Carian
Samsung Dan Naver Bekerjasama Membangunkan Pesaing ChatGPT Serta Cip AI
May 16, 2023 Effi Saharudin

Semua syarikat teknologi utama dunia sedang berlumba-lumba ingin mempunyai kecerdasan buatan (AI) sendiri dengan kemampuan setanding atau melangkaui ChatGPT. Samsung sebelum ini mengesahkan mereka ingin mengintegrasikan AI dalam produk mereka dalam temuramah bersama Amanz. Pelan mereka kini semakin jelas selepas Samsung Electronics bekerjasama dengan Naver untuk membangunkan kecerdasan buatan generatif kendiri.

AI buatan sendiri ini khusus untuk kegunaan kakitangan solusi peranti (DS) dan pengalaman peranti (DX) di Samsung yang kini tidak lagi dibenarkan menggunakan AI dari luar seperti ChatGPT. Ini berikutan rahsia Samsung tertiris selepas kakitangan DX menggunakannya ChatGPT beberapa bulan yang lalu. Ia juga diharap dapat mempertingkat produktiviti kakitangan Samsung tanpa perlu risau data tertiris.

AI yang belum diberikan nama ini dijangka akan dilancarkan sewal Oktober 2023. Dalam persetujuan yang ditandatangani, Naver sebagai enjin carian utama Kora akan menerima data mengenai semikonduktor Samsung bagi melatih sebuah AI yang kemudiannya akan diperhalusi lagi oleh Samsung.

Naver pula akan menggunakan cip AI keluaran Samsung yang sedang dibangunkan bagi menggantikan cip NVIDIA yang digunakan oleh mereka sekarang. Dengan kata lain dua teknologi buatan tempatan sepenuhnya akan dihasilkan menerusi kerjasama dua gergasi teknologi Korea Selatan.

Komen