Carian
Ulasan Xiaomi 13 Pro – Lena Diulit Leica
February 27, 2023 Effi Saharudin

Xiaomi bekerjasama dengan Leica bermula tahun lalu memulakan era baharu kemampuan fotografi mereka. Kerjasama dengan Leica berjaya melonjakkan nama Huawei sebagai sekadar pengeluar telefon dari China menjadi kuasa besar dunia. Menerusi siri Xiaomi 12S, kerjasama dengan Leica bermula tetapi aneh sekali ketiga-tiga peranti di bawah siri ini tidak ditawarkan ke pasaran global.

Ramai juga yang mengeluh kerana sudah lama mendambakan sistem Leica pada peranti Xiaomi. Dambaan ini berakhir dengan pelancaran Xiaomi 13 dan 13 Pro di peringkat global. Kami mendapat akses awal menggunakan Xiaomi 13 dan 13 Pro sekitar dua minggu lebih awal. Apa yang boleh kami katakan ialah selepas mengulas Xiaomi 13 Pro kami kini lena diulit Leica.

Baca – Ulasan : Xiaomi 13 Adalah Si Kecil Yang Luar Biasa [/sumber]

SPESIFIKASI

Xiaomi 13 Pro
Skrin6.73″OLED LTPO
WQHD+, 120Hz, Dolby Atmos
PemprosesSnapdragon 8 Gen 2 For Galaxy (4nm)
Cip1 X 3.2 GHz Cortex X3
4 X 2.8 GHz Cortex A715
3 X 1.8 GHz Cortex A510
Cip GrafikAdreno 740
RAM12GB LPDDR5X
Muatan Dalaman256GB /512GB UFS 4.0
Kamera Utama50MP f/1.9, 1″, OIS (Sudut Lebar)
50MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
50MP f/2.0 (Telefoto 3.2X optikal)
Kamera Swafoto32 Megapixel f/2.2
Bateri4820 mAh
Pengecasan berwayar 120W
Pengecasan nirwayar 50W
Pengecasan berbalik 10W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / eSIM / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM 4599 (12/256GB)
RM 5199 (12/512GB)

SKRIN

Skrin 6.73″ adalah dari jenis OLED LTPO yang menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz. Kadar segar semula berubah secara dinamik di antara 1 – 120Hz secara automatik bergantung kepada keperluan aplikasi. Menggunakan ciri paparkan FPS terbina Android, kami dapat melihat skrin LTPO Xiaomi 13 Pro memang berfungsi seperti diiklankan. Dalam aplikasi Google Photos ia kekal 1Hz semasa tiada tatalan dilakukan dan meningkat ke 120Hz apabila COD Mobile diaktifkan.

Ini ialah skrin terbaik pernah kami lihat pada sebuah peranti Xiaomi. Bukan sahaja pergerakan nampak lancar tanpa isu ghosting, ia juga tidak memaparkan isu drop frame yang menghantui peranti Xiaomi sejak sekian lama. Hasilnya penggunaan peranti adalah setaraf pengalaman kami menggunakan iPhone 14 Pro Max dan Galaxy S23 Ultra. Tiada kompromi kualiti di sini.

Skrin juga menyokong paparan HDR10+ dan Dolby Vision. Xiaomi adalah sebilangan kecil pengeluar Android yang menyokong kedua-dua format HDR ini. Secara peribadi kami lebih sukakan tona warna Dolby Vision yang nampak lebih sinematik. Walaupun peranti belum dilancarkan secara rasmi di peringkat global sepanjang tempoh ulasan, kandungan Dolby Vision boleh ditstrim daripada Netflix tanpa sebarang isu. Syabas Xioami kerana peranti telah disahkan lebih awal.

Warna adalah baik, terang dan hidup. Sudut pandangan juga memuaskan untuk pelbagai kandungan. Di bawah matahari skrin masih boleh dibaca dengan selesa. Isu kami hanyalah sisi melengkung yang seperti sedia maklum menyebabkan video melimpah ke sisi sehingga terpotong. Alangkah baik jika skrin Xiaomi 13 yang rata turut digunakan pada Xiaomi 13 Pro. Masanya telah tiba untuk merehatkan skrin melengkung pada telefon pintar.

