Ini Komen Pihak Telegram Lanjutan Menteri Mengatakan Telegram Gagal Beri Kerjasama
Aman
Pada penghujung minggu lepas, Menteri Komunikasi Dan Digital telah menyatakan Telegram gagal bekerjasama dalam mengawal kandungan lucah dan sebagainya, sekaligus mengatakan akan mengambil tindakan seterusnya. Lanjutan daripadanya, kini pihak Telegram telah mengeluarkan komen rasmi mereka kepada pihak Amanz.
Menurut Telegram, mereka aktif dalam membuang kandungan berbahaya pada platform mereka, termasuk penjualan bahan terlarang dan juga kandungan lucah awam. Telegram turut menyatakan moderator juga proaktif dalam memantau bahagian awam pada aplikasi tersebut, selain menerima laporan pengguna melalui aplikasi atau menggunakan emel [email protected] dalam usaha membuang kandungan yang melanggar terma dan syarat perkhidmatan. Telegram menambah, walaubagaimanapun mereka tidak akan sertai dalam sebarang penapisan politik.

Sebelum ini, Kementerian Komunikasi dan Digital telah menerima pelbagai aduan melibatkan Telegram, terutamanya salah-guna aplikasi tersebut melibatkan kandungan lucah, penipuan dan scam, serta penjualan barangan terlarang. Pihak Kementerian telah cuba menghubungi pihak Telegram, tetapi tidak menerima sebarang respon berkaitan dengannya.
Lanjutan daripadanya, Fahmi Fadzil mengatakan Telegram seperti tidak ikhlas untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam mengekang kandungan lucah dan berbahaya. Ia turut ditekankan, berbanding TikTok dan lain-lain platform, Telegram adalah yang paling membimbangkan buat masa ini.