Minggu ini adalah minggu acara Computex 2023 berlangsung dan banyak perkara menarik telah diumumkan seperti cip MediaTek akan menggunakan GPU NVIDIA dan ARM memperkenalkan CPU dan GPU keluarga ARMv9.2 antara yang menarik bagi pengguna telefon pintar.
MediaTek pada hari yang sama turut mengumumkan yang cip pemprosesan mereka seterusnya akan menggunakan teknologi daripada ARM. Melalui laman Weibo rasmi mereka MediaTek memberitahu yang cip baharu ini akan memanfaatkan CPU Cortex-X4, Cortex-A720 CPU dan GPU Immortalis-G720 GPU.
Cip ini dijangka mungkin adalah Dimensity 9300 yang akan bersaing dengan Snapdragon 8 Gen 3. Dengan CPU Cortex-X4 ia memberikan peningkatan prestasi sehingga 15% dan menjimatkan tenaga sehingga 40%. Sementara itu Cortex-A720 menawarkan penjimatan kuasa sehingga 20% manakala Cortex-A520 pula penjimatan sehingga 22%. Sementara itu GPU Immortalis-G720 pula dikatakan mempunyai sekurang-kurangnya 10 teras dengan peningkatan prestasi sehingga 15%.
Lebih menarik ialah konfigurasi kluster teras 1+5+2 (Cortex-X4, Cortex-A720 dan Cortex A520) pada SOC mercu tahun ini berbanding 1+4+3 pada Snapdragon 8 Gen 2 misalnya. Cip ini juga hanya menyokong sistem 64-bit dan tidak lagi menyokong sistem 32-bit yang tidak lagi akan disokong oleh sistem operasi Android.
Besar kemungkinan akan dilancarkan pada separuh kedua 2023 kerana inilah yang selalu dilakukan MediaTek untuk SoC yang digunakan peranti awal tahun 2024.