Cari @ Amanz

ASUS ialah sebuah jenama peranti yang terkenal untuk peranti dan juga perkakasan kelas gaming mereka. Dari perkakasan komputer ke penawaran komputer riba dan juga aksesori-aksesori yang ditawarkan, mereka juga dilihat antara satu-satunya jenama yang masih lagi menawarkan peranti pintar pada kelas gaming.

Dengan pelancaran siri peranti ASUS ROG Phone 7, mereka dilihat sebagai satu-satunya jenama peranti pintar gaming yang kekal di pasaran dan dengan pelancaran siri peranti ini, model Ultimate juga telah kembali, dan kami diberi peluang untuk mengulas mengenainya.

Spesifikasi

ASUS ROG Phone 7 Ultimate
Skrin6.78″ AMOLED, 165Hz
1080 x 2448 pixels (395 ppi)
PemprosesSnapdragon 8 Gen 2 5G (4 nm)
Cip1 x 3.2 GHz Cortex-X3
2 x 2.8 GHz Cortex-A715
2 x 2.8GHz Cortex-A710
3 x 2.0 GHz Cortex-A510
Cip GrafikAdreno 740
RAM16GB LPDDR5
Muatan Dalaman512GB UFS 4.0
Kamera Utama50 MP, f/1.9, (lebar), PDAF
13 MP, f/2.2, (ultra-lebar)
5 MP, f/2.0 (makro)
Kamera Swafoto32MP f/2.5
Bateri6000 mAH
Berwayar 65W
Berbalik 10W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioAda
Kalis AirIP54
Sistem ImbasanPengimbas cap jari
Imbasan Wajah
Harga JualanRM4,999

ASUS ROG Phone 7 Ultimate bukanlah peranti pertama yang menggunakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2, tetapi sebagai jenama yang cukup terkenal untuk kebolehan melewahjam CPU yang digunakannya, jangkaan ramai ialah dengan peranti ini, prestasi cip pemprosesan tersebut boleh dimanfaatkan sepenuhnya melalui ciri lewahjam X-Mode.

Peranti ini juga tampil dengan memori LPDDR5 sebanyak 16GB yang membolehkannya membiarkan lebih banyak proses di latar belakang. Ini membantu khususnya apabila peranti ini juga memperkenalkan satu fungsi baru yang dinamakan Background Mode yang diperkenalkan pada tahun lepas yang membenarkan permua untuk dimainkan secara kendiri di latar belakang, sambil anda lakukan aktiviti-aktiviti yang lain.

Rekaan Dan Skrin

Jika anda ingat akan ulasan peranti ASUS ROG Phone 6D kami pada tahun lepas, rekaan peranti ROG Phone 7 Ultimate ini adalah lebih kurang sama seperti peranti tersebut. Ia tampil dengan saiz paparan 6.78 inci yang sama, cuma dengan resolusi dan ketumpatan piksel per inci yang lebih tinggi.

Sama seperti ROG Phone 6D, peranti ROG Phone 7 Ultimate ini juga tampil dengan kadar segar semula setinggi 165Hz dan hadir dengan sokongan untuk teknologi seperti HDR10+ dan mempunyai nilai kecerahan setinggi 1500 nit.

Paparan peranti ini dilindungi oleh skrin Gorilla Glass Victus, manakala bahagian belakangnya pula menggunakan Gorilla Glass 3. Di bahagian belakang peranti ini juga ia dapat diperlihatkan bahawa ASUS menggunakan semula rekaan peranti ROG Phone 6D untuk memuatkan tetingkap penyejuk AeroActive Portal yang membantu mengalirkan haba daripada komponen-komponen di dalam dengan cepat dan mudah.

Sama dengan peranti ROG Phone 6 Ultimate dan ROG Phone 6D sebelum ini, paparan OLED ROG Vision juga diperlihatkan sekali lagi, iaitu sebuah paparan 2 inci yang membolehkan pengguna untuk mengubahsuai sedikit rupa peranti dengan corak-corak yang menunjukkan keperibadian pengguna.

Gimik utama ROG Phone 7 Ultimate semestinya hadir melalui sistem butang ultrasonik AirTrigger yang boleh digunakan untuk mengakses butang-butang dalam permua secara lebih mudah. Kini, dengan ROG Phone 7 Ultimate, pengguna mempunyai lebih banyak pilihan tatalan butang.

Ciri tambahan yang mungkin paling berguna yang dapat saya lihat ialah gyroscope aiming, ataupun penghalaan menggunakan gyroscope yang mana pengguna boleh menggerakkan peranti untuk menghalakan penglihatan pada paparan.

Sama seperti model-model sebelum ini juga, ASUS ROG Phone 7 Ultimate ini hadir dengan dua palam USB Type-C yang menyokong pengecasan pantas 65W. Untuk palam USB Type-C di sisi peranti, penggunaan pogo-pin juga kembali untuk menyokong aksesori AeroActive Cooler terbaru yang diperkenalkan khusus untuk peranti ini.

