Carian
Kamera Leica Q3 Dilancarkan Dengan Rakaman 8K Pada Harga RM29,570
May 26, 2023 Amy Maizuraa

Leica Q3 dilancarkan secara rasmi sebagai sebuah lagi kamera kompak bingkai penuh baharu. Ia menjadi kesinambungan buat Leica Q2 dengan beberapa naik taraf yang menarik. Misalnya seperti ia menggunakan sensor 60.3MP CMOS BIS yang dijana pemproses Leica Maestro IV bersama L² Technology (L squared Technology). Ini merupakan peningkatan berbanding sensor 47.2 Megapixel pada generasi sebelum ini.

Seterusnya ia juga digabungkan dengan kanta Summilux 28 f/1.7 ASPH yang diintegrasi dengan mod makro khusus untuk tangkapan gambar sedekat 17mm. Rakaman video pula boleh dibuat sehingga 8K yang menjadi satu lagi peningkatan menarik berbanding rakaman 4K pada Leica Q2. Bagaimanapun pilihan rakaman Cine4K, 4K dan FHD masih disediakan di sini.

Kemudian disediakan juga kebolehan merakam video RAW yang direkod sebagai Apple ProRes RAW. Pengalaman rakaman ini menjadi lebih baik dengan bantuan sistem autofokus hibrid berasaskan AI yang akan memastikan subjek dapat dikesan dengan baik bersama fokus memuaskan.

Pada panel belakang pula terdapatnya sebuah skrin TFT LCD yang boleh dicondongkan sebesar 3-inci. Sementara itu EVF pula menggunakan skrin OLED dengan1,843,200 titik. Selain daripada itu, kamera ini juga dilengkapi port USB-C dan HDMI, pada masa sama turut menyokong sistem pengecasan secara nirwayar.

Sebagai tambahan aplikasi Leica FOTOS turut boleh dimuat turun bertujuan memudahkan lagi proses pemindahan data ke peranti lain. Leica Q3 dijual di Malaysia dengan harga jualan RM29,570 sebuah.

Komen