Januari lepas ketika PRISM+ melancarkan kedai fizikal mereka di IOI City Mall Putrajaya, mereka ada menyatakan yang televisyen-televisyen PRISM+ sedia ada akan dikemaskini ke Google TV dari Android TV.

Tetapi dengan pelancaran PRISM+ Q Series 4K Ultra QLED hari ini semuanya berubah. Google TV hanya akan tiba pada televisyen baharu sahaja. Bermakna jika pengguna ingin menggunakan Google TV pada televisyen mereka anda hanya boleh guna pada televisyen Q55 Ultra, Q65 Ultra dan/atau Q75 Ultra.
Televisyen lain mereka yang masih menjalankan Android TV akan kekal dengan sistem operasi tersebut. Apabila ditanya kenapa, wakil PRISM+ hanya menyatakan pasukan pembangun perisian yang berbeza antara Android TV dan Google TV serta televisyen Google TV adalah untuk penawaran lebih baharu, teknologi terkini dan kategori lebih premium.

Bukan itu sahaja, di masa akan datang PRISM+ turut mungkin akan masih menawarkan televisyen Android TV dan tidak akan terus menawarkan Google TV bergantung kepada pasaran semasa dan permintaan orang ramai. Televisyen Android TV mereka juga dikatakan masih akan menerima kemaskini tampalan sekuriti bagi menjaga pelanggan dan kekal memberikan pengalaman penggunaan terbaik berbanding pesaing.