Sempena Hari Kesedaran Ketercapaian Global (GAAD) 2023, Google turut tidak ketinggalan untuk memperkenalkan beberapa ciri ketercapaian baharu yang dibangunkan mereka. Pertama sekali ialah ciri Lookout yang dilancarkan pada tahun 2019 kini dipertingkatkan untuk menawarkan fungsi alt text secara automatik.
Alt text digunakan pada platform seperti Twitter untuk menerangkan gambar yang dilampirkan bersama ciapan yang dihantar. Tetapi dalam kajian terkini, hanya 0.1% ciapan bergambar menggunakan alt text membuatkan individu buta atau sukar melihat tidak tahu apa yang ada dalam gambar.

Dengan Lookout baharu, semua imej boleh dikenalpasti dengan kapsyen alt text dihasilkan secara automatik dengan bantuan AI DeepMind. Pengguna kemudian boleh bertanya soalan kepada Lookout untuk menerangkan lagi gambar dengan lebih terperinci jika perlu.
Seterusnya dalam Google Maps pula, maklumat mengenai perniagaan yang mempunyai akses kerusi roda boleh dipaparkan. Ini mungkin dalam bentuk tanjakan, tandas dan kawasan parkir yang mesra kerusi roda. Ciri ini juga berguna untuk golongan yang menggunakan kerusi tolak untuk membawa bayi kecil.

Live Caption pula dikemaskini untuk digunakan dengan lebih baik pada tablet. Selain itu Live Caption kini boleh digunakan dalam panggilan telefon. Golongan pekak dan bisu boleh menggunakan Live Caption untuk melakukan panggilan suara. Transkrip audio dapat dibaca dan kemudian dibalas dalam bentuk teks sebelum Live Caption membacanya untuk insan di hujung talian. Ciri ini kini boleh digunakan pada peranti Pixel 4 (dan ke atas) dan sesetengah model peranti Samsung Galaxy dan Android yang lain.
Akhir sekali Chrome boleh menukar URL yang disalah taip dengan memberikan saranan ejaan URL yang betul. Ciri ini adalah untuk mereka yang mempunyai dislexia yang mempunyai kesukaran mengeja atau menaip.