PENGIMBAS CAP JARI

Pengimbas cap jari terbina di bawah skrin pada kedudukan yang cukup tinggi untuk memudahkannya mengimbas ibu jari kiri dan kanan walaupun peranti digunakan sebelah tangan. Ia dari jenis optikal yang pantas menyahkunci peranti. Tetapi jika jari sedikit basah atau kotor ia mula sedikit bermasalah. Ini sahaja kekurangan pada sistem pengimbas cap jari yang digunakan oleh Xiaomi. Samsung misalnya telah lama menggunakan sistem ultrasonik yang lebih pantas, kurang bermasalah dan kawasan imbasan yang lebih besar.

Pengimbas ini turut mempunyai ciri sekunder sebagai pengimbas nadi. Letakkan sahaja jari dan nadi jantung akan dibaca dalam masa sekitar 15 saat. Bacaan adalah agak tepat konsisten dengan bacaan pada jam tangan pintar yang kami pakai pada pergelangan tangan.

REKAAN

Dalam video ulasan penuh yang kami sudah terbitkan di atas, Fahim berkata rekaan Xioami 13 adalah agak membosankan kerana kelihatan agak asas. Tiada warna cerun, panel belakang dengan lampu LED, panel berubah warna, corak menarik atau warna yang lain daripada lain. Kami tidak bersetuju dengan pendapat Fahim kerana kami dari golongan yang lebih menggemari rekaan minimalis.

Apa gunanya rekaan yang bombastik seperti Poco F3, ROG Phone 6 atau P50 Pro edisi kulit vegan kerana di akhir hari peranti akan dibungkus juga di dalam sebuah kerangka tahan lasak. Majoriti pengguna menggunakan kerangka sekarang kerana insaf selepas peranti jatuh retak seribu.

Rekaan Xioami 13 pada hemat kami melebihkan fungsi daripada gaya. Kami sukakannya kerana tiada pembaziran. Jika kerangka dibeli tidak rasa bersalah panel belakang yang cantik tersorok.

Sisi logam yang teguh dipadankan dengan panel kaca di belakang dan kaca Gorilla Glass Victus di hadapan. Panel belakang kerana diperbuat daripada kaca amat mudah kotor lebih-lebih lagi pada unit berwarna hitam yang diterima untuk diulas. Bahagian belakang didominasi oleh bonggol kamera empat segi yang bersaiz besar.

Bonggol ini walaupun besar tidak membuatkan peranti terasa kurang stabil dalam tangan. Ia tidak “berat kepala” seperti pengalaman kami menggunakan Xiaomi 12S Ultra tahun lalu. Kerana saiznya yang besar dan rata, peranti boleh diletakkan agak rata di atas meja. Kesemua lensa diletakkan di belakang panel kaca besar yang mempertahankannya daripada sebarang calar.

Butang kuasa dan laras audio logam diletakkan pada sisi kanan pada kedudukan yang selesa. Di atas terdapat pemancar infra merah, lubang mikrofon dan satu kekisi untuk speaker. Bergerak ke bawah terdapat talam dwi-SIM nano, lubang pengecas USB-C dan satu lagi kekisi audio untuk melengkapkan sistem audio stereo. Tiada apa-apa diletakkan pada sisi kiri bingkai.

Dalam tangan peranti terasa berat tetapi tegap. Tiada isu seperti terdapat ruang rompong yang membuatkan peranti terasa kurang premium. Jika ingin komen negatif, sisi adalah dari jenis dibulatkan tidak mengikut trend semasa sisi yang berkotak.

Xiaomi mungkin ingin mengekalkan imej mereka yang menggunakan rekaan sisi bulat sejak beberapa tahun yang lalu pada 13 Pro. Jika anda lebih menggemari sisi berkotak, Xiaomi 13 ialah peranti yang lebih selari dengan selera anda.

