Shutterstock hari ini mengumumkan, mereka akan mengambil-alih enjin carian dan pustaka GIF terbesar di dunia, iaitu GIPHY. Untuk makluman, Meta yang memiliki Facebook sedia mengambil-alih GIPHY sebelum ini, tetapi terpaksa menjualnya selepas pihak berkuasa tidak membenarkan pengambil-alihan berkenaan.
Kini, Meta dilihat telah menjual GIPHY kepada Shutterstock, iaitu salah satu penyedia perkhidmatan langganan dan jual-beli gambar terkemuka dunia.
GIPHY sedia diintegrasikan pada pelbagai platform pada hari ini, termasuk pada Instagram, Facebook, WhatsApp, TikTok, Samsung, Twitter, Slack dan juga Discord. Ini membolehkan GIPHY mempunyai lebih 1.7 bilion pengguna aktif setiap hari, dengan capaian tontonan melangkaui 15 bilion setiap hari.
Untuk Shutterstock sendiri, pengambil-alihan ini turut memberikan mereka akses kepada pustaka GIF yang lebih digunakan pada perbualan kasual – disamping melengkapkan penawaran gambar-gambar yang ditawarkan mereka dalam penggunaan editorial serta pelbagai tujuan lain.
Shutterstock dijangka membayar $53 juta (~RM242 juta) kepada Meta untuk pengambil-alihan ini. Sebelum ini, ia diperkatakan Facebook membayar sehingga $400 juta (~RM1.8 bilion) untuk mengambil-alih GIPHY.