Peranti boleh-lipat clamshell daripada motorola menjadi antara peranti yang sering dinanti-nantikan dalam kalangan pengguna. Sebanyak dua variasi model dipercayai bakal diumumkan pada tahun ini dan salah satu daripadanya telah ditemui tertiris menerusi video promosi tular.

Skrin sekunder lebih besar dan luas digunakan pada tahun ini yang dijangka saiznya boleh melebihi 3.26-inci pada Oppo N2 Flip. Dengan skrin yang besar ini sudah semestinya boleh digunakan untuk menyemak pelbagai perkara sama ada pemberitahuan, waktu, cuaca, menavigasi peta, main balik muzik dan lain-lain. Sebagai tambahannya lagi ia juga boleh digunakan sebagai skrin kedua bagi tujuan rakaman gambar dan video.

Ini dipadankan pula dengan sistem dwi-kamera utama yang masih dikekalkan pada posisi yang sama seperti model sebelum ini. Turut disertakan ialah LED Flash yang boleh menjadi pelengkap pada panel berkenaan. Skrin dalaman pula menunjukkan gabungan bezel agak nipis bersama lubang kecil kamera yang disertakan bersama.

Sokongan panel sejenis OLED dan kadar segar semula yang tinggi juga besar kemungkinan dikekalkan pada peranti ini memandangkan iklan video jelas menunjukkan hal berkenaan. Tidak ketinggalan port sambungan USB-C turut boleh dilihat pada peranti yang sudah semestinya digunakan bagi tujuan pengecasan atau pemindahan data.

Peranti ini akan dilancarkan secara rasmi pada 1 Jun hadapan dan penawaran lebih lanjut sudah semesti akan didedahkan melaluinya.