Komputer riba 2-dalam-1 membolehkan ia digunakan sebagai tablet. Secara lazimnya terdapat beberapa kompromi dilakukan seperti rekaan lebih tebal, kurangnya ciri tambahan dan tidak mempunyai kuasa yang mencukupi. Lenovo Yoga 7i 14″ Gen 8 yang kami ulas hari ini melawan arus kerana bukan sahaja ia sebuah komputer riba 2-dalam-1 yang berkuasa tetapi masih hadir dengan pelbagai ciri yang kini semakin pupus pada komputer riba kerja biasa.
Lenovo Yoga 7i 14″ Gen 8 | |
---|---|
Skrin | 14″ WUXGA (1920×1200) OLED, 400nits, 60Hz, DisplayHDR True Black 500, Dolby Vision, Sesentuh |
CPU | Intel Core i7-1360P |
GPU | Intel Iris Xe |
RAM | 16GB LPDDR5-5200 |
Muatan Dalaman | sehingga 1TB M.2 2242 PCIe Gen4 |
Kamera Utama | 1080p + IR ThinkShutter |
I/O | 1x USB-A 3.2 Gen 1 2x Thunderbolt 4 USB-C 1x HDMI 1.4b 1x Pembaca kad MicroSD |
Bateri | 71 Wh (4 Sel) Pengecasan 65W |
SIM/Telefoni | Tiada |
WiFi | 802.11a/b/g/n/ac/6e |
Bicu Audio | Ya |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Imbasan wajah Windows Hello |
Harga Jualan | Bermula RM4599 (Intel Core-i5) |
SKRIN
Skrin besar 14″ OLED menyokong resolusi WUXGA dengan kadar segar semula sehingga 60Hz serta menyokong sentuhan. Panel OLED yang digunakan adalah terang serta menawarkan sudut pandangan yang sangat baik. Ini amat penting bagi sebuah peranti Yoga yang dengan skrin yang boleh diputarkan sehingga 360 darjah untuk menikmati mod tablet. Terdapat sokongan Dolby Vision untuk kandungan HDR daripada platform seperti YouTube, Prime Video dan Netflix.
Resolusi 1920 x 1200 pixel bukanlah yang tertinggi tetapi untuk skrin hanya sebesar 14″ kami rasakan ia adalah mencukupi. Nisbah 16:10 juga memastikan ia amat sesuai untuk digunakan pada perisian seperti Photoshop dan untuk kerja seperti Microsoft Words. Harus kami akui sejak kebelakangan ini skrin 16:19 lebih kami gemari kerana memberikan ruang menegak yang lebih berbanding 16:9 yang lebih mesra untuk kandungan multimedia.
Sentuhan dikesan dengan baik kerana skrin boleh menjejak sehingga 10 jari. Isu yang ada hanyalah skrin ini mudah kotor dan perlu kerap dibersihkan kerana memerangkap minyak pada jari dengan cukup mudah.
Sebuah Lenovo Digital Pen disertakan dengan setiap pembelian membolehkan lakaran terus pada skrin dilakukan menerusi stylus ini. Stylus adalah dari jenis yang memerlukan bateri. Kami tidak begitu berbakat menghasilkan karya digital, tetapi selepas menguji stylus ini pada skrin ia beroperasi dengan lancar. Garisan dikesan dengan lancar serta terdapat sokongan mengesan sehingga 4096 tahap tekanan.
REKABENTUK
Sebagai sebuah komputer riba Yoga, ia boleh digunakan dalam empat mod iaitu komputer riba, tablet, “Tent” dan “Stand”. Dalam mod komputer riba biasa tiada isu untuk menggunakannya di atas meja ataupun di atas riba. Skrin dengan mudah diubah untuk mendapatkan sudut pandangan yang terbaik untuk penggunanya.
Engsel skrin cukup teguh untuk memastikan ia tidak bergoyang-goyang ketika menaip. Sebagai manusia yang menaip degan “kasar” skrin Yoga 7i tidak bergoyang dengan amplitud yang tidak menyenangkan. Ini adalah isu yang normal bagi sebuah komputer 2-dalam-1 dan bukannya hanya pada Yoga 7i. Dengan teknik menaip yang lebih berhemah, isu skrin bergoyang ini boleh dielakkan.
Tubuh Yoga 7i adalah nipis bagi sebuah komputer riba 2-dalam-1. Sungguhpun begitu tubuhnya masih terasa kukuh serta melepasi piawaian tahan lasak MIL-STD 810H. Ini bermakna ia tahan hentakan sekiranya terjatuh.
Tubuh nipis bukan alasan Lenovo untuk tidak menyertakan pelbagai I/O yang penting. Pada sisi kiri terdapat HDMI 1.4 bersaiz penuh, 2x Thunderbolt 4 USB-C dan bicu audio 3.5mm. Kemudiannya pada sisi kanan pula terdapat 1x USB-A 3.2 Gen 1, pembaca kad mikro SD dan butang kuasa. Cukup lengkap untuk mereka yang benci membawa penyesuai. Kesemua port ini ditawarkan dengan tubuh yang hanya 5mm lebih tebal berbanding sebuah MacBook Air M2.
Tiada pengimbas cap jari fizikal diberikan. Sebaliknya ia bergantung sepenuhnya kepada pengimbas wajah Windows Hello menerusi kamera web 1080p dengan infra merah. Kami lebih sukakan pengimbas cap jari kerana lebih pantas. Dalam ujian selama dua minggu sistem imbasan wajah ini tidak konsisten dan agak perlahan.
Bercakap mengenai kamera, ia mempunyai penghalang kamera fizikal secara terbina. Sebuah titik merah boleh dilihat dengan jelas pada kamera web supaya pengguna menyedari lensa kamera telah dihalang.
Lubang udara untuk penyejukan diletakkan di bahagian belakang dan bawah. Saiz lubang udara yang menghembuskan udara panas di belakang adalah agak besar. Kedudukannya memastikan udara panas tidak diarahkan ke wajah ataupun tangan pengguna.
Terdapat sepasang speaker 2W di bahagian atas menghimpit papan kekunci. Speaker ini turut menyokong audio Dolby Atmos bagai memberikan kombinasi yang serasi dengan skrin yang menyokong Dolby Vision. Kesemua ini dimasukkan ke dalam kerangka yang kompak sehingga boleh dimasukkan ke dalam semua beg galas, dan beg komputer riba bersaiz biasa. Membawanya juga tidak membebankan kerana hanya seberat sekitar 1.5 kilogram.
PAPAN KEKUNCI
Papan kekunci adalah dari jenis Smiley yang lazim ditemukan pada produk keluaran Lenovo. Ianya selesa digunakan tetapi dari jenis membran yang membuatkan ia terasa sedikit lembut apabila ditekan dengan jari. Bukannya dosa besar memandangkan kekunci membran adalah standard pada komputer riba lain di pasaran.
Sangat selesa menggunakannya untuk menaip kerana kekunci sangat ergonomik. Setanding dengan pengalaman kami menggunakan sebuah MacBook Air. Sebagai penulis keselesaan ketika menaip amat penting kerana ribuan patah perkataan perlu dikarang setiap hari bekerja. Sistem lampu yang diberikan pula adalah berwarna putih dengan ia boleh dimatikan jika diperlukan. Lampu juga boleh ditukar keterangannya ke dua tahap dengan menekan butang Fn+Space Bar secara serentak.
Tempat meletakkan telapak tangan juga cukup besar menawarkan platform yang memuaskan untuk menaip sama ada di atas meja atau di atas riba. Papan kekunci ini akan secara automatik dinyahaktifkan apabila Yoga 7i dilipat ke mod tablet. Jadi tidak akan timbul isu kekunci tersalah tekan apabila Yoga 7i diletakkan di atas meja dalam mod tablet.
Kekunci akan terdedah dan bukan dari jenis Lift ‘n Lock yang pernah kami gunakan pada ThinkPad X1 Yoga. Mungkin untuk menjimatkan kos tetapi jika sistem Lift ‘n Lock digunakan kerosakan pada kekunci boleh dielakkan dengan lebih baik.
Kerana papan kekunci dinyahaktifkan sepenuhnya dalam mod tablet, pemilik tidak boleh menggunakannya sungguhpun dengan sebuah monitor luaran dipasang. Alangkah baiknya jika ciri menggunakan papan kekunci sahaja ini diberikan sebagai pilihan oleh Lenovo pada iterasi Yoga yang seterusnya.
PAD SESENTUH
Pad sesentuh bersaiz standard untuk sebuah komputer riba Windows 11. Ia agak lembut tetapi mengesan pergerakan jari, sentuhan dan klik dengan baik. Gestur-gestur utama Windows 11 disokong sepenuhnya dengan ia menggunakan Windows Precision Driver. Harus kami katakan bagi sebuah komputer riba Windows kejituan pad sesentuh Yoga 7i adalah memuaskan tetapi tidak sebaik MacBook yang kami gunakan sebagai komputer riba kerja harian. Kami masih menantikan saat dan masanya sebuah komputer riba Windows mampu menawarkan pengalaman yang setanding.
