Laman Handelsblatt dari Jerman hari ini menerbitkan laporan terdapat ribuan insiden kemalangan, kereta berhenti mengejut, berhenti secara rawak dan kereta memecut secara tiba-tiba ketika menggunakan sistem swapandu Autopilot. Data sebesar 100GB diterima oleh Handelsblatt menerusi sumber dalaman yang tidak didedahkan identitinya.

Dalam pangkalan data ini terdapat 2400 insiden kereta memecut tanpa diarahkan, 1500 insiden melibatkan sistem brek, 139 kes brek kecemasan tanpa sebab, 383 insiden brek tanpa sebab keran isu pada pengesanan pelanggaran dan 3000 laporan dari pengguna mengenai isu pada FSD yang dikategorikan sebagai merisaukan. Majoriti isu dilaporkan oleh pengguna dari Amerika Syarikat dan Jerman. Laporan turut mendakwa Tesla tidak memberikan bantuan yang serius kepada pelanggan yang melaporkan kesemua isu-isu ini.
Handelsblatt mendapatkan bantuan Fraunhofer Institute for Secure Information Technology bagi memastikan data yang diterima adalah asli tanpa sebarang suntingan. Laporan tetap diterbitkan walaupun penggunaan data yang ditiriskan ini adalah menyalahi undang-undang EU. Penerbitan dirasakan perlu bagi memastikan keselamatan pengguna Tesla dengan sistem FSD Beta.

Ini bukan kali pertama isu melibatkan Autopilot atau FSD Beta dilaporkan. Beberapa insiden kemalangan berprofil tinggi sudahpun dilaporkan di China dan Amerika Syarikat melibatkan kereta Tesla yang memecut secara rawak dan berhenti di dalam terowong mengakibatkan kemalangan.
Dalam kesemua insiden Tesla mengeluarkan kenyataan bahawa kesalahan di tangan pengguna. Tahun ini juga bekas kakitangan Telsa mengaku memalsukan video swapandu pada tahun 2016 bagi menunjukkan sistem Autopilot adalah lebih berupaya daripada situasi sebenar. Tesla masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai laporan Handelsblatt pada waktu ini.