 Pro Max).
Geekbench 6
- Poco F5 Pro – 1868/5272
- Xiaomi 13 Pro – 1868/5272
- Samsung Galaxy S23 Ultra – 1922/5017
- OnePlus 11 – 1495/4805
- Vivo X90 – 1668/4000
- Apple iPhone 14 Pro Max – 2524/6317
Antutu 3D
- Poco F5 Pro – 1,049,997
- Xiaomi 13 Pro – 1,252,296
- Samsung Galaxy S23 Ultra – 1,171,384
- OnePlus 11 – 1,104,135
- Vivo X90 – 1,147,029
- Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941
Wild Life Extreme
- Poco F5 Pro – Tiada
- Xiaomi 13 Pro – Tiada
- Samsung Galaxy S23 Ultra – 3247
- OnePlus 11 – 3712
- Vivo X90 – 3176
- Apple iPhone 14 Pro Max – 3373

Skor yang dicatatkan adalah tidak mengecewakan walaupun bukan yang paling tinggi dicatatkan tahun ini. Pelbagai aplikasi media sosial, pelayar web, dan penstriman dapat dijalankan tanpa sebarang masalah. Dengan memori 12GB RAM banyak aplikasi boleh dilancarkan secara serentak tanpa ada yang ditutup untuk menjimatkan memori. Prestasi permua juga memuaskan. Storan UFS 3.1 membolehkan aplikasi-aplikasi dan permua dilancarkan dengan pantas.

Majoriti permua boleh dijalankan pada tetapan grafik dan resolusi yang tinggi. COD Mobile, Diablo Immortal dan Asphalt 9 semua boleh dimainkan pada tetapan grafik dan kadar bingkai tinggi secara stabil. Peranti hanya menjadi sedikit suam selepas sesi permua yang panjang kerana dilengkapi kebuk wasap penyejukan yang besar. Peminat permua tidak akan merungut jika ingin menggunakan F5 Pro sebagai “konsol mudah alih” Android mereka.
TELEFONI Dan GPS
Rangkaian5G boleh digunakan dengan baik lengkap dengan VoLTE dan VoWiFi jika syarikat telko anda menyokongnya. Dua SIM nano boleh digunakan serentak dalam talam yang terletak di bahagian bawah peranti. Panggilan telefon adalah jelas. Tetapi ada satu isu yang pelik berlaku semasa mengulas di mana kami tidak dapat menerima SMS. Ini menyukarkan proses mengaktifkan WhatsApp dan Grab. Kami tidak tahu apa silapnya di sini. Sebelum ini kami ada mengulas peranti MIUI 14 dan isu ini tidak wujud.

Satu lagi perkara aneh ialah telefon memasuki mod “tidur” secara rawak. Ada satu hari kami terlupa di mana F5 Pro diletakkan. Kami terus menggunakan Find My Device tetapi sistem tidak mengesannya langsung. Apabila peranti ditemukan kemudiannya, ia terus berdering dan notifikasi masuk tanpa henti sejurus selepas peranti dinyahkunci. Ini ialah pepijat yang pernah kami alami pada MIUI 12. Kenapa ia muncul semula kami tiada jawapannya.
Prestasi WiFi dan GPS adalah baik. Lokasi dapat dijejak dalam aplikasi Waze dan Google Maps dengan pantas. WiFi pantas tetapi seperti yang kami nyatakan di atas ia seakan diputuskan oleh MIUI apabila peranti tidak aktif untuk tempoh yang agak lama.
KAMERA
Sistem tri-kamera di belakang terdiri daripada lensa sudut lebar 64MP dengan OIS, 8MP ultra sudut lebar dan 2MP makro. Konfigurasi kamera utama yang sekadar biasa sahaja. Di hadapan pula sensor 16MP digunakan. Di sini jelas Poco melakukan penjimatan kos kerana hanya kamera utama mempunyai sensor besar dengan OIS.
Kamera MIUI 14 adalah standard dengan ciri seperti mod 64MP, panorama, memadam objek, klon dan mod video sinematik. Harapan kami tidak berapa tinggi dengan konfigurasinya tidak sebaik Xiaomi 12T Pro yang dilengkapi sensor 200MP yang lebih baik.
Kemampuan kamera adalah sekadar sederhana sahaja dengan tangkapan menerusi kamera utama agak memuaskan walaupun tidak cukup tajam. Penghasilan semula warna juga agak kekuningan. Prestasi kamera ini sebenarnya sedikit mengecewakan baik sebuah sensor yang dilengkapi OIS. Mod malam adalah sekadar sederhana. Dapat dilihat imej yang kurang tajam serta ada hingar yang sedikit ketara.


Lensa sudut ultra lebar pula menghasilkan gambar yang baik dalam situasi cahaya yang baik sahaja. Dalam suasana gelap imej nampak kurang tajam kerana tiada OIS. Lebih lama bukaan dalam mod malam, semakin kurang memuaskan gambar yang terhasil. Saranan kami gunakan mod malam pada lensa sudut lebar sahaja.