PRESTASI Dan PENGGUNAAN
Model yang diulas dilengkapi CPU Intel Core i7-1360P ditawarkan dengan ia dipadankan dengan memori sehingga 16GB LPDDR5-5200 dan storan sehingga 1TB M.2 2242 PCIe Gen4. Terdapat pilihan CPU Intel Core™ i5-1340P bagi yang mungkin mencari sistem yang lebih mampu milik. Kami tidak boleh membuka panel belakang untuk melihat komponen dalaman tetapi difahamkan RAM dipateri terus pada papan induk. Maka pilihan RAM semasa membeli adalah penting. Untuk SSD terdapat slot untuk M.2 tetapi dari jenis 2242 yang lebih pendek saiznya.
Storan yang digunakan mencapai kelajuan membaca 4.495 GBps dan menulis pula sehingga 4.36 GBps. Kelajuan yang memuaskan walaupun bukan yang paling pantas pernah kami temukan dalam makmal Amanz. Namun begitu ia lebih pantas berbanding storan MacBook M2 yang mencapai kelajuan sekitar 3 GBps sahaja untuk membaca dan menulis.
Dalam ujian PCMark 10, Night Raid Fire Strike dan Time Spy, markah yang dicatatkan adalah setanding dengan purata komputer riba pejabat dalam kelas yang sama. Sepanjang tempoh ulasan tiada isu kami hadapan. Dengan jumlah RAM yang besar dan storan yang pantas, pelbagai perisian dapat dilancarkan dengan pantas. Tiada isu tersekat-sekat atau kekurangan memori semasa menggunakan perisian seperti Adobe Photoshop. Sebagai komputer kerja harian kami rasakan Yoga 7i beroperasi cemerlang.
Komputer hanya menjadi panas apabila memproses video menggunakan Adobe Premiere. Ia tidaklah memanas sehingga membakar paha tetapi ia masih boleh menyebabkan sedikit ketidakselesaan kepada kami. Kami masih menanti saat dan ketika sebuah komputer riba Windows dengan cip Intel menawarkan pengalaman penggunaan tanpa pemanasan seperti MacBook dengan Apple Silicon. Ini sahaja rungutan kami kerana umum diketahui pemanasan menyebabkan prestasi berkurangan dan hayat bateri seperti disedut kuntilanak.
AUDIO
Pembesar suara stereo 2W menembak ke ke atas dengan sistem audio Dolby Atmos. Kelantangan speaker adalah amat memuaskan kerana audio dihalakan terus ke telinga pemilik ketika digunakan dalam mod komputer riba. Apabila dalam mod Tent dan tablet audio di lontar ke belakang membuatkan mod Atmos sedikit tidak berguna. Secara keseluruhan audio lantang, jelas, mempunyai dimensi dan sedap digunakan untuk menonton filem.
Bateri
Bateri 71 Wh diiklankan boleh bertahan sehingga 12.5 jam pada model dengan skrin OLED ini. Realitinya dengan penggunaan harian selama lima hari purata bateri adalah hampir 11 jam. Hayat bateri yang mencukupi untuk tugasan seharian di pejabat. Maka kami boleh katakan hayat bateri Yoga 7i adalah memuaskan. Pengecasan semula adalah menerusi port UBS-C dengan pengecas 65W. Dengan pengecasan selama 15 minit komputer boleh beroperasi sehingga 3 jam. Tempoh pengecasan semula bateri mengambil masa sekitar dua jam.
KESIMPULAN
Lenvo Yoga 7i Gen 8 ialah komputer riba kerjaya yang tangkas dan pantas kerana spesifikasi yang ditawarkan pada model yang diulas cukup berkuasa untuk pelbagai tugasan harian di pejabat. Jika anda sekadar memerlukan mesin untuk menghasilkan kertas kerja dan menyunting video pendek Yoga 7i Gen 8 boleh melakukannya dengan cemerlang.
Tidak berakhir di situ, ia adalah komputer yang sangat fleksibel kerana boleh digunakan dalam pelbagai mod bergantung kepada keperluan. Pilihan I/O juga sangat mewah untuk sebuah komputer riba yang bersaiz kompak.
Di Malaysia harga jualan Lenovo Yoga 7i Gen 8 bermula daripada RM4,599 sebuah dengan Intel Core-i5. Model yang kami ulas dijual pada harga RM4,953 yang kami rasakan berbaloi untuk pelbagai ciri yang ditawarkan. Lenovo Yoga 7i Gen 8 adalah seperti seorang gimnas yang tangkas kerana segala tugasan boleh disiapkan dengan pantas.
PRO dan Kelebihan
- Prestasi yang amat memuaskan komputer riba kerja.
- Boleh digunakan dalam pelbagai mod.
- Pilihan I/O yang amat memuaskan.
- Papan kekunci yang sedap untuk menaip.
- Skrin dengan Dolby Vision.
- Audio Dolby Atmos.
KONTRA dan Kekurangan
- Pad sesentuh agak lembik.
- Hayat bateri sederhana.
- RAM dipaterikan terus pada papan induk.
- Imbasan Windows Hello tidak konsisten.