Perkakasan Dan Perisian

ASUS ROG Phone 7 Ultimate dilengkapi dengan sistem operasi Android 13 dan syarikat tersebut telah menjanjikan kemaskini dua versi sistem operasi dan kemaskini sekuriti selama sekurang-kurangnya empat tahun.

Sama seperti peranti-peranti ROG Phone sebelum ini juga, ROG Phone 7 tampil menggunakan antaramuka ROG UI ataupun Zen UI. Untuk kali ini juga, ASUS membolehkan pengguna untuk mencampur-aduk pek latar belakang dan juga ikon-ikon aplikasi mengikut citarasa pengguna.

Aplikasi utama peranti ini merupakan Armory Crate yang merumahkan sejumlah besar tetapan yang boleh diakses untuk mengaktifkan sejumlah besar ciri-ciri pada peranti ini, seperti ROG Vision, AeroActive Cooler, GameGenie dan sebagainya.

Satu ciri yang sangat menarik yang baru diperkenalkan pada peranti ini ialah senarai permua yang menyokong pelbagai jenis kadar segar semula paparan, dari 120Hz ke 144Hz dan 165Hz dalam senarainya yang tersendiri.

Bagi saya sebagai pengulas peranti, ini merupakan satu kemudahan yang cukup berguna sekali kerana saya tidak perlu tercari-cari permua yang mana saya boleh memperlihatkan kegunaan paparan dengan kadar segar semula pantas ini, dan penyenaraiannya yang berasaskan kadar segar semula yang disokong juga sangat membantu.

Pengalaman Pengguna

ASUS ROG Phone 7 Ultimate dilihat hadir dengan pelbagai penambahan dari segi ciri, seperti penambahan gestur pada bahagian butang ultrasonic AirTrigger dan juga lubang AeroActive Portal yang membantu dalam mengalirkan udara sejuk kedalam komponen-komponen terbina dengan lebih cekap.

Dari segi rekaan dan prestasi, saya boleh katakan bahawa tidak banyak yang berbeza apabila peranti ini dibandingkan dengan peranti ASUS ROG Phone 6D yang dilancarkan pada lewat tahun lepas dengan cip pemprosesan MediaTek Dimensity 9000+.

Akan tetapi, sekiranya kami bandingkan dengan peranti ROG Phone 6 yang dilancarkan lebih awal dengan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8+ Gen1, saya dapati bahawa perbezaan paling ketara ialah dari segi kestabilan kadar bingkai, haba yang dikeluarkan dan juga suhu peranti yang lebih rendah apabila digunakan untuk kegunaan gaming pada jangkamasa sederhana sekitar 30-45 minit.

Dengan ROG Phone 6 Pro, suhu yang dirakamkan sebelum ini adalah pada kadar 40-43 darjah Celcius, yang pada hemat kami agak suam, tetapi masih boleh dipegang tanpa masalah. Dengan ASUS ROG Phone 7 Ultimate pula, julat suhu tersebut menurun sedikit pada kadar 36-40 darjah Celcius, dan ini apabila kami menggerakkan permainan seperti Genshin Impact dan Honkai Star Rail pada resolusi dan tetapan grafik yang tinggi.

Sekiranya anda memilih untuk menggunakan penyejuk AeroActive Cooler 6 ataupun AeroActive Cooler 7 untuk menyejukkan lagi peranti ini sewaktu sesi gaming anda, ia akan menyejukkannya lagi pada kadar 4-5 darjah Celcius tidak kira berapa lama anda gunakannya untuk gaming.

Kadar penyejukan untuk kedua-dua aksesori tersebut adalah sama sahaja, cuma untuk anda yang menggunakan AeroActive Cooler 7, ia juga tiba dengan pembesar suara tambahan terbina, yang akan memberikan anda pengalaman audio yang lebih baik daripada hanya menggunakan pembesar suara peranti yang terbina.

Jika anda sudahpun memiliki aksesori AeroActive Cooler 6, anda tidak perlu membeli penyejuk yang baru kerana model terbaru hadir dengan saiz dan rekaan yang sama, dan hanya mempunyai penambahan pembesar suara yang dikatakan.

Ciri lain seperti Game Genie dan singkatan aplikasi yang terbina adalah sama seperti peranti ROG Phone 6 dan 6D yang diperlihatkan sebelum ini.

Selain daripada gaming, saya juga sangat suka menonton siri televisyen dan filem di Netflix menggunakan peranti ini, khususnya dengan penyejuk Aero Active Cooler 7 yang baru kerana ia berfungsi sebagai cagak untuk peranti, dan juga hadir dengan pembesar suara terbina yang cukup lantang sekali.

Penanda-aras

ASUS ROG Phone 7 Ultimate dilihat mencatatkan skor penanda-aras yang tertinggi didalam ujian-ujian kami setakat ini. Prestasi tidak begitu berbeza tidak kira dengan penyejuk Aero Active Cooler ataupun tidak, jadi kami akan katakan bahawa ini adalah peranti pintar Android yang paling berkuasa kami pernah lihat dan guna setakat ini.

