Cari @ Amanz

Google Pixel Fold adalah peranti dengan skrin boleh-lipat pertama Google selepas bertahun bekerjasama dengan Samsung dari segi perisian untuk Galaxy Fold. Pixel Fold adalah antara peranti dalam kategori ini yang dijual pada harga premium.

Percaya atau tidak yang Google sebenarnya menyasarkan pengguna iPhone untuk beralih ke Pixel Fold. Ini kerana berbeza dengan pasaran Malaysia, di Amerika Syarikat pengeluar menawarkan peluang tukar-beli peranti lama ke peranti baharu dengan harga yang sangat munasabah.

Pixel Fold yang dijual pada harga bermula $1799 (~RM8096) boleh dibeli oleh pengguna iPhone 14 Pro atau iPhone 13 Pro dengan harga sekitar $949 (~RM4271) ke $899 (~RM4046) sahaja. Ini kerana nilai tukar-beli yang ditawarkan adalah sangat tinggi. Untuk iPhone 14 Pro 128GB model baharu di AS dijual pada harga $999 dan Google memberikan nilai $900 sementara 13 Pro pula yang dulu juga dijual pada harga $999 selepas dua tahun Google berikan nilai $850.

Jika dibandingkan dengan peranti Google sendiri misalnya Pixel 7 Pro dan Pixel 6 Pro yang dijual pada harga $799 (~RM3596) dan $899 (~RM4046) ketika dilancarkan Google hanya memberikan nilai sebanyak $380 (~RM1710) dan $216.50 (~RM974). Menjadikan harga Pixel Fold sekitar RM6386 atau RM7144. Samsung Galaxy Z Fold4 pula yang dijual pada harga $1799 menariknya menerima harga agak tinggi iaitu $900 juga.

Agak menarik untuk melihat strategi Google memberi nilai terlampau tinggi pada harga iPhone 14 Pro dan iPhone 13 Pro terpakai menghampiri nilai unit baharu. Memberikan pengguna di AS boleh berjimat banyak mendapatkan peranti ini. Satu kekecewaan kepada pengguna Android kerana peranti terpakai tidak mempunyai nilai tinggi.

Jika di Malaysia Huawei Mate X3 adalah yang paling mahal iaitu RM8888 sementara Samsung Galaxy Z Fold4 dengan memori sama dijual pada harga RM7299. Sementara dua pilihan lebih murah adalah Honor Magic Vs atau Tecno Phantom V yang dijual pada harga RM5999 dan RM5399.

Apa kata anda mengenai perkara ini?

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd