Cari @ Amanz

Ibarat memulangkan paku buah keras kepada Amerika Syarikat, China kini mengharamkan penggunaan cip memori keluaran Micron Technology daripada projek infrastruktur penting di negara tersebut. Selepas Micron disiasat pihak berkuasa China mendakwa produk mereka tidak melepasi piawaian sekuriti yang perlu dipatuhi.

Dalam satu kenyataan, Pentadbiran Ruang Siber China (CAC) berkata: “Semakan mendapati bahawa produk Micron mempunyai risiko keselamatan rangkaian yang serius, yang menimbulkan risiko keselamatan yang ketara kepada rantaian bekalan infrastruktur maklumat kritikal China, yang menjejaskan keselamatan negara China.”

Tindakan yang diambil China ialah tembakan balas pertama China ke atas Amerika Syarikat yang mengenakan halangan teknologi ke atas produk keluaran Huawei, ZTE dan DJI di negara mereka atas alasan yang sama.

Micron mengeluarkan kenyataan untuk meneruskan perbincangan dengan pihak berkuasa China. Sementara itu Jabatan Perdagangan A.S pula berkata pengharaman yang dilakukan China pula tidak berasas. Dengan cip memori Micron telah diharamkan, ia adalah berita baik bagi Samsung dan SK Hynic untuk mengisi kekosongan kini wujud di China.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd