Cari @ Amanz

Di Google I/O, ciri baharu Perspectives diumumkan untuk Google Search yang akan memaparkan bukan sahaja laman web tetapi juga video pendek daripada YouTube Shorts. Pada hari pengumuman, Google hanya berkata kecerdasan buatan (AI) digunakan untuk mempamerkan video yang relevan dengan carian pengguna dalam Search tetapi tanpa penerangan yang terperinci.

Hari ini DeepMind berkongsi sedikit maklumat mengenai bagaimana kepakaran AI mereka digunakan untuk memahami kandungan YouTube Shorts. Tidak seperti video YouTube yang lain, Shorts tidak mempunyai maklumat mengenai kandungan yang dimuat naik.

Model bahasa visual Flamingo digunakan untuk memahami kandungan dalam visual YouTube Shorts. Berdasarkan analisa bingkai dalam video, datameta kemudian disimpan dan dikaitkan dengan video tersebut. Sebagai contoh jika dalam visual video terdapat imej kucing mengejar tikus, data meta “kucing”, “tikus” dan “mengejar” akan disimpan untuk video tersebut.

Dengan ini apabila carian dilakukan pengguna, video YouTube Shorts dengan datameta yang berpadanan akan muncul dalam keputusan carian.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd