Jenama Dizo Di Bawah Realme Mungkin Telah Dimatikan
Fahim Zahar
Semua pengeluar peranti sekarang ingin mempunyai ekosistem produk tersendiri. Samsung dengan SmartThings, Apple dengan HomeKit, Google dengan Google Home, dan Realme dengan Techlife.
Terbaru salah satu jenama di bawah realme Techlife iaitu Dizo dilaporkan telah mati. Baru-baru ini Abhilash Panda selaku CEO Dizo telah meletakkan jawatan dan selepas aplikasi Dizo dikemaskini pengguna tidak lagi boleh log masuk ke akaun masing-masing sehingga banyak produk tidak lagi boleh digunakan.

Bukan itu sahaja ramai pengguna turut melaporkan yang semua emel laporan dan bantuan khidmat pelanggan juga tidak lagi diterima. Malah sumber ada menyatakan yang ramai pekerja Dizo turut telah meletakkan jawatan.
Antara produk di bawah Dizo ini adalah aksesori audio, barangan AIoT, barangan penjagaan diri sendiri, peranti boleh-pakai dan pelbagai aksesori. Barangan Dizo yang turut dijual di Malaysia. Buat masa ini masih tiada sebarang informasi sama ada turut akan terkesan ataupun tidak.

Masalah ini berlaku dilihat sebulan selepas realme Techlife dijenamakan semula kepada Narzo. Ketika itu nasib produk Dizo masih belum diketahui selain menurut realme yang pengguna boleh mengikuti akaun Twitter realme India untuk kemas kini informasi barangan AIoT.
Jadi adakah ini bermakna Techlife menjadi Narzo dan Dizo menjadi Realme? Sama-sama kita nantikan maklumat rasmi nanti.
[sumber] The Economic Times [/sumber]