Apple dalam perancangan melancarkan produk Beats baharu. Beats Studio Buds+ adalah TWS yang tertiris baru-baru ini yang akan menggunakan rekaan lutsinar, menyokong pembatalan hingar aktif, ada mod tembus bunyi dan jaminan kualiti audio yang lebih baik.
Tetapi nampaknya bukan satu produk audio Beats yang Apple akan lancarkan kerana dalam iOS 16.5 RC terdapat bukti yang Beats Studio Pro juga akan dilancarkan sebagai set fon kepala baharu.
Seperti TWS yang tertiris, set fon kepala ini turut akan menyokong pembatalan hingar aktif, mempunyai mod tembus bunyi, ada sokongan audio spatial yang diperibadikan, pengecasan USB-C dan mungkin turut akan dilengkapi dengan cip Beats khas untuk tambatan pantas dan ciri lain.

Set fon kepala ini dikatakan menggunakan rekaan mirip Beats Studio3 tanpa ada perkataan “Studio” pada bahagian cekak kepala. Beats Studio Pro juga dikatakan adalah produk yang dihasilkan bersama-sama dengan Samuel Ross iaitu seorang pereka fesyen.
Beats Studio3 dilancarkan pada tahun 2017 dan masih dijual sehingga hari ini dengan tanda harga RM1549. Sama-sama kita nantikan untuk ketahui adakah Studio Pro menjadi pengganti kepada Studio3 dan berapa pula harganya.
- Sumber
- Sumber – 9to5Mac