Prestasi zum pula sekali lagi sederhana. Ia mampu melakukan zum sehingga 10X sahaja secara digital. Langkah yang baik sebenarnya kerana kami rasakan kualiti fotografi telefoto adalah memuaskan sehingga 2X zum sahaja. Pada tahap zum digital 10X, dapat dilihat imej yang tidak cukup tajam. Tidak pecah tetapi kami rasakan tidak sesuai untuk dicetak di kedai gambar.



BATERI
Bateri 5160 mAh membolehkan F5 Pro bertahan sepanjang hari. Secara purata di akhir hari peranti masih mempunyai sekitar 20% caj bateri. SOT secara purata ialah 7-8 jam dan boleh beroperasi sehingga 20 jam pada penggunaan yang sederhana. Hayat bater yang memuaskan untuk sebuah peranti dengan cip mercu. Menegcas semula bateri mengambil masa sekitar sejam menerusi pengecasan berwayar 67W dengan pengecas disertakan dengan pembelian. Terdapat juga sokongan pengecasan 30W bagi mereka yang memerlukannya.

AUDIO
Audio dari speaker stereo adalah dibantu oleh sokongan Dolby Atmos. Kedua-dua speaker menembak ke sisi bagi memberikan pengalaman audio yang seimbang. Pada waktu ini Xiaomi, Black Shark dan Poco adalah pengeluar yang konsisten menawarkan speaker yang menembak ke sisi bagi menawarkan pengalaman audio yang baik pada peranti keluaran mereka. Audio yang dihasilkan adalah lantang memuaskan.

PESAING
Poco F5 Pro | Huawei P60 | Xiaomi 12T Pro |
6.67″ AMOLED, WQHD+, 120Hz, Dolby Vision | 6.67″ LTPO OLED, FHD+, 120Hz | 6.67″ AMOLED, FHD+, Dolby Vision, 120Hz |
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm) 1 X 3.0 GHz Cortex X2 3 X 2.5 GHz Cortex A710 4 X 1.8 GHz Cortex A510 | Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm) 1 X 3.0 GHz Cortex X2 3 X 2.5 GHz Cortex A710 4 X 1.8 GHz Cortex A510 | Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm) 1 X 3.0 GHz Cortex X2 3 X 2.5 GHz Cortex A710 4 X 1.8 GHz Cortex A510 |
Adreno 730 | Adreno 730 | Adreno 730 |
8/12GB LPDDR5 | 8GB LPDRR5 | 8/12 GB LPDDR5 |
256/512 UFS 3.1 | 128/256/512 GB UFS 3.1 | 128/256 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama 64MP f/1.79, OIS (Sudut Lebar) 8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 2MP f/2.4 (Makro) 8K 24p | Kamera Utama 48MP f/1.4-f/4.0, OIS (Sudut Lebar) 13MP f/2.0 (Ultra Sudut Lebar) 12MP f/1.6, OIS (Telefoto 5X Optikal) 4K 60p | Kamera Utama 200MP, f/1.69, OIS (Sudut Lebar) 8MP, f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 2MP, f/2.4 (Makrol) 8K 24p |
Kamera Hadapan 16-Megapixel f/2.45 | Kamera Hadapan 13-Megapixel f/2.4 | Kamera Hadapan 20-Megapixel f/2.24 |
IP53 | IP68 | IP68 |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
5160 mAh (Berwayar 67W) | 4815 mAh (Berwayar 66W) | 5000 mAh (Berwayar 120W) |
RM 2099 (8/256GB) RM 2199 (12/256GB) RM 2399 (12/512GB) | RM 2902* (8/128GB) RM 3226* (8/256GB) RM 3873* (8/512GB) | RM 2699 (8/128GB) RM 2999 (12/256GB) |
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.
- 1x Poco F5 Pro.
- 1x Kerangka silikon.
- 1x Pengecas 67W.
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.

KESIMPULAN
Poco F5 Pro ialah peranti dengan Snapdragon 8+ Gen 1 yang paling mampu milik di pasaran Malaysia sekarang. Prestasi dan peranti dalam menjalankan aplikasi utama dan permua grafik tinggi masih amat memuaskan pada F5 Pro. Satu lagi kekuatannya ialah bateri yang tahan lama dengan sokongan pengecasan yang cukup pantas. Bagi mereka yang mencari peranti hampir mercu pada harga yang mampu milik inilah yang dicari-cari cuma ada beberapa kekurangan yang perlu diketahui dahulu.

Pro
- Skrin 120Hz dengan Dolby Vision.
- Snapdragon 8+ Gen 1 cukup berkuasa.
- Jumlah RAM yang boleh mencecah 19GB secara maya.
- Hayat bateri yang amat baik dengan pengecas 67W.
- Kalis percikan air IP53.
- Harga yang mampu milik untuk spesifikasi ini.
Kontra
- Perisian penuh dengan aplikasi gendut, iklan dan pop naik.
- Prestasi kamera yang sekadar sederhana.
- Kemasan dan bahan binaan terasa sedikit murah.
