Google hari ini menyentuh secara lebih meluas berkaitan kecerdasan buatan, serta pelaburan besar yang sedia dilakukan oleh Google sejak bertahun-tahun lamanya. Pasukan DeepMind dibawah Google sendiri telah memenangi pelbagai kejohanan dan memperlihatkan keupayaan kecerdasan buatan mereka.
Pada acara Google I/O 2023 yang diadakan hari ini, selain mengumumkan model bahasa raya terbaru, PaLM 2, pihak Google turut memperlihatkan era baharu carian mereka yang dikuasakan sokongan penjanaan kecerdasan buatan.
Google sedia menguasai arena enjin carian sejak 25 tahun lepas, dan dengan integrasi kecerdasan buatan ini, Google menyasarkan untuk terus menerajui arena berkenaan. Melalui era baharu Google Search ini, Google memperlihatkan jawapan untuk sesuatu carian dalam bentuk teks pada bahagian atas, disamping turut memberikan akses pantas kepada pautan yang mungkin menarik minat pengguna.
Pengguna seterusnya boleh bertanyakan soalan lanjutan, atau menatal dan mengakses kepada senarai pautan pada bahagian bawah.

Dengan langkah ini juga, Google menggantikan bahagian yang dahulunya dikuasakan Knowledge Graph dengan output berasaskan kecerdasan buatan. Google turut menyatakan ini membolehkan pengguna melakukan carian yang lebih menyeluruh serentak, berbanding melakukan carian berasingan satu per satu sebelum ini.
Buat masa ini, Google hanya menawarkan ia dalam bentuk eksperimen pada Search Labs, terhad kepada pengguna di Amerika Syarikat terlebih dahulu.