Dalam acara AWS Summit ASEAN minggu lalu, sewaktu berkongsi mengenai kemaskini perkhidmatan dan kerjasama AWS dalam sektor awam di rantau ini, mereka turut berkongsi mengenai kerjasama mereka dengan salah satu syarikat yang tertua di Asia Tenggara, iaitu Pos Malaysia.

Pos Malaysia telah ditubuhkan sekitar tahun 1800-an, dan dikenali sebagai The Straits Settlements Postal And Telegraph Service – dan menghantarkan perutusan diantara negeri-negeri selat, ke seluruh dunia. Dalam menghadapi arus pemodenan, perkhidmatan Pos Malaysia tidak terhad kepada logistik, bahkan termasuklah Pos Aviation.

Berkongsi lebih banyak lagi mengenai kerjasama AWS dan Pos Malaysia, tahun ini merupakan tahun penting untuk Pos Malaysia dimana hampir kesemua infrastruktur teknologi mereka akan dikuasakan perkhidmatan AWS pada penghujung tahun ini. Mereka telahpun memindahkan sekitar 60 aplikasi kritikal ke AWS sejak Jun 2022 dan ini merupakan satu proses yang memakan masa memandangkan mereka mempunyai lebih dari 140 aplikasi yang dibina pada masa lalu.
Pemindahan perkhidmatan ke AWS ini termasuklah penjejakan surat dan bungkusan, sistem peruncitan mereka, sumber manusia dan pelbagai lagi. Kesemua pemindahan ini dapat disempurnakan tanpa sebarang gangguan perkhidmatan. Malah dengan kecanggihan kecerdasan buatan menerusi Amazon SageMaker, mereka dapat mengurus penghantaran dengan lebih efisien walau pada musim yang banyak berlakunya penghantaran surat dan bungkusan.
Selain dari Pos Malaysia, pelbagai syarikat dan juga sektor awam yang telah mula menggunakan AWS seperti Kementerian Pengajian Tinggi, Bank Islam, Selangor State Delivery Unit, dan banyak lagi. Malah AWS turut aktif untuk PMKS, dan menawarkan kredit AWS percuma sehingga RM 373K menerusi program AWS Lift.