NVIDIA ACE Membolehkan Pemain Berbicara Dengan NPC Secara Masa Nyata
Effi Saharudin
Di Computex 2023 pagi ini, demo NVIDIA Omniverse Avatar Cloud Engine (ACE) telah diperlihatkan oleh CEO Jensen Huang. Menerusi ACE, pemain boleh berbicara dengan watak permainan (NPC) secara masa nyata menggunakan suara. Tiada koyak dialog dan tiada pilihan terhad diberikan dalam demo yang diperlihatkan sebentar tadi.
ACE menggabungkan kecerdasan buatan (AI) NVDIA NeMo, NVIDIA Riva dan NVIDIA Ominiverse Audio2Face. NeMo ialah model bahasa rasa (LLM) yang boleh menghasilkan dialog dengan suara yang realistik bagi menjawab soalan yang diberikan oleh pemain.

Riva pula memahami percakapan pemain secara masa nyata untuk NeMo memahami konteks perbualan. Kemudian akhir sekali Audio2Face akan memadankan audio suara yang dihasilkan oleh NeMo dengan animasi wajah watak NPC. Dengan ACE proses menghasilkan kandungan permainan dipermudahkan menggunakan AI NVIDIA.

Demo kedai ramen di atas dihasilkan oleh NVIDIA dengan kerjasama Convai yang menggunakan kepakaran mereka menghasilkan watak AI dalam permainan video dan dunia maya. Walaupun demo nampak cantik dan realistik, nada percakapan watak, dialog dan animasi yang dipaparkan nampak agak “mati” untuk sebuah permainan pada tahun 2023.
Walaupun penggunaan AI tidak lagi dapat dielakkan dengan Ubisoft turut menggunakan sistem seakan sama, penulis manusia masih lagi perlu untuk menghasilkan dialog yang lebih menarik pada waktu ini.
[sumber] NVIDIA Blog [/sumber]