Kesemua komponen ini diletakkan di dalam tubuh yang melepasi piawaian kalis debu dan air IP68. Pendek kata rekaan peranti bukan yang paling inovatif atau tercantik pernah kami lihat tetapi ianya selesa di dalam tangan. Bagi kebanyakan pengguna, keselesaan adalah lebih penting berbanding nilai estetika.

PENGGUNAAN DAN PERISIAN – MIUI 14

Sistem operasi MIUI 14 dengan Android 13 digunakan tidak seperti pada Poco X5 Pro yang diulas beberapa minggu lalu. Tiada perubahan yang mendadak dengan MIUI 13 dari segi rupa tetapi terdapat penambahbaikan ketara pada perisian. Fahim ada mengatakan dalam ulasan Xiaomi 13 beliau bahawa rekaan MIUI sudah agak statik kebelakangan ini sehingga tidak banyak perubahan dilakukan. Contoh terbaik walaupun berasaskan Android 13, MIUI 14 tidak menyokong perubahan tema peranti secara automatik mengikut warna imej latar belakang yang dipilih.

Tiada lagi isu iklan yang melampau pada aplikasi terbina. Ia tidak lagi wujud. Aplikasi gendut yang terpasang juga dikurangkan dengan pengguna diberikan pilihan untuk memasangnya semasa peranti diaktifkan buat pertama kali. Masalah selular dan notifikasi yang tidak kunjung tiba juga tidak berlalu lagi. Selepas beberapa tahun merungut, akhirnya Xiaomi menyelesaikan isu-isu yang selama kini menggagalkan usaha mereka untuk berdiri sama rata dengan Samsung, Apple dam Huawei.

Antara ciri tambahan menarik ialah Memor Extension yang menambah memori sehingga 7GB secara masa. Kami merasakan memori 12GB yang diberikan sudah mencukupi tetapi jika pemilik ingin menambahnya terdapat pilihan dalam bentuk 3GB, 5GB, 7GB atau dimatikan sahaja jika tidak diperlukan. Kerana ini sebuah peranti MIUI, ciri standard menggunakan dua aplikasi yang sama dengan akaun berbeza, mengunci sesetengah aplikasi daripada digunakan dan Mi Remote turut diberikan.

Sepanjang tempoh dua minggu peranti diuji, ia terasa pantas, lancar, tiada isu memasang aplikasi dan terdapat penambahan ciri-ciri yang menarik. MIUI 14 dengan Android 13 mungkin adalah iterasi yang terbaik setakat ini. Tiada kekurangan pada sistem operasi ini jika dibandingkan dengan Samsung One UI atau Oppo ColorOS.

PENANDA ARAS – Snapdragon 8 Gen 2

Cip Snapdragon 8 Gen 2 digunakan dengan ia adalah cip paling berkuasa untuk peranti Android setakat ini. Seperti yang telah dinyatakan di atas, peranti amat lancar kerana dibantu skrin 120Hz, 12GB LPDDR5X dan storan 512GB UFS 4.0 pada peranti yang kami ulas ini. Tiada perkara negatif boleh kami katakan mengenai prestasi.

Tetapi apakah prestasi Xiaomi 13 Pro jika dibandingkan dengan Galaxy S23 Ultra (Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy), OnePlus 11 (Snapdragon 8 Gen 2), Vivo X90 (Dimensity 9200) dan iPhone 14 Pro Max (Apple A16 Bionic)

Skor yang dicatatkan dalam aplikasi penanda aras popular adalah seperti di bawah. Xiaomi masih menghalang akses kepada 3D Mark untuk digunakan maka hanya ujian Geekbench 6 dan Antutu 3D sahaja mampu dilakukan.

Geekbench 6

  • Xiaomi 13 Pro – 1868/5272
  • Samsung Galaxy S23 Ultra – 1922/5017
  • OnePlus 11 – 1495/4805
  • Vivo X90 – 1668/4000
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 2524/6317

Antutu 3D

  • Xiaomi 13 Pro – 1,252,296
  • Samsung Galaxy S23 Ultra – 1,171,384
  • OnePlus 11 – 1,104,135
  • Vivo X90 – 1,147,029
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941

Wild Life Extreme

  • Xiaomi 13 Pro – Tiada
  • Samsung Galaxy S23 Ultra – 3247
  • OnePlus 11 – 3712
  • Vivo X90 – 3176
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 3373

Skor yang dicatatkan adalah setanding dengan peranti lain dengan Snapdragon 8 Gen 2. Tetapi ini sekadar ujian sintetik. Dalam penggunaan sebenar tiada beza prestasi Xiaomi 13 Pro dengan S23 Ultra yang baru sahaja. Laju sama pantas, prestasi sama menakjubkan.

Prestasi permua juga pantas. Storan UFS 4.0 melancarkan aplikasi dan permua sepantas kilat seperti pada sebuah iPhone 14 Pro. Terdapat perbezaan beberapa saat untuk memulakan COD Mobile misalnya berbanding peranti dengan storan UFS 3.1.

Majoriti permua boleh dijalankan pada tetapan grafik dan resolusi paling tinggi. Permua COD Mobile misalnya tidak menjadi panas melampau selepas 4-5 pusingan MP atas talian. Sesuatu yang cukup asing pada peranti Android mercu tahun lalu. Nyata sekali Snapdragon 8 Gen 2 berjaya menyelesaikan isu pemanasan melampau yang menghantui Snapdragon 8 Gen 1. Bagi peminat permua, peranti dapat menjalankan permua kegemaran anda bukan sahaja dengan lebih pantas tetapi kini pada suhu yang tidak membakar telapak tangan.

TELEFONI Dan GPS

Kami tidak dapat menyambungkan Xiaomi 13 Pro kepada rangkaian 5G Malaysia kerana ia beluh disokong sepanjang tempoh ulasan. Rangkaian yang boleh diuji hanyalah 4G LTE + menerusi rangkaian Digi dengan terdapat sokongan VoLTE dan VoWiFi. Dua SIM nano boleh digunakan serentak dan juga terdapat sokongan eSIM. Jika eSIM digunakan, hanya satu SIM fizikal boleh diaktifkan serentak.

Kualiti panggilan telefon adalah jelas tanpa isu terputus tanpa sebab. Rangkaian WiFi 6E juga boleh dinikmati jika anda mempunyai modem yang menyokongnya. Prestasi GPS seperti rangkaian selular juga adalah amat memuaskan. Lokasi dalam aplikasi Waze dan Google Maps dikesan dalam masa kurang dua saat. Pemanduan di kawasan yang berkepadatan tinggi juga boleh dilakukan tanpa sebarang gangguan.

KAMERA

Kamera dengan sensor utama 1″ 50MP yang dipadankan dengan lensa Leica menjadi pertaruhan Xiaomi 13 Pro di pasaran Malaysia. Hanya terdapat beberapa peranti sahaja dengan sensor 1″ seperti Vivo X90 Pro dan Sony Xperia PRO-I. Ini dipadankan dengan lensa ultra sudut lebar 50MP dan lensa telefoto 50MP dengan 3.2 zum optikal. Di hadapan kamera 32MP digunakan. Hanya sensor 1″ mempunyai sistem OIS untuk penstabilan imej terbaik.

Dalam situasi pencahayaan yang baik gambar diambil adalah terang, jelas dan tajam. Gambar dari lensa sudut lebar 200MP khususnya mempunyai imej yang sangat tajam kerana teknik penggabungan 16 pixel menjadi satu yang digunakan. Tahun lalu wujud isu perbezaan warna antara lensa sudut lebar dan ultra sudut lebar. Isu ini masih berterusan seperti yang dapat anda lihat di bawah. Gambar ultra sudut lebar 12MP nampak lebih gelap sedangkan ia diambil pada waktu dan lokasi yang sama. Turut masih wujud ialah shutter lag yang ketara.