Geekbench

Antutu

3DMark

Kamera

Walaupun ASUS tidak begitu memfokuskan kepada keupayaan kamera peranti-peranti pintar mereka, secara lazimnya ia masih akan dimuatkan dengan sensor yang cukup berkuasa. Sensor utama sistem kamera ini menggunakan Sony IMX766 yang akan dibantu oleh algoritma pengimejan pada cip Snapdragon 8 Gen 2.

Dalam pada itu, ASUS juga telah menaiktarafkan kamera swafoto siri peranti ROG Phone 7 ini dengan kamera 32MP untuk membolehkan pengguna mengambil gambar swafoto yang lebih terang.

Bateri

Sama seperti model sebelum ini, ASUS ROG Phone 7 dan ROG Phone 7 Ultimate akan menggunakan gabungan dua bateri 3000mAH dan boleh dicas menggunakan salah satu daripada dua palam USB Type-C dengan sistem pengecasan 65W terbina.

Sama seperti sebelum ini, bateri 6000mAH ini dipisahkan kerana ASUS mahu memastikan bahawa komponen SoC terletak betul-betul di tengah peranti supaya ia boleh disejukkan dengan aksesori AeroActive Cooler apabila diperlukan.

Untuk penggunaan biasa tanpa gaming, seperti menatal media sosial, menonton video dan melayari laman web, saya dapati bahawa peranti ini tampil dengan jangkahayat bateri yang mampu bertahan sehari suntuk tanpa masalah. Malah, jika anda tidak menggunakan peranti ini, ia mampu bertahan untuk beberapa hari sebelum perlu dicas semula.

Walaupun dengan penggunaan berat seperti bermain dengan permua, penggunaan bateri peranti ini adalah bergantung kepada perisian yang digerakkan. Untuk permua-permua yang berat seperti Genshin Impact dan menariknya, Honkai Star Rail juga dilihat memakan bateri pada kadar yang agak pantas juga.

Walaupun begitu, palam pengecasan di bahagian sisi peranti ini membantu dalam memastikan bahawa peranti anda sentiasa dicaj dan mempunyai kuasa yang mencukupi apabila anda berada dalam sesi gaming berpanjangan.

Apa Dalam Kotak

ASUS ROG Phone 7 Ultimate menawarkan sejumlah aksesori yang menarik, termasuklah rangka peranti dari Devil Case, kaca paparan anti-mikrobial dan juga aksesori penyejuk peranti Aero Active Cooler 7.

  • 1x ASUS ROG Phone 7 Ultimate
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
  • 1x Pengecas 65W
  • 1x Kerangka DevilCase
  • 1x Manual
  • 1x Pin SIM
  • 1x kaca paparan anti-mikrobial
  • 1x penyejuk Aero Active Cooler 7

Penutup

ASUS ROG Phone 7 Ultimate boleh dilihat sebagai peranti pintar gaming yang sangat berkuasa, tetapi jika anda tidak menghiraukan gimik-gimik yang ditawarkan pada peranti ini, ia merupakan sebuah peranti utama yang hadir dengan prestasi yang cukup hebat sekali dari segi fungsi, ciri dan penyejukan.

Saya juga akan mengatakan bahawa peranti ROG Phone 7 Ultimate ini merupakan peranti Qualcomm Snapdragon 8 Gen2 yang paling berkuasa kami pernah gunakan setakat ini, dan ia adalah berterima kasih kepada fungsi lewahjam X-Mode dan juga kemaskini kepada sistem penyejukan yang dilakukan oleh pasukan ASUS.

Kepanasan peranti hanya dirasai apabila menggerakkan aplikasi-aplikasi yang memerlukan kuasa pemprosesan yang tinggi seperti permua-permua moden, dan selain daripada itu, ROG Phone 7 Ultimate ini kekal sejuk apabila digunakan untuk tujuan-tujuan yang lain.

Jika ada satu kekurangan pada peranti ini, ia mungkin hadir dari segi penawaran kameranya, yang mana ia masih menggunakan sensor kamera Sony IMX766 seperti tahun lepas, tetapi jujur saya katakan, untuk mengambil gambar sekliling secara kasual, ia bukanlah satu isu yang besar.

Pada harga RM4999, ia juga boleh dilihat sebagai peranti kelas premium, tetapi ia masih lebih murah dari jangkaan awal kami, yang memperlihatkannya pada tanda harga melangkaui RM5000. Dengan penawaran kemaskini dua versi Android akan datang dan kemaskini sekuriti 4-5 tahun, bagi saya ini adalah peranti yang cukup berbaloi untuk wang anda.

Pro:

  • Prestasi cip Snapdragon 8 Gen2 terbaik
  • Fungsi gaming dikemaskini tanpa begitu banyak perubahan ketara
  • Sokongan aksesori sedia ada
  • Sokongan WiFi 6E pantas

Kontra:

  • Masih menggunakan pengecasan 65W
  • Prestasi kamera biasa-biasa
  • Tidak berbaloi sekiranya anda sudah memiliki ROG Phone 6D
© 2023 Amanz Media Sdn Bhd