Opera merupakan salah satu pelayar web yang sering hadir dengan sejumlah ciri-ciri menarik dan berguna sebelum yang lain. Terbaru, kini Opera mengumumkan integrasi sebuah panel khusus untuk kecerdasan buatan, dinamakan Aria.

Aria merupakan penawaran Opera tersendiri, dikuasakan oleh teknologi ChatGPT yang dibangunkan OpenAI. Dengan integrasinya, ia boleh menjawab sejumlah pertanyaan, menjana teks, menjawab persoalan, serta membantu dalam sebarang perkara melibatkan pelayar web Opera sendiri.
Aria ditawarkan secara percuma, dan memandangkan ia diintegrasikan pada pelayar web, maka pengguna turut boleh mendapatkan pelbagai informasi terkini – dan tidak terhad kepada hanya data sehingga 2021 seperti pada ChatGPT.

Bagi anda yang berminat, boleh memuat-turun pelayar web Opera One, dan seterusnya membuat akaun Opera untuk mengakses Aria. Ciri ini sedang diperkenalkan secara berperingkat untuk pengguna dengan akaun Opera berdaftar sahaja buat masa ini.