Kekuatan kamera Xiaomi 13 Pro dengan lensa Leica terletak pada warna. Kami mengambil gambar hampir secara eksklusif dengan tetapan Leica Vibrant kerana warna yang nampak lebih menyerlah dan imej lebih terang. Dengan sensor 1″, keperincian pada objek adalah lebih tajam berbanding kamera 50MP biasa. Secara keseluruhan kualiti imej yang ditangkap menggunakan sensor 1″ peranti ini melangkaui harapan kami.

Tidak Leica jika gamba monokrom tidak diambil. Mod monokrom hanya boleh digunakan dalam mod potret Black and White 35mm. Pilihan yang agak aneh oleh Xiaomi keran pada peranti Huawei dahulu terdapat mod Monokrom khusus yang membenarkan kami mengubah kekuatan bokeh selepas gambar diambil. Mod Aperture seperti Huawei juga tidak ada.

Sebagai pengguna tegar Huawei siri P dan Mate, sistem kamera Leica pada Xiaomi 13 Pro ini kurang memuaskan. Kami sudah terbiasa dengan pilihan yang lebih banyak serta kebebasan yang diberikan oleh aplikasi kamera Huawei. Diharap pada peranti seterusnya Xiaomi dan Leica boleh memperbaiki kelemahan sekarang.

Berikut adalah gambar yang diambil pada tetapan zum 0.6x, 1x, 3.2X, 10x dan 70x pada waktu senja yang sudah agak kelam. Kualiti imej yang ditangkap adalah baik sehingga 3.2x sahaja. Pada tetapan zum 10x, imej mula kelihatan pecah. Apabila mencecah zum 70x, imej yang ditangkap tidak memuaskan.

Viewfinder pada Xiaomi 13 Pro adalah stabil walaupun pada tetapan 70x zum. Setanding dengan pengalaman kami pada S23 Ultra. Tetapi kualiti zum S23 Ultra adalah lebih baik sehingga ke tetapan 30x. Jika zum super penting untuk anda, Xiaomi 13 Pro bukan pilihan terbaik.

BATERI

Dengan bateri 4820 mAh, kami berjaya mendapatkan SOT hampir 9 jam dan ia bertahan lebih 12 jam pada penggunaan yang agak berat. Jika peranti digunakan dengan lebih konservatif, SOT hampir 9 jam juga boleh dicapai dengan peranti bertahan lebih 20 jam. Dari segi prestasi ia sedikit di bawah S23 Ultra tetapi ini adalah dijangka kerana peranti ini dilengkapi bateri 5000 mAh.

Hayat bateri mungkin Xiaomi 13 Pro kalah kepada S23 Ultra tetapi dari segi pengecasan ia menyapu bersih peranti paling mercu Samsung ini. Bateri boleh dicas sepenuhnya dalam masa 30 minit menggunakan pengecas 120W yang disertakan sekali dengan setiap pembelian. S23 Ultra memerlukan 75 minit jika pengecas 45W yang perlu dibeli berasingan digunakan.

AUDIO

Audio dari speaker stereo adalah dibantu oleh sokongan Dolby Atmos. Kedua-dua speaker menembak ke sisi bagi memberikan pengalaman audio yang seimbang. Speaker lantang tetapi tidak cukup dinamik lebih-lebih lagi pada tahap audio yang tinggi.

PESAING

Xiaomi 13 ProSamsung Galaxy S23 UltraiPhone 14 Pro Max
6.73″ OLED, LTPO, WQHD+, 120Hz, Dolby Vision6.8″ Dynamic AMOLED 2X, LTPO, WQHD+, 120Hz, HDR10+6.7″ Super Retina XDR OLED, FHD+, Dolby Vision, 120Hz
Snapdragon 8 Gen 2 (4nm)
1 X 3.2 GHz Cortex X3
4 X 2.8 GHz Cortex A715
3 X 1.8 GHz Cortex A510
Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy (4nm)
1 X 3.36 GHz Cortex X3
4 X 2.8 GHz Cortex A715
3 X 1.8 GHz Cortex A510
Apple A16 Bionic (4nm)
2 X 3.43 GHz Firestorm
4 X ? GHz Icestorm
Adreno 740Adreno 740GPU 5 Teras
12GB LPDDR5X12GB LPDRR56GB LPDDR5
256/512 UFS 4.0256/512/1000 GB UFS 4.0128/256/512/1000 GB NVMe
Kamera Utama
50MP f/1.7, 1″, OIS (Sudut Lebar)
50MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
50MP f/2.0 (Telefoto 3.2X Optikal)
8K 24p
Kamera Utama
200MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
10MP f/2.4, OIS (Telefoto 3X Optikal)
10MP f/4.9, OIS (Telefoto 10X Optikal)
8K 30p
Kamera Utama
48MP, f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
12MP, f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
12MP, f/2.8, OIS (Telefoto 3x Optikal)
4K 60p
Kamera Hadapan
32-Megapixel
Kamera Hadapan
12-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
12-Megapixel f/1.9
IP68IP68IP68
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
4810 mAh (Berwayar 120W)5000 mAh (Berwayar 45W)4323mAh (Berwayar 20W)
RM 4599 (12/256GB)
RM 5199 (12/512GB)
RM 5699 (12/256GB)
RM 6199
(12/512GB)
RM 7199
(12/1000GB)
RM 5799 (6/128GB)
RM 6299 (6/256GB)
RM 7299
(6/512GB)
RM 8299
(6/1000GB)

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

  • 1x Xiaomi 13 Pro.
  • 1x Kerangka silikon.
  • 1x Pengecas 120W.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

KESIMPULAN

Xiaomi 13 Pro ialah peranti keluaran mereka yang terbaik pernah kami gunakan setakat ini. Menyelesaikan isu perisian yang berpepijat, tiada lagi iklan dan berfungsi dengan cukup lancar. Dibantu oleh spesifikasi pemproses yang amat berkuasa, saiz RAM yang mencukupi dan storan yang amat pantas. Sistem kamera dengan lensa Leica memang cukup padu serta akan memuaskan. Bagi yang mencari peranti dengan lensa Leica, 13 Pro ialah paling sesuai untuk keperluan anda.

Sebelum ini bila bercakap mengenai peranti Xiaomi kerap kami dengar orang berkata “telefon mereka bagus tapi..”. Tahun ini kekurangan dari segi perkakasan dan perisian sudah berjaya diselesaikan. Tetapi kekurangan tahun ini terletak pada harga yang agak mahal.

Di Malaysia ia dijual pada harga RM 4599 untuk model (12/256GB) dan RM 5999 untuk model (12/512GB). Xiaomi 13 Pro bukan peranti mampu milik yang menjadi identiti Xiaomi sejak dahulu lagi. Tahun lalu Xioami 12 Pro (12/256GB) dijual pada harga RM3899 yang turut membuatkan peminat Xiaomi mengeluh.

Adakah peminat mereka bersedia untuk berbelanja lebih demi kamera Leica? Adakah tiada terpaling indah sewaktu menggunakan Xiaomi 13 Pro? Ini adalah jawapan yang hanya pengguna di Malaysia boleh menjawabnya. Seperti yang kami katakan di awal ulasan ini, kami kini sudah lena diulit Leica.

Pro

  • Rekaan minimalis yang selesa, kemas dan cantik.
  • Skrin 120Hz LTPO dengan Dolby Vision.
  • Snapdragon 8 Gen 2 cukup berkuasa.
  • Kamera utama 50MP dengan lensa 1″
  • Lensa Leica.
  • Hayat bateri yang amat baik dengan pengecas 120W.

Kontra

  • Kekangan pada mod potret apabila menggunakan sistem Leica.
  • Skrin melengkung pada bahagian sisi.
  • Harga jualan yang melonjak naik berbanding model tahun lalu.
  • Perisian kamera Leica tidak sebaik pada aplikasi kamera Huawei.

Komen